SERPIHAN peluru daripada pertempuran dengan ketua lanun dikenali sebagai Raja Laut yang berlaku 43 tahun lalu masih tertanam di tubuh seorang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sarjan Detektif Zakaria Sabtu. Zakaria atau lebih dikenali... Klik di sini untuk terus membaca

SERPIHAN peluru daripada pertempuran dengan ketua lanun dikenali sebagai Raja Laut yang berlaku 43 tahun lalu masih tertanam di tubuh seorang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sarjan Detektif Zakaria Sabtu.

Zakaria atau lebih dikenali sebagai Zakaria General, 74, memberitahu kejadian tersebut masih segar dalam ingatannya sehingga kini.

"Detik mencemaskan itu berlaku pada hari 10 apabila saya bersama beberapa anggota UTK berjaya menjejaki Raja Laut atau nama sebenarnya Tan Kuan Seah di Pulau Sangga Kecil di perairan Perak pada 1 Mei 1978," ceritanya ketika ditemui Sinar Harian di Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Menurut beliau, ketua lanun itu amat ganas dan turut disyaki terlibat dalam beberapa siri pembunuhan serta penculikan di kawasan berkenaan, malah suspek turut aktif memeras ugut dengan meminta wang pelindungan daripada tauke kayu bakau dan tauke bot pukat tunda.

"Dia juga terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dan candu serta amat dikehendaki oleh polis ketika itu,” katanya.

Menceritakan tragedi yang hampir meragut nyawanya, Zakaria memberitahu, beliau diberi peranan sebagai penembak tepat atau sniper di siang hari, manakala rakannya Sub Inspektor (SI) Abdul Rahman Ahmad sniper pada malam.

Zakaria menunjukkan kesan tembakan di lengannya. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

"Kami turut dibantu tiga anggota daripada bahagian lain dalam operasi tersebut," katanya.

Zakaria berkata, pada hari kejadian, Abdul Rahman mendakwa dia mendapat 'petanda' melalui mimpinya berkaitan Raja Laut.

"Abdul Rahman mendakwa dia bermimpi Raja Laut menggunakan alat pembesar suara serta memberi amaran di hadapan pasukan operasi itu," katanya.

Zakaria dan gambar Raja Laut (kiri)

MENGEJAR RAJA LAUT

Selepas Abdul Rahman menceritakan mimpinya, tiba-tiba sebuah bot laju yang dinaiki Raja Laut dengan memakai topi keledar warna hijau melintasi lokasi pasukan operasi berkenaan.

"Saya nampak bot laju itu menuju ke rumah kongsi yang juga terletak di kawasan paya bakau yang jaraknya kira-kira satu kilometer dari lokasi pasukan operasi," ujarnya.

Sejurus selepas itu, Zakaria bersama tiga rakan sepasukan lain kecuali Abdul Rahman terpaksa menyeberang sungai untuk menghampiri lokasi Raja Laut.

"Hanya saya bersama seorang anggota pembantu berjaya menyeberang sungai, manakala dua lagi anggota tidak berjaya kerana mereka ikut jalan lain," katanya.

Zakaria kemudian terus memasang senjata jenis HK-G3 menghala ke rumah kongsi tersebut.

"Tiba-tiba tiga remaja lelaki keluar dari rumah kongsi menuju ke arah sampan, anggota pembantu terus menghampiri mereka dan menyoal di mana Raja Laut," katanya.

Ketua lanun itu turut disyaki terlibat dalam beberapa siri pembunuhan dan penculikan di kawasan berkenaan.

Menurut Zakaria, beliau kemudian ternampak dua kelibat individu cuba melarikan diri dari arah belakang rumah kongsi tersebut.

Senjata milik Raja Laut ditemukan polis.

"Saya terus mengangkat senjata sniper seberat enam kilogram dan melepaskan tembakan mengenai salah seorang individu itu," katanya.

Beliau kemudian menghampiri individu berkenaan dan mendapati tembakannya mengenai dada lelaki itu.

"Individu itu bukan Raja Laut tetapi salah seorang rakannya, saya kemudian melepaskan tembakan kedua selepas mendapati kelibat Raja Laut di sebalik pohon paya bakau, namun tembakan itu tidak mengenai sasaran," jelas beliau.

TERKENA TEMBAKAN M16

Zakaria seterusnya memberitahu, dia kemudian mengejar Raja Laut sehingga ke tebing sungai.

"Saya mendapati Raja Laut berada di kawasan berlumpur di bawah tebing, saya segera mengacukan 'sniper' ke arahnya, tiba-tiba senjata saya itu tidak meletup akibat kelongsong peluru tembakan terdahulu tersengkang di dalam 'chamber'.

"Ketika saya sedang berusaha untuk mengeluarkannya, Raja Laut telah melepaskan tembakan menggunakan senjata M16 sehingga habis satu magazin peluru," ujarnya.

