[MUKADIMAH] Isu kemiskinan haid bukanlah sesuatu yang biasa didengari dan ramai yang tidak mengerti maksud sebenar permasalahan tersebut termasuklah dalam kalangan sesetengah wanita sendiri.
Kemiskinan haid tidak terhad kepada masalah akses kepada tuala wanita sahaja, sebaliknya ia meliputi isu yang lebih luas dan serius apabila bersangkut paut dengan bagaimana seseorang wanita itu menjaga kebersihan diri dalam tempoh ‘datang bulan’.
Apa yang lebih membimbangkan, kemiskinan haid di samping kurangnya ilmu perancangan keluarga boleh menyebabkan seseorang yang terdesak mengambil keputusan untuk mempunyai anak yang ramai dengan alasan tidak mampu membeli tuala wanita dalam tempoh sembilan bulan.
Isu itu menjadi lebih hangat apabila baru-baru ini seorang ahli politik dikecam di media sosial apabila cuba untuk memperjuangkan isu tersebut dan disalah tafsir dengan segelintir masyarakat yang tidak faham kemiskinan haid.
Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, Nurul Nabila Ahmad Halimy bersama Ketua Pejuanita Muda Parti Pejuang, Dr Nurul Ashikin Mabahwi untuk merungkap isu yang menjadi buah mulut netizen ketika ini.
SINAR HARIAN: Adakah Nurul Ashikin berasakan bahawa kemiskinan haid di Malaysia merupakan sesuatu yang membimbangkan dan ramai yang ambil remeh tentang isu tersebut?
NURUL ASHIKIN: Bagi saya, ia sesuatu yang membimbangkan kerana masyarakat kita masih mempunyai pemikiran bahawa tuala wanita adalah murah dan mentertawakan mereka yang tidak mampu membelinya.
Berdasarkan pengalaman saya dan aktivis-aktivis lain yang turun ke lapangan, ramai yang masih mempunyai isu kemiskinan haid dan kebanyakan mereka tinggal di pedalaman.
Kemiskinan haid merupakan perkara yang serius tetapi negara kita terikat dengan satu stigma bahawa perkara ini memalukan untuk dibahas.
Saya rasa sudah sampai masa kita membincangkan perkara ini secara terbuka supaya orang tidak rasa malu lagi dan semua orang ada akses mengenai perkara ini.
>>Pada pendapat Nurul Ashikin, mengapakah mereka yang kemiskinan haid memilih untuk hamil dan mempunyai anak berbanding membeli tuala wanita?
Ini kerana tuala wanita sebenarnya merupakan suatu ‘privilege’ bagi mereka yang mampu.
Apabila seseorang itu berada dalam keadaan susah dan terdesak, mereka hanya akan memikirkan cara jangka masa pendek untuk tidak membeli tuala wanita dalam tempoh sembilan bulan dengan cara kehamilan.
Ada juga kemungkinan wanita yang pilih untuk hamil ini tidak datang haid dalam tempoh menyusu bergantung kepada badan seseorang.
Oleh itu, perkara ini juga boleh menjadi faktor dan merupakan suatu kelegaan buat mereka kerana jimat membeli tuala wanita.
Kita tidak boleh cepat menghukum kerana tidak semua orang mempunyai akses kepada pendidikan perancangan keluarga.
Sebagai masyarakat prihatin, kita cuba memahami apa kesukaran yang mereka rasakan sampai terpaksa melakukan hal sedemikian dan membantu mereka.
>>Ada yang mengatakan terdapat cara lain untuk menyelesaikan isu mencegah kehamilan iaitu memakan pil perancang dan menggunakan kain atau baju lama sebagai pengganti tuala wanita. Apa komen Nurul Ashikin?
Kita kena faham ada orang terpaksa mencatu air di rumah dan tadah air menggunakan air hujan kerana keadaan hidup yang betul-betul susah.
Jika kita suruh mereka menggunakan kain sebagai pengganti tuala wanita, mereka memerlukan akses kepada sabun dan air yang bersih untuk membasuhnya.
>>Bagaimana pula dengan wanita yang mempunyai aliran darah yang banyak ketika haid dan senang tembus?
Begitu juga dengan pil perancang yang mana tidak semua orang ada ilmu perancangan keluarga atau berani menanggung risiko kerana ada pendapat yang mengatakan ia tidak bagus kepada tubuh badan.
Kita boleh menyarankan mereka untuk menggunakan ‘cloth pad’ tetapi pada masa yang sama, kita harus faham dahulu keadaan keluarga itu. Memberi cadangan memang mudah tetapi menyelami kesusahan mereka itu adalah cabarannya.
>>Pada pendapat Nurul Ashikin, bagaimana kita hendak mengatasi masalah isu kemiskinan haid di Malaysia?
Kerajaan sepatutnya memudahkan semua wanita mempunyai akses kepada tuala wanita secara percuma, harga tuala wanita perlu dikawal supaya ia tidak menjadi terlalu tinggi dan rajin turun ke padang untuk melihat sendiri golongan terpinggir ini.
Selain itu, pendidikan tentang kemiskinan haid dan usaha kita membasmi kemiskinan haid ini perlu selari atau berjalan sekali dengan ilmu perancangan keluarga.
Jika kita hendak mendidik mereka tentang ‘sanitary hygiene’, kita juga harus mendidik mereka bagaimana merancang keluarga kerana apa sahaja yang kita buat akan berkait rapat dengan dua perkara ini yang akhirnya memberi manfaat kepada wanita.
>>Adakah isu kemiskinan haid ini perlu diberi perhatian dari peringkat sekolah dan semua golongan termasuk kaum lelaki?
Ya, kerana kita boleh lihat di media sosial masih ramai yang tidak faham isu ini. Mereka berasakan satu atau dua keping tuala wanita boleh bertahan sehari. Ini tidak benar kerana biologi manusia dan kitaran haid seseorang itu berbeza.
Mereka perlu menukar tuala wanita sekurang-kurangnya dalam tempoh empat jam untuk menjaga kebersihan diri. Jadi wanita mahupun lelaki kena faham perkara ini untuk pengetahuan bersama.
>>Apa perasaan Nurul Ashikin apabila isu ini menjadi tular di samping membuka mata sesetengah masyarakat bahawa wujudnya kemiskinan haid di Malaysia walaupun di bandar?
Pada mulanya saya terkejut apabila ia boleh menjadi tular namun saya gembira kerana akhirnya ia dapat membuka mata sesetengah pihak ke arah isu kemiskinan haid.
Dikecam atau tidak bukan menjadi isu di sini, yang penting kita berjaya menyedarkan masyarakat bahawa isu ini memang wujud dan mencari jalan penyelesaian bersama-sama untuk membantu golongan-golongan berkenaan.
Klik di sini untuk terus membaca