SHAH ALAM - Sah akan berlaku tiga penjuru dalam Pilihan Raya Negeri Melaka!
Itu kesimpulan yang dapat dibuat selepas Barisan Nasional sebentar tadi mengumumkan akan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengakui Barisan Nasional dan UMNO akan bergerak secara solo dalam PRN Melaka.
Pengumuman Mohamad itu menyebabkan hampir pasti akan berlaku pertembungan antara calon parti-parti kerajaan selepas Perikatan Nasional yang diwakili Bersatu dan Pas juga sudah pasti akan meletakkan calon mereka.
Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada Bersatu dan Pas akan bertanding di semua kerusi memandangkan gabungan itu belum mendedahkan senarai calon-calon mereka.
Dalam pengumuman BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur itu, Mohamad berkata, parti yang diwakili UMNO, MCA dan MIC itu menampil 86 peratus muka-muka baharu dalam PRN Melaka.
Antara muka baharu di Melaka termasuklah Ketua Perhubungan UMNO Melaka sendiri Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang bertanding di DUN Tanjung Bidara; Ketua Puteri Jasin yang juga seorang pelakon terkenal, Khaidhirah Abu Zahar atau Dira di DUN Rim dan Ketua Pemuda UMNO Tangga Batu, Datuk Rais Yasin bertanding di DUN Paya Rumput.
Dalam pada itu, beberapa pemerhati politik mengakui pertembungan tiga penjuru antara BN, PN dan PH terutamanya di kerusi Melayu akan memberi kelebihan kepada PH.
Ia berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan BN tumbang di Persekutuan dan negeri Melaka, selain beberapa kaji selidik semasa.
Satu simulasi yang pernah dikeluarkan oleh pemerhati politik meramalkan sekiranya berlaku persaingan dua penjuru di Melaka, parti kerajaan iaitu BN dan PN dijangka menang menang besar sebanyak 21 kerusi, manakala Pakatan Harapan hanya boleh mendapat tujuh kerusi. Enam daripadanya disumbangkan DAP di kawasan bandar.
Bagaimanapun cerita berbeza mungkin berlaku apabila terjadinya pertembungan tiga penjuru. Pemerhati meramalkan BN hanya boleh mendapat sembilan atau 10 kerusi, Pas satu atau dua kerusi manakala Bersatu satu kerusi.
Perpecahan undi Melayu dijangka memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan yang diramal boleh mendapat 16 kerusi dengan DAP lapan, PKR (4 kerusi), Amanah (3 kerusi) dan lain-lain (1 kerusi). Kerusi lain-lain itu disebut-sebut sebagai bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.
Berikut ialah senarai penuh calon-calon BN di 28 DUN:-
N01 - Kuala Linggi: Rosli Abdullah
N02 - Tanjung Bidara: Datuk Seri Ab Rauf Yusoh
N03 - Ayer Limau: Hameed Mytheen Kunju Basheer
N04 - Lendu: Datuk Seri Sulaiman Md Ali
N05 - Taboh Naning: Zulkiflee Mohd Zin
N06- Rembia: Datuk Muhammad Jailani Khamis
N07 - Gadek: P Shanmugam Ptcyhay
N08 - Machap Jaya: Ngwe Hee Sem
N09 - Durian Tunggal: Zahari Abd Kalil
N10- Asahan: Fairul Nizam Roslann
N11 - Sungai Udang: Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad
N12 - Pantai Kundor: Tuminah Kadi
N13 - Paya Rumput: Datuk Rais Yasin
N14 - Klebang: Datuk Lim Ban Hong
N15 - Pengkalan Batu: Kalsom Nordin
N16 - Ayer Keroh: Yong Fun Juan
N17 - Bukit Katil: Datuk Hasnoor Sdg Husin
N18 - Ayer Molek: Rahmad Mariman
N19 - Kesidang: Leong Hui Ying
N20 - Kota Laksamana: Bennjaminn Low Chin Hong
N21 - Duyong: Mohd Noor Helmy Abd Halem
N22 - Bandar Hilir: Lee Kah Sean
N23 - Telok Mas: Datuk Abdul Razak Abdul Rahman
N24 - Bemban: Datuk Koh Chin Han
N25 - Rim: Datuk Khaidhirah Abu Zahar
N26 -Serkam: Datuk Zaidi Attan
N27 - Merlimau: Dr Muhamad Akmal Saleh
N28 - Sungai Ramai: Siti Faizah Abdul Azis
Klik di sini untuk terus membaca