[MUKADIMAH] Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bukanlah calang-calang pemimpin dari Sabah.
Pernah dibuang daripada UMNO, beliau bangkit membentuk parti sendiri dan menjadi Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan).
Lebih manis Shafie bersama Warisan menang dan mentadbir Sabah pada tahun 2018 sebelum berlaku krisis pada tahun lalu.
Terbaru, beliau kini menyatakan hasrat untuk melebarkan sayap Warisan ke Semenanjung.
Ikuti Wawancara Eksklusif Tan Sri Johan Jaaffar bersama Mohd Shafie Apdal yang mengungkap jatuh bangun beliau sebagai ahli politik.
JOHAN: Sekiranya bukan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicalonkan oleh parti pembangkang pada bulan Ogos lalu sebagai Perdana Menteri, apakah agaknya saya akan bercakap dengan Perdana Menteri kesembilan?
MOHD SHAFIE: Saya mengucapkan terima kasih kerana memberi ruang untuk saya bersama dengan Tan Sri. Ini satu penghargaan dan sebenarnya persoalan itu sering ditimbulkan oleh beberapa pihak.
Sememangnya kalau ada contohnya dalam peringkat awal di mana kita telah sepakat untuk menyatakan bahawa dua tokoh pihak pembangkang ditampilkan bertanding menjadi calon ke Perdana Menteri kesembilan.
Selepas itu bila Istana meletakkan syarat, dia seorang sahaja. Jadi calon itu yang boleh dikemukakan dan itu antara penyebab perkara di mana saya menyedari hakikat bahawa sekiranya saya pun ditawarkan diri sudah pasti kemungkinan perpecahan undi dalam kalangan perwakilan pembangkang itu akan berlaku.
Tetapi sekiranya diberi peluang, kerana saya juga mempunyai pengikut. Contohnya, dari Sarawak ada dua orang, Johor (dua orang); Perak (seorang) dan ada beberapa lagi yang saya dihubungi malam itu.
Ada empat daripada UMNO. Kemungkinan besar saya tidak menafikan tetapi itu dah berlaku.
>>Datuk Seri terbabit dalam dunia politik setelah sekian lama dan satu-satunya Naib Presiden UMNO dari Sabah setakat ini. Apa agaknya yang Datuk Seri rasakan pengajaran yang paling utama sepanjang menjadi orang politik?
Dalam rentetan perjuangan politik ini bukan mudah. Perlu melalui liku-liku yang amat mencabar dan berbagai rintangan terpaksa dihadapi.
Tetapi saya yakin sepanjang hampir 30 tahun lebih bergiat dalam gelanggang politik, salah satu perkara yang saya pegang sepanjang pengalaman saya ialah nilai-nilai baik.
Dalam kehidupan kalau kita berpegang dan berpaut dengan nilai-nilai itu maka perjalanan politik dan kehidupan kita tidak begitu mencabar kerana kita tidak bimbang ada jawatan atau tidak ada jawatan.
Kerana kita berpegang dengan nilai bahawa kita ingin beramal dan berbakti.
Kalau kita mahu berbakti kepada rakyat, kita tidak boleh memaksa mereka untuk memberi undi kepada kita kerana beramal ini tidak ada paksaan. Maka itu ada nilai yang juga ada hubung kaitnya dengan integriti.
Kita melaksanakan tanggungjawab bukan mudah kerana sebagai seorang ahli politik, bila ada kuasa, berbagai godaan dan tekanan yang berlaku dalam kehidupan kita.
>>Datuk Seri menyebut nilai-nilai yang baik termasuk nilai integriti. Ramai orang mengatakan bahawa nilai kualiti integriti itu semakin terhakis dalam dunia politik hari ini. Apa komen Datuk Seri?
Saya amat bersetuju. Kalau kita melihat krisis demi krisis berlaku bukan hanya di rantau tetapi juga di dunia. Malaysia tidak terkecuali daripada keadaan yang berlaku pada saat ini. Kualiti kepimpinan dalam negara kita sudah menjadi persoalan besar.
Keadaan pengurusan ekonomi, pentadbiran politik, dalam keadaan dasar dan perundangan negara kita dicabuli. Itu bergantung dengan apa yang kita katakan nilai kepimpinan. Kalau dalam Islam, imamnya. Yang penting kalau imam itu bacaannya dan pimpinannya betul, maka perjalanan ibadat itu akan dapat disempurnakan.
