HUTAN hujan Amazon yang terbesar di dunia dan terletak di Amerika Selatan dibimbangi akan lenyap di muka bumi. Ia kini menjadi topik yang hangat diperbincangkan oleh pakar-pakar alam sekitar dan perubahan iklim. Ini adalah kerana terdapat... Klik di sini untuk terus membaca

HUTAN hujan Amazon yang terbesar di dunia dan terletak di Amerika Selatan dibimbangi akan lenyap di muka bumi.

Ia kini menjadi topik yang hangat diperbincangkan oleh pakar-pakar alam sekitar dan perubahan iklim.

Ini adalah kerana terdapat kerja-kerja penerokaan tanah, pembersihan hutan yang kemudian dibakar bagi memberi laluan kepada pembinaan jalan-jalan raya, perlombongan emas, tanaman dan dijadikan tempat sebagai penternakan lembu.

Isu pembersihan dan penebangan pokok-pokok di hutan Amazon mendapat perhatian dunia selepas seorang penoreh getah Brazil, Chico Mendes mati ditembak di luar rumahnya di Xapuri di negeri Acre pada 22 Disember 1988.

Beliau ditembak mati oleh Darci Alves da Silva iaitu anak lelaki kepada seorang penternak haiwan tempatan yang berasa terancam kerana usaha-usaha Mendes untuk melindungi hutan Amazon.

Pada mulanya Mendes menyangka perjuangan untuk menyelamatkan pokok-pokok getah di Amazon daripada ditebang tetapi kemudian baharulah beliau menyedari bahawa perjuangannya itu sebenaranya adalah bagi melindungi hutan Amazon daripada kemusnahan.

PENYERAP KARBON DIOKSIDA

Sejak kematian Mendes, lebih 450,000 kilometer persegi kawasan hutan Amazon yang telah dimusnahkan terutamanya di Brazil, Peru, Colombia, Venezuela, Suriname, Guyana dan French Guyana.

Luas kawasan kemusnahan itu lebih besar daripada saiz negeri California di Amerika Syarikat (AS).

Jumlah kemusnahan hutan itu juga dalah bersamaan dengan 4,046 hektar pada setiap hari.

Hutan Amazon sebelum ini mempunyai sejarah sebagai penyerap karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen menerusi pokok-pokoknya tetapi di Brazil sahaja kemusnahan hutannya telah meningkat dan melepasi angka 30 peratus.

Penebangan pokok-pokok di hutan Amazon menyebabkan ia tidak lagi dapat digunakan untuk menyerap karbon dioksida. - Foto AFP

Bagaimanapun, kadar penebangan hutan itu berkurangan dalam jumlah yang sedikit dari tahun 2004 hingga 2012 tetapi meningkat semula sejak beberapa tahun kebelakangan ini sejak Jair Bolsonaro menjadi Presiden Brazil.

Bolsonaro memegang jawatan Presiden sejak tahun 2019 dan Brazil mempunyai 60 peratus daripada keseluruhan hutan Amazon namun di bawah pentadbirannya, tanah-tanah di negara tersebut dibuka untuk agrobisnes dan perlombongan.

TIGA JUTA SPESIES HIDUPAN LIAR TERANCAM

Pemusnahan hutan itu turut menimbulkan acaman terhadap lebih tiga juta spesies termasuk hidupan liar ikonik seperti burung helang harpy iaitu antara burung helang terbesar di dunia yang suka menjadi pokok-pokok besar dan kawasan luas sebagai tempatnya untuk membiak dan tempat habitat haiwan jaguar majestic.

Perlombongan emas haram di tanah-tanah penduduk Orang Asli menyebabkan kehidupan golongan tersebut yang dianggap sebagai penjaga terbaik hutan Amazon terjejas ekoran terdapat rasa hormat tinggi dalam kalangan mereka tentang alam sekitar.

Seorang pemimpin penduduk Shanenawa di barat laut Brazil, Eldo Shanenawa, 42, berkata seperti dilaporkan AFP bahawa cahaya matahari semakin panas, sungai-sungai kian kering dan banyak haiwan pula lenyap di hutan Amazon.

Bagaimanapun, hutan tersebut yang dianggap sebagai 'jantung bumi' atau juga dikenali sebagai 'lautan hijau' dan menyelamatkan manusia daripada pencemaran alam sekitar hasil perbuatan manusia kini mengeluarkan lebih banyak karbon dioksida berbanding daripada jumlah gas itu yang diserapnya.

Kajian yang dijalankan sebelum ini memberikan petunjuk bahawa hutan hujan Amazon itu berada hampir dengan posisi genting yang akan menyebabkan ia akan kering dan bertukar menjadi kawasan padang rumput atau savana manakala pokok-pokoknya pula akan mati dalam jumlah yang besar.

Ketika pelepasan gas karbon dioksida meningkat sebanyak 50 peratus dalam tempoh 60 tahun kepada hampir 40 bilion tan di seluruh dunia, hutan Amazon menyerap sejumlah besar daripada pencemaran gas tersebut iaitu hampir dua bilion tan setahun baru-baru ini.

PENTERNAKAN LEMBU

Sebahagian hutan Amazon itu dijadikan sebagai penternakan lembu di Brazil yang kini merupakan pengeluar dan pengeksport terbesar daging haiwan tersebut di dunia namun ia tidak memerlukan bantuan manusia untuk mengeluarkan gas karbon dioksida.

Menurut satu kajian, hutan Amazon akan berada dalam kedudukan posisi genting apabila 20 atau 25 peratus daripada hutannya dimusnahkan.

Ketika ini, sebanyak 15 peratus kawasan hutan tersebut telah dimusnahkan.

Kebanyakan hutan tersebut yang telah dimusnahkan kini digunakan untuk tujuan penternakan lembu.

"Kita kini membunuh hutan Amazon," kata seorang saintis, Luciana Gatti di agenssi angkasa lepas Brazil, INPE yang telah mengkaji peranan hutan tersebut ketika berlakunya perubahan iklim seperti dilaporkan oleh AFP. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca