SHAH ALAM - Kerajaan disaran supaya memperuntukkan undang-undang berhubung kesalahan penyalahgunaan gajet seperti dron, telefon dan kamera untuk tujuan menghendap.
Pakar Kriminologi, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, langkah tersebut merupakan pencegahan awal yang wajar dilakukan kerana gajet mempunyai fungsi untuk merekodkan gambar dan video.
"Perbuatan menghendap ini jika tidak dikawal ia akan terarah kepada jenayah rogol, cabul dan sebagainya. Kesannya, apabila gambar dan video mereka diambil, kemudian ia ditularkan atau diugut.
"Apabila kita mempunyai undang-undang tersebut dan menjadikan perbuatan menghendap mengguna gajet sebagai jenayah, mereka menjadi lebih takut untuk melakukan perbuatan tersebut.
"Kita juga perlu menguar-uarkan bahawa sesiapa yang menghendap menggunakan gajet akan ditangkap atas kesalahan jenayah,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Shahul Hamid berkata, sekiranya menghendap dijadikan bahan ugutan, ia akan mendatangkan trauma kepada mangsa.
"Mungkin mangsa akan mengambil tindakan luar jangka seperti membunuh diri kerana malu apabila gambarnya menjadi tular," kata beliau.
Pakar Psikologi Kaunseling daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, mangsa intip dan hendap cenderung untuk mengalami kemurungan, sekali gus membawa kepada trauma disebabkan privasi mereka diceroboh individu yang obses.
"Mangsa akan sentiasa berada dalam keadaan ketakutan, kemurungan, sensitif, mengurungkan diri, hubungan dengan orang sekeliling jadi renggang kerana tidak mahu bergaul dan selalu termenung.
"Mereka sentiasa berada dalam ketakutan kerana ada kemungkinan si penghendap akan cuba untuk mendekati dan berdepan dengan mereka,” katanya.
Beliau melihat usaha kerajaan untuk menjadikan perbuatan menghendap sebagai jenayah merupakan salah satu solusi terbaik dalam membanteras perbuatan tersebut.
Tambahnya, dengan penggubalan undang-undang berkaitan perbuatan itu, hak mangsa akan dapat dibela dan keselamatan mereka akan lebih terjaga.
"Lagipun penghendap ini juga sebenarnya mempunyai masalah gangguan mental. Mereka bukan orang biasa dan kita tidak tahu tahap kesihatan mereka.
"Misalnya, jika gangguan mentalnya di peringkat teruk, dia boleh capai hingga tahap merogol mangsa yang dihendapnya.
"Penghendap ada ketagihan untuk intip orang lain dan mereka juga sebenarnya perlukan rawatan. Jadi jika ditahan, kita boleh diagnosis dia dan ubatinya supaya dia tidak berterusan alami ketagihan tersebut,” kata Dr Fauziah.
Klik di sini untuk terus membaca