Jadi kalau kita dapat melihat itu antara kepimpinan yang dapat kita paparkan sebahagian daripada dakwah kita kepada umat kita mengikut penduduk di sesebuah negara itu, mereka akan dapat melihat bahawa betapa pentingnya seseorang tokoh pimpinan negara itu dapat menonjolkan kepimpinan yang baik dan menjadi ikutan kepada orang lain.
>>Bukan lagi satu rahsia bahawa Datuk Seri ingin membawa parti Warisan ke Semenanjung. Kenapa?
Di peringkat awal saya berbincang dengan beberapa tokoh termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad; bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan ramai lagi. Kami duduk di Cyberjaya bincangkan tentang keadaan dah jauh dah perjalanan.
Kita nampak bahawa tidak ada harapan kalau hanya dengan landasan UMNO maka, dengan itu perlunya satu perubahan besar perlu dilakukan di negara kita.
Waktu itu ramai tidak menganggap UMNO akan tumbang. Ramai yang datang berjumpa dengan saya mengatakan mereka yakin bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) boleh bertapak tetapi saya nyatakan bahawa akan berlaku perubahan besar dalam negara.
Bila berlaku perkara itu, Dr Mahathir mewujudkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Selepas itu, beliau menawarkan saya jawatan timbalan presiden Bersatu dan saya maklumkan pada beliau: ‘Tun (Dr Mahathir) minta maaf, sebenarnya saya sudah bawa UMNO ke Sabah’.
Masyarakat Sabah memang dari dahulu suaranya lantang sejak pembentukan Malaysia, mereka ada harapan cukup tinggi melihat perubahan dari segi kehidupan dan kemakmuran. Malangnya tidak dapat direalisasikan selama 58 tahun.
Jadi saya nyatakan: ‘Tun (Dr Mahathir) saya ada parti landasan saya’. Yang penting kita nak lihat bahawa perjuangan ini bukan hanya di peringkat Sabah, tetapi di peringkat nasional. Maka dengan itu kita bentuk kerajaan. Mulanya, Pakatan Harapan (PH) tambah Warisan.
Selepas itu, saya nampak PH dah terbabas. Saya mintak kecualikan saya kerana saya mahu penyatuan di antara tokoh-tokoh pimpinan atasan tetapi tidak dapat direalisasikan.
>>Banyak pandangan masyarakat yang mengatakan bahawa Datuk Seri adalah ‘warlord’ dari Sabah dan partinya adala parti Sabah. Apa yang boleh ditawarkan oleh Warisan kepada rakyat Semenanjung?
Saya sebenarnya bukannya ‘warlord’ Sabah. Saya seorang pimpinan dan insan manusia yang telah berkhidmat di negara ini selama 32 tahun, bukan hanya pimpinan di peringkat Sabah. Di peringkat nasional sudah lama.
Hampir 32 tahun saya berkecimpung dalam gelanggang politik nasional. Jadi kalau dilihat bahawa kita menjadi satu pimpinan ‘warlord’ di negeri itu, bila saya sebagai Naib Presiden bertanding tujuh negeri saya dapat 100 peratus, Kelantan, Pahang, Selangor, Kedah dan seterusnya.
Mereka memberi sokongan, maknanya keyakinan bahawa seorang wakil pimpinan yang mereka boleh bagi sokongan untuk menjadi seorang tokoh.
Warisan ini seperti yang saya nyatakan, tidak bererti walaupun ia dilihat seakan-akan untuk Sabah, tetapi ia memperjuangkan negara kita. Kalau kita lihat contohnya UMNO, DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga boleh dipanjangkan sayapnya ke Sabah.
Warisan berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) tetapi kenapa tidak boleh dipanjangkan.
>>Bila secara rasminya akan diumumkan kemasukan parti Warisan ke Semenanjung?
Insya-ALLAH dalam tahun ini jika tidak ada halangan. Setakat ini sudah ada menyatakan minat kepada parti ini berdasarkan daripada beberapa orang yang saya sudah temui.
Klik di sini untuk terus membaca