UNIVERSITI Malaya (UM) naik ke kedudukan lebih tinggi apabila kini disenaraikan di tempat kelapan dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings Asia 2022 yang laporannya dikeluarkan minggu ini. Universiti tertua negara itu... Klik di sini untuk terus membaca

UNIVERSITI Malaya (UM) naik ke kedudukan lebih tinggi apabila kini disenaraikan di tempat kelapan dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings Asia 2022 yang laporannya dikeluarkan minggu ini.

Universiti tertua negara itu diikuti Universiti Putra Malaysia (ke-27), Universiti Kebangsaan Malaysia (33), Universiti Sains Malaysia (35) dan Universiti Teknologi Malaysia (38).

Sebanyak 27 universiti awam dan swasta di Malaysia tersenarai dalam 600 universiti terbaik di Asia itu.

Turun naik kedudukan universiti itu dinilai QS berdasarkan beberapa elemen termasuk sumbangan penyelidikan yang menjadi rujukan antarabangsa, kecemerlangan akademik, reputasi siswazah yang sudah berkerjaya, serta kemudahan tempat pengajian.

Bagaimanapun, terdapat pelbagai pandangan mengenai kebolehpercayaan dan kaedah kaji selidik yang digunakan itu, selain apakah kriteria tersebut sesuai dengan matlamat asal penubuhan universiti awam?

Apatah lagi universiti di Malaysia sekarang dikatakan sibuk mengejar ranking ini khususnya dengan cara menambah jumlah penerbitan, tak kisahlah berkualiti atau tidak.

Walaupun QS asalnya diwujudkan untuk tujuan persaingan perniagaan dalam kalangan universiti swasta, ia kini sudah dijadikan sebahagian penanda aras universiti awam.

KRITERIA

Dalam sejarah universiti di seluruh dunia, setiap satunya mempunyai kebanggaan dan pencapaian yang menyebabkan ia dipandang tinggi, melangkaui kriteria yang ditetapkan QS.

Ada universiti berbangga dengan jumlah profesornya yang ramai. Universiti Zurich, Switzerland contohnya mempunyai 500 profesor, berbanding kira-kira 2,500 profesor di semua universiti di Malaysia.

Universiti Harvard di Amerika Syarikat (AS) memiliki alumni bertaraf bilionair paling ramai di dunia iaitu 188 orang pada 2018. Tempat kedua ialah Universiti Standford dan Universiti Pennsylvania, masing-masing 74 dan 64 orang bilionair. Dua manusia paling kaya di dunia iaitu Elon Musk dan Jeff Bezos lahir daripada Universiti Pennsylvania dan Universiti Princeton, AS.

Sesetengah universiti mencipta prestij kerana tempoh kewujudannya, seperti universiti tertua di Malaysia, UM, yang telah berusia 71 tahun. Antara universiti tertua dunia kini ialah Universiti Al-Azhar, Mesir (1,051 tahun), Universiti Bologna, Itali (933 tahun) dan Universiti Oxford, United Kingdom (925 tahun).

Universiti Harvard pula melahirkan paling ramai pemenang Anugerah Nobel dalam pelbagai bidang iaitu 161 orang, diikuti Universiti California Berkeley (110) dan Universiti Chicago (100).

Nadiah Wan, ahli perniagaan wanita berusia 37 tahun disenaraikan dalam Power Businesswomen 2021 Forbes Asia, yang mengiktiraf 20 pemimpin perniagaan wanita cemerlang di rantau Asia Pasifik, adalah lulusan Universiti Harvard.

Menurut Forbes, Nadiah, yang memegang dua jawatan CEO adalah tokoh paling muda disenaraikan tahun ini.

Nadiah, satu-satunya rakyat Malaysia yang disenaraikan tahun ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TMC Life Sciences, jawatan yang dipegang sejak 2019.

Beliau juga ialah CEO Thomson Hospital Kota Damansara, jawatan yang dipegang sejak 2017.

Ketika universiti di dunia berlumba-lumba melahirkan ramai insan cemerlang, amatlah malang apabila Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) terpalit insiden 18 bekas pelajarnya dijatuhi hukuman penjara selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat pegawai kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Lebih mendukacitakan, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah memberitahu nyawa Zulfarhan mungkin boleh diselamatkan jika pihak pentadbiran universiti mengambil tindakan awal selepas menerima maklumat mangsa didera.

UPNM tidak tersenarai dalam QS, namun isu keselamatan dan keperibadian pelajar seharusnya menjadi antara indikator dalam menentukan ranking universiti di Malaysia.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca