SEPERTI yang telah diulas oleh banyak pihak dalam media arus perdana dan dibahaskan dengan meluas dalam media sosial, Belanjawan 2022 yang dibentang pada 29 Oktober lalu adalah belanjawan berhutang.
Kerajaan akan berhutang secara besar-besaran untuk membiayai belanjawan itu kerana sebahagian besar pendapatan kerajaan tahun hadapan terpaksa digunakan untuk membayar balik hutang.
Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mencadangkan perbelanjaan sebanyak RM332.1 bilion, tetapi hasil kerajaan dianggarkan RM234 bilion sahaja. Ertinya kerajaan perlu berhutang RM98.1 bilion untuk menampung kekurangan itu.
Apa yang membimbangkan adalah belanja mengurus seperti gaji dan pencen kakitangan awam termasuklah Menteri dan Timbalan Menteri serta membayar balik hutang menelan hampir semua hasil kerajaan. Untuk membiayai pembangunan, kerajaan terpaksa berhutang.
Inilah antara punca semakin banyak orang menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan kerajaan menjadi muflis kerana menanggung bilangan kakitangan awam yang terlalu ramai. Itu belum diambil kira sama ada prestasi belanjawan (budget performance) akan memberi kesan seperti yang diuar-uarkan oleh jentera propaganda kerajaan atau bocor di sana sini akibat ketidakcekapan, salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.
Adalah amat diharapkan golongan pakar dalam hal belanjawan dan ekonomi memberi perhatian yang lebih terperinci kepada prestasi belanjawan supaya setiap sen yang dibelanjakan memberi hasil.
Berbalik kepada soal hutang, kita wajib mengkaji semula dasar berhutang untuk berbelanja sama ada oleh kerajaan, perniagaan atau orang perseorangan takut-takut kita terlebih berhutang dan menjadi negara ketagih hutang.
Kita sudah pun menjadi antara negara di dunia yang mana hutang isi rumah adalah antara yang tertinggi. Menurut Kajian Semula Kestabilan Kewangan oleh Bank Negara, hutang isi rumah bagi separuh pertama 2021 turun sedikit kepada 89.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada 93.2 peratus akhir tahun lalu.
Thailand mencatat 89.3 peratus, Singapura 68.5 peratus dan Indonesia 17.8 peratus, bergantung kepada produktiviti ekonomi dan kemampuan membayar balik.
Hutang dan jaminan kerajaan RM1.25 trilion
Selama ini kerajaan cuba menenangkan keadaan dengan memberi alasan bahawa hutang kerajaan adalah terkawal kerana sebahagian besar adalah hutang dalam negara. Hutang dan jaminan hutang kerajaan berjumlah RM1.2569 trilion (RM1,256,900,000,000) sehingga hujung September 2020.
Serentak dengan pembentangan belanjawan diumumkan juga bahawa hutang luar Malaysia telah meningkat kepada RM1.021 trilion atau 67.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga akhir Jun 2021.
Mana-mana pun negara yang hutang luarnya besar akan terdedah secara langsung kepada perkembangan ekonomi dunia dan penarafan oleh pelbagai agensi awam dan swasta antarabangsa.
Ia juga mempengaruhi kadar tukaran mata wang negara terbabit. Apabila hutang luar meningkat, keperluan mata wang asing bagi membayar faedah dan pokok akan meningkat. Apabila kita menukar duit kita dengan mata wang asing, nilai duit kita dengan sendirinya akan jatuh.
Apa yang merisaukan adalah jumlah hutang luar ini naik disebabkan oleh peningkatan pinjaman luar pesisir (offshore) oleh kerajaan dan pemegangan surat jaminan hutang kerajaan Malaysia dalam denominasi ringgit yang lebih besar oleh bukan pemastautin.
Hutang luar negara terdiri daripada hutang kerajaan dan swasta. Hutang kerajaan saja pada tahun 2020 adalah sebanyak RM958.14 bilion atau 67.6 peratus daripada KDNK. Kesimpulannya, hutang luar negara yang semakin meningkat mungkin antara sebab mengapa nilai ringgit merosot sejak tahun 2011 selain jumlah import yang tinggi.
Pada Julai 2011, kita boleh beli AS$1 dengan hanya RM2.96. Bagaimanapun nilai duit kita mula jatuh pada pertengahan tahun berikutnya dan sekarang kita kena bayar RM4.16 untuk dapat AS$1. Jadi tidak hairanlah kalau harga barang-barang import semakin mahal.
Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca