BERAPA lama kerajaan baru Melaka selepas PRN ke-15 ini bertahan? Sememangnya ada pengundi yang rasa mengundi kalau tak lama lagi Melaka akan membubarkan DUNnya apabila Parlimen dibubarkan, selebih-lebihnya dalam masa dua tahun. Pada hari... Klik di sini untuk terus membaca

BERAPA lama kerajaan baru Melaka selepas PRN ke-15 ini bertahan?

Sememangnya ada pengundi yang rasa mengundi kalau tak lama lagi Melaka akan membubarkan DUNnya apabila Parlimen dibubarkan, selebih-lebihnya dalam masa dua tahun.

Pada hari Isnin, Senator Liew Chin Tong dari DAP telah menolak jangkaan demikian kerana PRN tidak perlu disewaktukan dengan PRU.

Sungguhpun Sarawak adalah satu-satu negeri yang berlainan tempo dengan PRU sejak 2004, Sabah telah mengadakan PRN terlebih awal dan kini diikuti dengan Melaka.

Sememangnya, untuk kebanyakan Persekutuan berparlimen, termasuk India dan Jerman, PRU dan PRN tidak semestinya bertindih.

Akan tetapi, DUN tidak semesti terbubar kerana keinginan kerajaan. DUN boleh terbubar bila kerajaan hilang majoriti kerana ADUN katak lompat kolam dan tidak ingin menyerah kepada pihak lawan yang dapat rezeki katak.

LOMPAT MELOMPAT

Mengapa wakil rakyat melompat?

Sebab pertama ialah Dewan tergantung (hung legislature) di mana tiada parti atau gabungan yang mendapat majoriti.

Dalam demokrasi benar, parti-parti akan berunding untuk membentuk kerajaan campuran pasca-PRU atau mencapai Perjanjian Kepercayaan dan Belanjawan (Confidence and Supply Agreement, CSA) untuk menegakkan kerajaan minoriti yang stabil.

Jika kerajaan campuran jatuh kerana ada parti keluar kerajaan atau pembangkang membatalkan CSA, itu bukan lompatan parti tetapi pilihan absah dalam demokrasi Parlimen.

Yang menjadi masalah di Malaysia ialah parti-parti bertanding dalam gabungan pra-PRU tetapi kemudian melompat.

Malah, kerajaan dibentuk dalam Dewan tergantung dengan menarik wakil rakyat daripada pihak lawan, seperti yang berlaku di Perak dan Sabah selepas PRU14.

Sebab kedua dan yang lebih asas ialah tiadanya mekanisme hukuman untuk wakil rakyat yang melompat. Kalau YB katak nak lompat kolam, kerajaan bermajoriti besar pun boleh tumpang.

Ingat, PH mempunyai 139 kerusi, cuma sembilan kurang daripada dua-pertiga, sebelum dijatuhkan oleh Langkah Sheraton.

Kalau wakil rakyat keluar atau dipecat parti kerana prinsip atau perbezaan politik, mungkin beliau disokong pengundi, seperti Ahli Parlimen Johor Bahru, Shahrir Samad yang letak jawatan dan menang PKR dengan majoriti besar pada tahun 1987.

Untuk mencegah wakil rakyat melompat untuk menaik taraf diri, semacam penumpang pesawat daripada kelas ekonomi (pembangkang) kepada kelas perniagaan (‘backbenchers’ kerajaan) atau kelas pertama (menteri atau EXCO), mereka mesti menghadapi ujian pengundi – dikosongkan kerusi dan hadapi PRK jika lompatan tidak direstui pengundi.

Mekanisme anti-lompatan, telah dijanjikan kelulusannya selewat-lewatnya dalam Mesyuarat Parlimen pertama 2022 oleh MOU antara Kerajaan Ismail Sabri dan PH.

Ganjilnya, Jabatan Peguam Negara tidak buat apa-apa sampai sekarang manakala RUU Pemecatan Ahli Parlimen yang diusulkan oleh Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said turut dinafi pembahasan.

Kini Azalina mencadangkan satu RUU hibrid "Regulasi Lompatan Parti dan Akauntabiliti Politik” dengan penambahbaikan untuk Mesyuarat Parlimen yang sedang berlangsung.

Beliau turut menyeru pengundi Melaka untuk memilih parti-parti yang janji anti-katak dan memberikan majoriti dua-pertiga untuk parti-parti ini untuk luluskan satu enakmen anti-lompatan hibrid semirip RUUnya.

Cadangan Azalina ini lebih kukuh daripada hujah Chin Tong. Masalahnya, parti mana yang berani janji anti-katak?

PH yang hilang Putrajaya kerana katak masih beria-ia nak calonkan katak. UMNO yang hilang Melaka kerana katak juga diam. Bersatu, Pas malah MUDA semua diam.

Salah siapa kalau pengundi Melaka enggan keluar mengundi?

* Profesor Wong Chin Huat ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen

Klik di sini untuk terus membaca