RAMALLAH - Penduduk Palestin di beberapa kawasan di Tebing Barat ‘terpaksa bergelap’ selama empat jam sehari selepas Perbadanan Kerjasama Elektrik Israel (IEC) membuat keputusan untuk memutuskan bekalan kuasa elektrik berkuat kuasa pada... Klik di sini untuk terus membaca

RAMALLAH - Penduduk Palestin di beberapa kawasan di Tebing Barat ‘terpaksa bergelap’ selama empat jam sehari selepas Perbadanan Kerjasama Elektrik Israel (IEC) membuat keputusan untuk memutuskan bekalan kuasa elektrik berkuat kuasa pada 3 November lalu.

Keputusan dibuat oleh IEC itu akan dilaksanakan sehingga hutang lebih AS$119 juta (RM495 juta) dilangsaikan oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang mengalami masalah kewangan yang teruk.

Sebelum ini, amaran tentang masalah kewangan itu pernah didedahkan oleh seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa bahawa masalah kewangan PA semakin meruncing pada 20 Oktober lalu.

Masalah kewangan yang dihadapi oleh PA itu adalah disebabkan impak krisis ekonomi akibat Covid-19 dan ia turut dihadapi oleh kebanyakan negara lain.

PA juga terkesan akibat pendudukan Israel ke atas Palestin sejak lebih tujuh dekad lalu dan setelah kemenangan rejim Zionis dalam Perang Enam Hari pada 1967.

Krisis itu telah didedahkan oleh Penyelaras Khas PBB Untuk Proses Keamanan Timur Tengah, Tor Wennesland yang memberi amaran bahawa peningkatan bajet defisit, merosotnya bantuan dan masalah kapasiti pinjaman menyebabkan PA di bawah gerakan Fatah berdepan dengan situasi yang hampir genting.

Wennesland menjelaskan PA mengalami bajet defisit dengan anggaran kira-kira AS$800 juta (RM3.3 bilion) pada tahun 2021 dan telah mendesak supaya Israel tidak mengenakan penalti kerana membuat pembayaran kepada waris keluarga pejuang Palestin yang terkorban.

Seorang pekerja melakukan pemeriksaan di sebuah loji elektrik di bandar Jenin, Palestin.

GANTUNG PEROLEHAN CUKAI

Rejim Zionis menganggap bayaran itu sebagai satu ganjaran kepada penduduk Palestin dan PA kononnya wajar ‘dihukum’ akibat tindakan tersebut.

Sejak pemimpin parti Yamina, Naftali Bennett mengambil alih jawatan Perdana Menteri Israel, perolehan cukai sebanyak AS$180 juta (RM748 juta) kepada Palestin juga telah digantung.

NAFTALI BENNETT

Ini adalah sebagai ‘tindak balas’ terhadap bayaran yang diberikan oleh Palestin kepada keluarga tahanan Palestin dan mereka yang dibunuh oleh Israel.

Cukai-cukai pula dikutip oleh Israel bagi pihak PA termasuk duti kastam yang mana kedua-duanya adalah sumber utama kepada ekonomi Palestin.

Sebelum ini, data Bank Dunia menganggarkan ekonomi Palestin akan menyusut 11.5 peratus pada tahun lalu, namun ia meningkat semula kepada 2.9 peratus tahun ini.

Sehingga kini, hubungan antara Palestin dengan Israel dilaksanakan berdasarkan kerangka kerjasama yang telah dimeterai dalam Perjanjian Oslo ketika Yasser Arafat menjadi Pengerusi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pada 1994 dan Protokol Paris berkaitan dengan cukai pada tahun sama.

KRISIS KEWANGAN PA

Perjanjian Oslo menetapkan penubuhan PA yang memerintah di Tebing Barat dan Gaza serta diberikan kuasa pentadbiran yang kecil.

Namun, Tel Aviv mencabuli perjanjian itu dan melaksanakan apa yang dilihatnya bersesuaian untuk memenuhi agenda rejim Zionis.

Konflik Israel-Palestin yang tidak berkesudahan menyebabkan Tel Aviv sengaja ‘melepaskan tanggungjawab’ untuk membekalkan tenaga elektrik kepada penduduk Palestin dan dengan sewenang-wenangnya menetapkan harga yang perlu dibayar oleh penduduk di wilayah tersebut.

MAHMOUD ABBAS

Masalah kewangan yang semakin meruncing itu juga mendapat perhatian Duta Britain ke PBB, Barbara Woodward yang menzahirkan kebimbangan jika PA tidak berupaya membayar gaji kakitangannya.

Berikutan krisis kewangan yang dialami PA itu, negara Islam diharap dapat menyalurkan bantuan untuk meringankan beban ditanggung Palestin yang diterajui oleh Presiden Mahmoud Abbas.

Klik di sini untuk terus membaca