SEPANJANG kita bergaul dengan seseorang, sudah tentu kita berpengalaman bertemu dengan seseorang yang kita rasa ‘berminat’ untuk memanjangkan perhubungan dan tidak kurang juga yang ditamatkan perhubungan dengan hanya sekali pertemuan.
Bagi mereka yang dipanjangkan perhubungan, disebabkan kita terpesona dengan bicaranya, pemikirannya dan pandangannya yang jelas serta luas terhadap cabaran kehidupan di dunia.
Pendek kata, kita amat selesa dengan sikap terbuka, berlapang dada dan suka membuat penyelesaian serta mengelak pertikaian. Apa yang jelas, kita begitu suka dengan karakternya.
Sebetulnya, terdapat pelbagai kupasan berkaitan makna karakter. Secara umumnya, karakter bermaksud ciri-ciri perwatakan yang membezakan seseorang daripada yang lain.
Analogi paling mudah, perbezaan karakter adalah seperti karakter tulisan rumi, jawi, Cina dan sebagainya yang cukup jelas perbezaan simbol serta mempunyai pengaruh dan keistimewaan tersendiri.
Begitulah juga dengan kita, perbezaan karakter menentukan siapa kita berbanding orang lain.
Secara lebih jelas, pembinaan karakter melibatkan pembentukan tabiat, motif kehidupan dan kerangka fikir. Kesemua pembinaan karakter tersebut berkait rapat dengan prinsip moral dan integriti yang tinggi.
Pendek kata, karakter yang baik adalah ‘mahkota’ kehidupan seseorang.
Selain itu, ketulenan karakter seseorang akan dapat dinilai menerusi reaksi mereka terhadap sesuatu perkara.
Kadang-kala 'true colour' atau diri sebenar seseorang akan terdedah apabila mereka terdedah dengan pelbagai konflik dan masalah.
Menurut perspektif psikologi, karakter yang baik akan membentuk winning personality atau pembentukan ‘personalti magnet’ – menarik minat orang lain untuk mendekati kita.
Justeru, setiap karakter dibuktikan menerusi tingkah laku. Menurut Pak Hamka menerusi bukunya Peribadi Hebat - "Peribadi bermakna kumpulan sifat dan kelebihan diri yang menunjukkan kelebihan seseorang daripada orang lain sehingga ada manusia besar dan manusia kecil. Ada manusia yang sangat bererti hidupnya dan ada yang tidak bererti sama sekali.
Kedatangannya tidak menggenapkan dan kepergiannya tidak mengganjilkan. Tinggi rendahnya peribadi seseorang adalah kerana usaha hidupnya, caranya berfikir, tepatnya berhitung, jauhnya memandang dan kuatnya semangat diri sendiri.”
Berpandukan kepada beberapa keterangan berkaitan karakter, adalah jelas setiap individu perlu serius membina karakter. Pun begitu, tidak ramai memandang serius hal itu.
Pada hemat saya, pembentukan karakter bagi setiap individu perlu bermula di rumah lagi. Jika anak-anak kita dididik dengan etika dan pandangan hidup yang betul, sekali gus akan menjadikan keluarga kita ‘keluarga yang berkarakter’.
Begitu jugalah dengan pembinaan karakter setiap pekerja dalam organisasi akan membentuk ‘organisasi yang berkarakter’. Akhirnya, akan mendorong pembinaan masyarakat yang berkarakter.
Namun, bukanlah semudah itu untuk melaksanakan gagasan yang lebih besar ke arah negara yang berkarakter, selagi kita tidak berani berpegang kepada prinsip kebenaran dan integriti tinggi.
Bagi mereka yang berkarakter, kelantangan menuntut keadilan, berani mempersoalkan sesuatu tindakan dan menolak segala kebejatan sudah menjadi keutamaan diri.
Jadi, sikap yang berlawanan seperti bersetuju tanpa bahas, reda tanpa berusaha mengubah keadaan, tidak berani menyuarakan pandangan dan takut untuk menuntut hak adalah petanda ‘kebaculan’ karakter seseorang.
Ia bermakna, jiwa dan pemikiran perlu diperkukuhkan bagi membina karakter berwibawa. Berkaitan dengan kekuatan jiwa, daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: "Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati.” (Hadis Riwayat Bukhari).
Sedarlah, kemusnahan negara akibat penjajahan fizikal tidaklah seteruk ‘penjajahan’ minda dan jiwa. Selagi kita tidak berkarakter, selagi itulah yang dungu bermaharajalela. Jadilah generasi yang berkarakter.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca