BEBERAPA hari lalu, kerajaan Kelantan Pas menguatkuasakan 24 peruntukan baharu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang antaranya melibatkan persetubuhan dengan mayat, sihir, dakwaan palsu, percubaan keluar Islam, memutarbelitkan ajaran Islam dan persetubuhan dengan bukan manusia.
Reaksi pertama saya – apakah negeri itu pelik, rakyatnya pelik atau pemimpinnya pelik? Apakah Pas memikirkan inilah caranya untuk menyelamatkan negeri yang ramai rakyatnya sedang susah sekarang?
Jika Pas mengutamakan pelaksanaan jenayah Islam, kenapa tidak diperjuangkan RUU 355 sementara berkuasa di peringkat Pusat?
RUU 355 tentunya lebih meluas lagi penggunaannya di seluruh Persekutuan dan melibatkan jenayah yang lebih kerap dilakukan berbanding kesalahan bersetubuh dengan mayat atau bersetubuh dengan bukan manusia.
Sudah ditelitikah kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan itu sama ada bertentangan atau tidak dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya perbuatan unnatural sex itu?
Tahukah pemimpin Pas, dalam kes Iki Putra, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa dalam kesalahan-kesalahan yang telah pun berada di bawah undang-undang Persekutuan termasuklah jenayah unnatural sex.
Jika unnatural sex teruk di Kelantan, kenapakah setelah memerintah 31 tahun, baru tahun ini kesalahan jenayah berkenaan mahu diperkenalkan?
Dalam memerintah Kelantan, Pas perlu tahu memilih prioriti. Rakyat hendakkan air paip bersih, peluang pekerjaan dan perniagaan serta kemudahan infrastruktur yang baik.
MODAL AIR LIUR
Ini tidak, lain yang rakyat hendak, lain pula yang diberikan. Misalnya, rakyat dikenakan hukuman enam bulan penjara atau denda RM1,000 jika tidak menutup aurat.
Bagaimana jika pakai seluar pendek, bagaimana jika pakai kain nampak lutut? Apakah itu dikenakan denda juga?
Enakmen Kanun Jenayah Syariah juga menyatakan menjadi satu kesalahan bagi mereka yang memutarbelitkan ajaran Islam.
Apakah maksud memutar belitkan ajaran Islam itu? Apakah ia merujuk kepada ajaran sesat atau termasuk juga mereka yang selalu memberikan fatwa agama yang berbelit-belit?
Sementara kerajaan Kelantan boleh teruskan dengan pelaksanaan dan penguatkuasaan enakmen yang telah diluluskan itu, baik juga kiranya pemimpin Pas menggunakan masa dan tenaga untuk mengatasi masalah air, kebersihan, masalah dadah serta pil kuda, mengatasi masalah ekonomi rakyat, membangunkan pelancongan dan menggiatkan projek kraf tangan tempatan.
Kerajaan Kelantan juga perlu memperjuangkan banyak lagi isu besar lain seperti isu rasuah, literasi rakyat, alam sekitar dan kewangan negeri yang selalu defisit.
Jika ini tidak kerajaan Pas perjuangkan, negeri Kelantan akan terus mundur dan merosot.
Dengan kadar pertumbuhan ekonomi sekarang, bayangkan apa yang akan berlaku dalam tempoh 10 tahun dari sekarang?
Mengulas tindakan kerajaan Pas Kelantan ini, kawan saya berkata: "Pas laksanakan enakmen ini kerana ia tidak memerlukan modal.
Modalnya air liur sahaja, mudah jual sebab melibatkan dosa pahala.”Sesungguhnya Pas ini pelik dan memerlukan perubahan paradigma. Begitulah!
Dalam memerintah Kelantan, Pas perlu tahu memilih prioriti. Rakyat hendakkan air paip bersih, peluang pekerjaan dan perniagaan serta kemudahan infrastruktur yang baik.
Ini tidak, lain yang rakyat hendak, lain pula yang diberikan.”
- Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, penganalisis politik
Klik di sini untuk terus membaca