REVOLUSI Perindustrian Ke-4 (IR 4.0) telah memperkenalkan teknologi siber-fizikal seperti pembuatan digital (DiM) dan pendidikan hibrid (HyE) serta pelbagai istilah baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).
Selangor muncul negeri pertama yang bijak mencari rakan strategik bertaraf dunia. Tarikh 1 November 2021 menjadi tanggal keramat apabila Selangor menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah firma gergasi dari Jerman.
Antara keperluan MoU tersebut ialah firma gergasi itu akan membuka makmal latihan industri di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) Shah Alam.
Penulis percaya IR 4.0 perlukan pakar yang peka kepada persekitaran dunia luar, kemahiran teknikal, kecerdasan sosial, kemahiran berfikir, kemahiran rentas budaya, matematik di hujung jari, berfikir seperti komputer, celik media baharu, tahu kelemahan kekuatan sendiri, minda terbuka, bijak mengurus pengetahuan dan menggalakkan budaya kerja hibrid.
Namun, penulis ingin bertanya adakah masyarakat Malaysia tahu cara sebenar bagi merealisasikan agenda perdana IR 4.0 khususnya bidang pembuatan digital?
Sudah diketahui sekolah vokasional dan teknik di Malaysia telah lama dilaksanakan di peringkat menengah. Sayang sekali, mereka tidak berpeluang melanjutkan pengajian kemahiran ke peringkat tinggi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kerana kekurangan ruang dan program struktur terkini termasuk dalam bidang Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD).
Pelajar lulusan program arus perdana juga kurang mendapat tempat dalam industri kerana syarikat mahukan pekerja profesional berpengalaman dan berkemahiran tinggi.
Penulis juga perhatikan ramai anak muda yang juga graduan bekerja dalam kumpulan sokongan kerana kurang mahir. Akhirnya, syarikat berteknologi tinggi terpaksa menggajikan sumber luar atau melantik syarikat perunding. Di sinilah, makmal latihan firma gergasi dari Jerman itu dan STDC akan bekerja sama untuk melahirkan pekerja pakar.
Penulis juga percaya MoU ini ialah kesinambungan kepada program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Profesional Pintar Selangor (IKTISASS).
Selangor sebenarnya telah lama menjadi pivot of growth kepada Malaysia. Justeru, MoU seumpama ini akan membantu menyumbang lebih 30 peratus kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berbanding 23 peratus ketika ini.
Sehingga suku ke-3 (Q3) 2021, Selangor mencatat jumlah pelaburan mencecah RM22 bilion iaitu RM10 bilion pelaburan domestik dan RM12 bilion pelaburan asing.
Penulis juga melihat MoU ini persis kepada strategi penghijrahan Rasulullah SAW dalam membentuk Madinah sebagai pusat ekonomi.
Usaha Selangor ini juga disebut dalam Surah al-Qashash ayat [28:56] bermaksud: "Sesungguhnya kamu (wahai Muhammad) tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi ALLAH memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan ALLAH lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.”
Penulis percaya makmal latihan di STDC Shah Alam mampu menjadi pusat pembelajaran sepanjang hayat bertaraf dunia bagi tujuan penyediaan modal insan dan kemahiran profesional di Selangor melalui TVET.
Penulis percaya penyediaan lebih banyak makmal latihan industri boleh membantu program kemahiran teknikal dan tenaga kerja melalui program pembangunan latihan teknikal dan profesional berprofil tinggi.
Selangor sudah lama menjadi peneraju pertumbuhan dan kestabilan ekonomi rujukan kepada Malaysia. Kesimpulannya, penulis melihat STDC Shah Alam sebenarnya telah menyambut cabaran Amirudin yang berkelana mencari rakan kongsi strategik dalam siri Jelajah Eropah pada 2019.
* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteran Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Klik di sini untuk terus membaca