SHAH ALAM - Pengumuman Barisan Nasional (BN) bergerak solo dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini bakal menguji sejauh mana rakyat negeri tersebut masih bersama parti Melayu tertua itu. Timbalan Pengarah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengumuman Barisan Nasional (BN) bergerak solo dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini bakal menguji sejauh mana rakyat negeri tersebut masih bersama parti Melayu tertua itu.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib@Khalid berpandangan, PRN Melaka boleh dianggap medan ujian besar buat BN selepas sebelum ini banyak kemenangan dalam pilihan raya kecil diraih bersama-sama Pas.

"BN telah membuat pengumuman bertanding solo di semua 28 kerusi, mungkin PRN Melaka menjadi ujian besar untuk melihat sejauh mana rakyat masih bersama BN.

Profesor Dr Kartini Aboo Talib@Khalid

"Perlu diingat dalam kebanyakan kemenangan BN menerusi siri PRK seperti di Cameron Highlands, Tanjung Piai, Kimanis, Semenyih, Rantau, Chini, dan Slim diperoleh dengan sokongan parti dan penyokong Pas," ujar Kartini kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Terdahulu, dalam satu sidang media pagi tadi, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Pengarah Pilihan Raya BN mengumumkan UMNO akan mempertaruhkan 20 calon, MCA tujuh dan MIC satu untuk bertanding di kesemua 28 kerusi DUN Melaka.

UNDI MELAYU PECAH TIGA

Kartini berkata, dengan keputusan BN bergerak solo itu juga bermakna berlaku pertembungan antara Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang masing-masing akan meletakkan calon.

"Ini bermakna bila parti-parti Melayu masuk bertanding, maka pecah undi Melayu. Seharusnya dalam mana-mana perikatan perlu sepakat tetapi oleh kerana ramai yang mahu menguji kekuatan masing-masing, maka PRN Melaka dijadikan medan ujian.

"Namun harus diingat PRN Melaka hanya akan mentadbir bagi beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU15).

Pada masa sama, situasi ini juga menambah kesulitan BN untuk memastikan kemenangan selesa.

"Sekiranya melihat kepada tingkah laku undi, ada kemungkinan besar PH boleh mendapat sokongan agak signifikan kerana pengundi bandar rata-rata mempunyai aspirasi berbeza dan kebanyakan bukan Melayu (Cina dan India) akan menyokong PH.

"Memandangkan orang Melayu terpaksa memilih dan dengan terpecahnya undi Melayu antara UMNO, Bersatu, Amanah, agar sukar untuk meramalkan yang BN akan menang selesa," katanya lagi.

MUKA BAHARU, LIMA CALON WANITA

Dalam pada itu, Kartini turut berkata, langkah BN menampilkan banyak muka baru disertai lima calon wanita adalah 'bahan ujian' untuk mengukur sokongan pengundi dan menjadi wadah persediaan strategi PRU15.

Ditanya pula tentang kenyataan Mohamad Hasan berkenaan akuan berkanun (SD) yang wajib ditandatangani kesemua calon mewakili BN bagi mengelakkan lompat parti sekiranya memenangi kerusi kelak, Kartini berkata, ia adalah satu inisiatif yang baik.

"Perjanjian untuk tidak lompat parti dalam kalangan ahli adalah baik kerana kalau menunggu Akta Lompat Parti, belum tentu ia dapat dilaksana segera.

"Ia mengambil masa kerana pengenalan Akta Lompat Parti masih dilihat bertentangan dengan Perkara-Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan melibatkan kebebasan bergerak, memilih dan berpersatuan," jelas Kartini.

Klik di sini untuk terus membaca