Beliau berkata, senjatanya itu juga telah terkena tiga tembakan yang dilepaskan oleh Raja Laut dan menyebabkan ia bengkok serta rosak keseluruhannya.

"Turut terkena tembakan, satu kelopak simpanan berisi 20 butir peluru yang berada di poket kiri seluar saya.

"Sebanyak lima butir lagi telah menembusi leher, pinggang di sebelah kiri, lengan kiri, rusuk kiri dan paha kiri saya," jelasnya.

Zakaria berkata, beliau melihat Raja Laut tidak dapat bergerak kerana hampir separuh badannya diselaputi lumpur.

"Pada masa sama, tangan kiri saya mula kebas dan tidak boleh diangkat. Saya berundur ke arah rakan yang menunggu di belakang serta memberitahu kedudukan musuh kepadanya," kata beliau.

Zakaria menambah, beliau bersama rakan sepasukannya kemudian pergi ke bot milik Raja Laut.

"Kami mendapati kunci bot itu tidak ada, rakan saya terpaksa mendayung ke tengah laut.

"Kami kemudian terserempak dengan sebuah bot yang dinaiki oleh seorang remaja yang juga seorang nelayan, dia membawa bot kami ke sebuah bot pasukan Polis Marin," katanya.

Lakaran pertempuran Zakaria dengan Raja Laut.

Beliau kemudian dibawa ke jati berhampiran untuk dihantar dengan ambulans ke sebuah hospital di Taiping, Perak dan menerima rawatan selama empat hari di hospital berkenaan.

Tambah beliau, doktor hanya berjaya mengeluarkan beberapa butir peluru pada leher dan anggota badan lain dalam tiga pembedahan.

"Bagaimanapun, serpihan peluru yang berkecai itu masih tidak dapat dikeluarkan hingga kini,” katanya.

Menurut Zakaria lagi, ketika berada di hospital, beliau dimaklumkan polis menemukan 17 kelongsong peluru dari senjata Raja Laut di dalam lumpur.

"Sepasukan anggota polis turut menemui senjata dan kesan Raja Laut mengharung lumpur sebelum melarikan diri," katanya.

MAHU MILIKI SENJATA

Zakaria menganggap pertempuran yang dilaluinya itu dianggap sebagai ‘merdeka’ bagi penduduk di kawasan tersebut.

"Raja Laut telah bergiat aktif selama 20 tahun, penduduk di kawasan itu kini hidup aman selepas bebas daripada cengkaman ketua lanun tersebut," katanya.

Zakaria berharap dapat memiliki bangkai senjata 'sniper' yang pernah digunakannya sebagai ganti kesakitan yang ditanggung akibat peluru yang tertanam ditubuhnya.

"Saya telah melakukan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sedaya upaya demi untuk membebaskan orang awam daripada cengkaman kumpulan lanun.

"Saya berharap permohonan saya ini diberikan pertimbangan olah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Zakaria mula menyertai PDRM pada 8 Jun 1969 dan bersara awal pada 1 Julai 2001.

"Kriteria yang perlu ada bagi seorang calon 'sniper' UTK adalah perlu menjadi seorang penembak terbaik, mampu melihat serta mengenali objek yang jauh tanpa menggunakan teropong.

"Individu berkenaan juga perlu ada deria pendengaran yang baik, sikap sabar serta tahan dengan tekanan dan mampu bertindak sebagai anggota penggempur," katanya.

Beliau memberitahu, kumpulan 'sniper' UTK pertama negara ditubuhkan pada tahun 1975.

Zakaria menunjukkan buku hasil pengalamannya dalam Unit Tindakan Khas. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

"Pada tahun 1976 anggota terlibat telah menjalani latihan khas dalam bidang tersebut dengan sebuah pasukan anti pengganas terunggul di dunia iaitu British Special Air Service (SAS)," jelasnya.

Zakaria menasihati anggota polis baharu yang mahu menjadi seorang perisik, penggempur atau sniper perlu ada fokus terhadap tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan ke atas mereka.

"Anggota polis baharu perlu lebih fokus kepada tugas dan perlu sanggup bertugas tidak kira masa dan berkorban demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam," ujar Zakaria.

BIODATA

Nama: Zakaria Sabtu @ Zakaria General

Umur: 74

Tarikh lahir: 24 September 1947

Anak: Tiga orang (dua perempuan, seorang lelaki)

Sertai PDRM : 8 Jun 1969

Pangkat : Sarjan Detektif

Tempoh pegang pangkat : 19 tahun 6 bulan

Tarikh bersara : 1 Julai 2001

Umur bersara : 54 tahun (pilihan sendiri)

Tugas: Tiger Platoon Pasukan Polis Hutan (PPH)

Unit Tindak Khas (UTK)

Cawangan Khas

Latihan: 1972 Guerilla Warfare (British SAS)

1976 Anti Urban Guerilla (British SAS)

Pingat:

Pingat Pangkuan Negara (PPN) pada 1979

Klik di sini untuk terus membaca