DENGAN pengumuman calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding kesemua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri Melaka, maka pertembungan tiga penjuru antara BN (UMNO, MCA dan MIC), Perikatan Nasional (Bersatu, Pas dan Gerakan) dan Pakatan Harapan... Klik di sini untuk terus membaca

DENGAN pengumuman calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding kesemua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri Melaka, maka pertembungan tiga penjuru antara BN (UMNO, MCA dan MIC), Perikatan Nasional (Bersatu, Pas dan Gerakan) dan Pakatan Harapan (PKR, Amanah dan DAP) tidak dapat dielakkan.

Ini menghampakan sebahagian pengundi yang harapkan BN dan PN akan berpakat untuk melawan PH. Kumpulan pengundi ini harapkan PH tumbang dan khuathir sebaliknya PH akan menang tipis di sesetengah kawasan yang boleh dimenangi BN atau PN jika mereka menamakan seorang calon sahaja. Maka, ada yang marah sampai nak mengajar kedua-dua BN dan PN kerana tidak berkompromi.

Adakah UMNO, Pas dan Bersatu bertindak secara tidak rasional? Pada hemat saya, sama sekali tidak. Ketiga-tiga membuat keputusan yang terbaik daripada perspektif kepentingan parti masing-masing.

Daripada perspektif UMNO, Bersatu tidak boleh dibenarkan untuk kekal sebagai pesaing jangka panjang. Macam Coca Cola dan Pepsi Cola yang bersaing dalam pasaran yang sama, "tiada win-win” untuk kedua-dua UMNO dan Bersatu yang merebut daripadanya kawasan (semasa PRU), wakil rakyat dan jawatan menteri/exco (selepas PRU).

Sebab itu UMNO cuba mengambil hati Pas dengan menawarkan dua kawasan tetapi dengan syarat Pas gunakan logo sendiri supaya Bersatu yang gunakan logo baru PN akan turut dipinggirkan.

PERSPEKTIF PAS DAN BERSATU

Daripada perspektif Pas, kewujudan kedua-dua UMNO dan Bersatu memberikan peluang paling baik untuk terus hidup dan maju jaya. Kalau UMNO berjaya menelan Bersatu atau sebaliknya, pihak menang akan menjadikan Pas sasaran baharunya.

Oleh itu, Pas menyokong Bersatu sekarang kerana Bersatu lemah. Pas akan memihak UMNO kalau Bersatu terlalu kuat, sepertimana masa Muafakat Nasional dibentuk. Pilihan Pas rasional sekali dan pihak lain tidak harus melihatnya daripada perspektif personal.

Oleh kerana pengaruh Pas di selatan Semenanjung memang lemah, tidak rugi untuk cuba suhu air dengan bendera PN. Kalau gagal, maka Pas boleh meminta Bersatu menggunakan bendera Pas pula untuk PRU15.

Akhirnya, daripada perspektif Bersatu, hayat parti serpihan memang tidak tahan lama kalau prospeknya untuk berkuasa hilang atau menjadi kabur. Untuk mengelakkan nasib seperti Parti Semangat 46 yang akhirnya dibubarkan, Bersatu giat menarik wakil rakyat parti lain bila memegang tampuk kerajaan.

Matlamat strategi UMNO adalah memenangi 15 atau lebih kerusi supaya ia dapat membentuk kerajaan sendiri tanpa berkongsi kuasa dengan Pas atau Bersatu. Lebih penting lagi, ini akan membawa keyakinan dan keabsahan untuk melawan solo dalam PRU15. Kalau paling banyak kerusi tetapi tak cukup majoriti, UMNO akan sedia berunding dengan mana-mana pihak untuk berkongsi kuasa.

SEMAKIN BANYAK PENJURU, SEMAKIN BERKUASA PENGUNDI

Matlamat strategi Bersatu dan Pas adalah sebaliknya: kalau tak cukup untuk menaikkan calon PN, sekurang-kurangnya menjatuhkan calon UMNO. Ajar UMNO supaya dia terpaksa kembali berpakat dengan Bersatu dan Pas dan bermurah hati dalam rundingan kawasan bertanding.

Ya, parti-parti memang rasional dalam menjaga kepentingan masing-masing. Siapa pula yang rasional menjaga kepentingan rakyat.

Siapa lagi kalau bukan rakyat sendiri yang akan membuang undi? Kalau tak nak banjir, tak nak katak, tak nak pengangguran, tanya parti-parti apa penyelesaiannya.

Jangan diperkudakan propaganda sampai lupakan kepentingan sendiri. Juga jangan tak keluar undi. Semakin banyak penjuru, semakin berkuasalah pengundi.

*Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihanraya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca