PERSOALAN yang dinanti-nantikan selama ini sudah terjawab apabila UMNO telah mengesahkan nama-nama calon mewakili Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 hari ini. Apa yang lebih menarik, UMNO... Klik di sini untuk terus membaca

PERSOALAN yang dinanti-nantikan selama ini sudah terjawab apabila UMNO telah mengesahkan nama-nama calon mewakili Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 hari ini.

Apa yang lebih menarik, UMNO meletakkan strategi baharu dengan mencalonkan muka-muka baharu di samping calon muda kali ini untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November nanti.

Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Akmal Saleh berkata, faktor utama UMNO meletakkan muka baharu dan calon muda adalah kerana mereka ingin menunjukkan bahawa perubahan itu akan berlaku di dalam UMNO bermula dari PRN.

Dr Akmal Saleh berpandangan bahawa dengan adanya lebih banyak calon muda dan muka-muka baharu, beliau yakin dan pasti perubahan ini akan menjadi momentum yang sangat besar untuk kemenangan UMNO dan BN di PRN Melaka nanti.

"Kalau zaman dahulu, mungkin orang merasakan bahawa UMNO susah hendak berubah tetapi saya yakin dan pasti kali ini UMNO akan mengembalikan balik kepercayaan rakyat bahawa UMNO kini telah berubah dan akan membawa perubahan.

"Dengan adanya lebih banyak calon muda dan muka-muka baharu, saya yakin dan pasti perubahan ini akan menjadi momentum yang sangat besar untuk kemenangan UMNO dan BN di negeri Melaka nanti.

"Ini adalah suatu perkara yang amat ditunggu-tunggu oleh rakyat dan ahli UMNO kerana ini bukan budaya UMNO sebelum ini tetapi apabila UMNO berjaya mengambil satu langkah 'will power' yang kuat untuk betul-betul berubah seperti yang diminta oleh rakyat, maka UMNO akan berikan apa yang rakyat mahukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Akmal Saleh yang juga merupakan salah seorang calon muda muka baharu yang akan bertanding di DUN Merlimau itu berkata, selain perubahan, meletakkan calon muda dan muka baharu mewakili BN untuk PRN Melaka juga adalah salah satu langkah untuk merealisasikan kehendak rakyat.

"Kita nak beritahu pada rakyat, sekiranya rakyat mahukan calon baharu, UMNO adalah satu parti yang akan mengikut kehendak rakyat.

"Sekiranya rakyat mahu UMNO, UMNO juga akan membuktikan bahawa UMNO kini mampu membuat perubahan,” katanya.

Selain itu, Akmal Saleh berkata, apa yang rakyat boleh harapkan daripada calon muka-muka baharu ini adalah mereka mampu memberi idea yang terkini dan mempunyai agenda reformasi yang sangat hebat.

"Paling penting, dengan adanya orang baharu dan idea baharu, ia akan memberi manfaat yang lebih besar kepada rakyat Melaka khususnya.

"Calon-calon muka baharu ini juga tiada isu-isu sensasi yang boleh membuat mereka terpalit dengan isu rasuah atau salah guna kuasa dan tidak dibayangi oleh seseorang,” katanya.

CALON MUDA, IDEA BAHARU

Dalam pada itu, salah seorang calon muda muka baharu yang bertanding atas tiket BN bagi DUN Asahan, Fairul Nizam Roslan berkata, UMNO yang memberi platform dan peluang kepada pemimpin muda ini dapat memperjuangkan idea-idea baharu untuk pembangunan parti dan negeri.

Fairul Nizam Roslan berharap sekiranya ada calon muda dan rakan-rakan muka baharu, akan adanya idea dan daya perkhidmatan yang lebih kepada rakyat.

"Ramai rakyat Melaka yang inginkan muka-muka baharu dan UMNO mendengarinya.

"Muka-muka baharu ini apabila diberikan tempat, mereka mampu memberi idea baharu bukan sahaja untuk pembangunan negeri, tetapi juga melibatkan pandangan mereka terhadap parti pada masa akan datang,” katanya.

Fairul Nizam yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Melaka berharap agar dengan adanya sedikit perubahan ini, parti keramat itu mampu bangkit dan menang pada PRN akan datang.

"Harapan saya semestinya kita nak BN menang dan memandang parti yang boleh dijadikan sebagai simbol kemakmuran.

"Harapan saya sekiranya ada calon muda dan rakan-rakan muka baharu, akan adanya idea dan daya perkhidmatan yang lebih kepada rakyat,” katanya.

Jelas beliau, semestinya selepas ini UMNO akan ada lebih banyak calon-calon muka baharu yang boleh memimpin parti ini ke arah pentadbiran baharu kerana UMNO tidak pernah ketandusan pemimpin.

Klik di sini untuk terus membaca