TUMPUAN rakyat Malaysia kini terarah di negeri bersejarah Melaka berikutan pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan pada 20 November ini. Pagi ini, parti-parti politik dilihat akan memasuki gear dua PRN Melaka dengan membuat pengumuman... Klik di sini untuk terus membaca

TUMPUAN rakyat Malaysia kini terarah di negeri bersejarah Melaka berikutan pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan pada 20 November ini.

Pagi ini, parti-parti politik dilihat akan memasuki gear dua PRN Melaka dengan membuat pengumuman calon-calon daripada parti masing-masing.

Setakat ini difahamkan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan dikatakan bakal mendedahkan calon masing-masing hari ini. Perikatan Nasional yang menggabungkan Bersatu dan Pas pula memaklumkan senarai nama calon mereka sama ada akan diumumkan hari ini atau esok.

Namun, di sebalik fokus kepada senarai calon itu, tumpuan pemerhati politik juga terarah adakah Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil tanggungjawab mediator atau orang tengah berjaya mengelakkan pertembungan tiga penjuru antara calon BN dan PN di Melaka.

Ia susulan penegasan Ismail Sabri pada Sabtu minggu lalu, yang beliau diberi mandat oleh MKT UMNO untuk berunding dengan parti dalam kerajaan bagi mengelakkan PH mendapat keuntungan sekiranya pertembungan tiga penjuru.

Cabaran bagi Ismail Sabri tentulah besar, kerana bergelar Perdana Menteri atau nakhoda Putrajaya beliau perlu memastikan 'parti-parti' dalam kerajaan tidak berseteru agar pentadbirannya tidak tumbang seperti PM-PM sebelum beliau.

Namun, pada masa yang sama, menjadi PM yang juga bukan Presiden kepada UMNO, keputusan-keputusan parti tertua itu bukanlah solid atau hak prerogatif sepenuhnya di tangan beliau.

Situasi itu sudah tentulah mempunyai kesan ke atas beliau, malah beberapa veteran UMNO melahirkan kebimbangan, jika BN dan PN bertembung di mana-mana kerusi dalam PRN Melaka, ia dilihat seolah-olah kegagalan Ismail Sabri menjadi mediator terbaik.

Dr Mohamad Khir Toyo

Veteran UMNO, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, penjelasan Naib Presiden UMNO itu menjadi mediator dalam rundingan bersama parti-parti kerajaan termasuk Perikatan Nasional (PN) bagi mengelakkan pertembungan lebih dua penjuru, sebenarnya mencetuskan kegusaran dalam kalangan akar umbi UMNO sendiri.

Ujarnya, hal ini kerana ahli-ahli UMNO berpegang dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 iaitu 'No Anwar, No DAP dan No Bersatu' dengan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) turut memuktamadkan sebarang perbincangan kerjasama hanya dengan Pas menerusi semangat Muafakat Nasional (MN).

MKT UMNO 'BERI MUKA'

"Pada PRN Melaka, saya lihat isu sebenar yang menimbulkan polemik percakaran di antara UMNO, Pas dan PN hanyalah dari sudut jumlah agihan kerusi yang akan ditandingi parti-parti berkenaan, bukan isu lambang pilihan raya dan sebagainya.

"Apabila Ismail Sabri umum jadi mediator untuk berunding dengan parti-parti dalam kerajaan termasuk PN, secara tersirat MKT UMNO sebenarnya 'memberi muka' kepada beliau bagi mengelakkan kesan keputusan PRN Melaka menjejaskan pentadbiran kerajaan Pusat.

"Cuma, kalau Ismail Sabri gagal merundingkan UMNO mendapat sekurang-kurangnya 13 kerusi DUN majoriti pengundi Melayu daripada PN dan Pas, akan ada pandangan kurang baik akar peringkat akar umbi parti yang beliau melebihkan Bersatu atau PN," katanya kepada Sinar Premium.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal, 16 November.

DILEMA ISMAIL SABRI

Mengulas lanjut, Mohamad Khir mengakui Ismail Sabri sememangnya berdepan dilema besar untuk mengimbangi tuntutan parti dan desakan pemimpin parti-parti dalam kerajaan yang mahukan UMNO 'beralah' dalam soal pengagihan kerusi pilihan raya terhadap PN.

Ismail Sabri wajar memastikan sebarang perundingan kerusi pilihan raya dengan Bersatu dan Pas tidak merugikan UMNO pada PRN Melaka.

Jelas beliau, dengan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti bukan pengundi Melayu ketika ini jelas dikuasai DAP, sebarang rundingan pengagihan kerusi di antara UMNO, Pas dan Bersatu hanya menfokuskan lebihan 20 kerusi DUN majoriti Melayu.

"Dalam keadaan BN paling lemah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), UMNO masih mampu memenangi 13 kerusi DUN Melaka, Bersatu yang bersama PH ketika itu hanya mampu menang dua kerusi dan Pas gagal menang sebarang kerusi.

"Takkan pada PRN Melaka, UMNO kena bertanding kurang daripada 13 kerusi? Sebab saya difahamkan PN cadang UMNO bertanding lapan kerusi sebelum ini.

"Atas faktor itu, Ismail Sabri kena memastikan UMNO mendapat sekurang-kurangnya 16 kerusi DUN majoriti pengundi Melayu pada PRN Melaka dengan langkah itu akan memastikan beliau terus mendapat sokongan tidak berbelah bahagi ahli-ahli parti," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakob berharap rundingan BN dengan parti-parti lain dalam kerajaan tidak menjejaskan bilangan kerusi yang sepatutnya diperoleh UMNO.

"Yang jelas, kita tidak mahu sekiranya perundingan atas alasan mengelakkan pertembungan tiga penjuru dan memenangkan PH itu, akhirnya akan menyebabkan UMNO sendiri terkorban.

"Jadi, bagaimana bentuk rundingan yang mahu dilaksanakan Perdana Menteri, perkara itu menimbulkan persoalan kerana pendirian PAU 2020 jelas menolak kerjasama dengan Bersatu.

"Bagi saya, apa sahaja kaedah rundingan diguna pakai Ismail Sabri kelak mesti dijelaskan bukan sahaja kepada MKT UMNO, bahkan ahli-ahli UMNO bagi mengelakkan mereka terus terkeliru dan sekali gus melemahkan semangat jentera pilihan raya parti," katanya.

Mustapha

BIMBANG KERJASAMA JADI PRECEDENT CASE

Satu lagi kebimbangan Mustapha adalah sebarang rundingan kerjasama tidak rasmi dengan Bersatu dan PN pada PRN Melaka akan dijadikan 'kes duluan' oleh pemimpin UMNO pro-Bersatu bagi menghadapi PRU15.

"Kita kena tahu PRN Melaka adalah cerminan PRU15 dengan sebarang keputusan dibuat dalam PRN yang melibatkan kerjasama parti-parti lain akan beri kesan kepada PRU15.

"Saya bimbang kalau BN bersetuju bekerjasama dengan Bersatu atas alasan elak pertembungan tiga penjuru, keputusan itu akan menjadi precedent case (kes duluan) bagi UMNO hadapi PRU15.

"Janganlah sampai kita buat keputusan merugikan parti hanya semata-mata untuk menyelamatkan keadaan di Melaka," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca