ELOKLAH perbuatan mengintai diklasifikasikan sebagai jenayah kerana ia adalah perbuatan yang buruk. Boleh memberi aib kepada orang yang diintai sehingga perasaan terganggu. Biasanya perbuatan mengintai dikaitkan dengan lelaki yang suka... Klik di sini untuk terus membaca

ELOKLAH perbuatan mengintai diklasifikasikan sebagai jenayah kerana ia adalah perbuatan yang buruk. Boleh memberi aib kepada orang yang diintai sehingga perasaan terganggu.

Biasanya perbuatan mengintai dikaitkan dengan lelaki yang suka mengintai perempuan. Perempuan yang selalunya akan menjadi mangsa. Jarang-jarang lelaki diintai perempuan. Aksi intai banyak dipaparkan, contohnya dalam cerita atau drama di televisyen.

Saya pernah melihat cerita yang mengisahkan beberapa pelajar mengintai anak dara warden. Namun, tersalah intai, yang nampak si bapanya, bukan anak daranya, menyebabkan pengintai itu berdarah hidung.

Di asrama, memang banyak berlaku kejadian intai-mengintai. Biasanya pelajar lelaki akan menghendap ke asrama perempuan waktu tengah malam atau awal pagi untuk mengintip pelajar perempuan mandi atau membasuh baju.

Kejadian itu biasanya apabila disebarkan akan menyebabkan kemurungan kepada mangsa. Pihak berkenaan eloklah memberi perhatian supaya gejala itu dapat dibendung dan diambil tindakan.

Pada masa yang sama, mungkin pihak berkenaan dapat membuat kajian psikologi kenapa ada segelintir manusia suka mengintai. Daripada hasil kajian, dapatlah kita mencari satu penyelesaian.

Pihak berkenaan juga perlu memberi definisi jelas berkenaan jenayah intai. Jika kita melihat dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, intai memberi maksud ‘melihat dengan sembunyi-sembunyi untuk mengetahui gerak-geri orang atau lain-lain’.

Kalau kita semak perkataan menghendap pula merujuk kepada perbuatan merendahkan diri atau membongkok atau menyembunyikan diri supaya tidak kelihatan.

Selain itu, untuk perkataan menghendap, ada pepatah Melayu lama, berbanding perkataan mengintai yang mempunyai pantun sahaja. Contohnya, pepatah lama – ‘menghendap di balik lalang sehelai’.

Berdasarkan pepatah tersebut, maka kita dengan cepat boleh tahu maksudnya. Menghendap di balik lalang sehelai memang akan cepat dikesan terutama untuk orang berbadan besar.

Jika dalam talian atau di media sosial, istilah ‘stalking’ banyak digunakan. Biasanya kalau tuan puan seorang yang terkenal, kacak dan lawa, mungkin ramailah yang ‘stalking’ di media sosial tuan puan.

Tidak pastilah saya jika ‘stalking’ di media sosial dikira jenayah. Mungkin pihak yang celik komputer boleh membuat aplikasi untuk mengenal pasti siapa yang ‘stalking’ media sosial masing-masing.

Sekarang mungkin tidak ada jenayah khusus untuk mendakwa penghendap atau pengintai. Yang boleh didakwa, apabila orang yang mengintai itu melakukan langkah seterusnya seperti memberi ancaman, mengugut atau mencederakan.

Selain itu, istilah mengintip, menghendap dan 'stalking’ boleh dikaitkan dengan istilah menjaga tepi kain orang. Ada beberapa peribahasa selain menjaga tepi kain orang iaitu seperti ‘jangan buat kerbau tanduk panjang,’ dan ‘gerundang, tinggalah di kubangan’.

Rata-rata maksud peribahasa lama itu memberitahu supaya jangan masuk campur atau mengambil tahu hal orang lain. Walaupun kadang-kadang penting untuk kita yang hidup bermasyarakat mengambil tahu keadaan jiran kita.

Manalah tahu, ada jiran sedang susah atau sakit yang kita tidak tahu. Maka, mungkin kita pun mengintai di balik tingkap rumahnya hendak tahu apa khabar agaknya jiran kita itu. Kita berharap tidaklah dia akan menuduh kita ingin membuat kerbau tanduk panjang pula.

Jika jenayah berkenaan diaktakan, kita kena berhati-hati terutama kepada spesies yang memang jenis suka mengambil tahu hal dan mencari salah orang.

Selain itu, pihak berwajib seperti Jabatan Agama Islam juga perlu berhati-hati. Mungkin ada yang akan dikenakan akta mengintip ketika menjalankan tugas membanteras maksiat pula nanti.

* Penulis ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca