BELALANG ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) di atas keputusan yang berani, besar dan nekad untuk bergerak secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Oleh kerana mereka mahu bergerak solo maka BN akan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sekali gus berakhirlah teka-teki sama ada akan wujud kompromi untuk bekerjasama dengan Pas di bawah Muafakat Nasional (MN) atau dengan Bersatu di bawah Perikatan Nasional (PN).
Keputusan BN ini juga bermakna 20 kerusi akan ditandingi UMNO, 7 kerusi ditandingi MCA dan satu kerusi untuk MIC.
Sukar untuk disimpulkan apakah keputusan besar ini bermakna Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gagal memainkan peranan sebagai salah seorang ‘orang tengah’ atau ‘negotiator’ untuk mencari jalan penyelesaian ke arah rundingan dengan Pas dan PN dalam soal pembahagian kerusi ini.
Namun di atas kertas, kegagalan MN dan PN mencari titik persamaan atau kata sepakat dalam mengelakkan pertembungan membuktikan betapa sukarnya untuk seorang Perdana Menteri mempengaruhi keputusan parti jika beliau bukan presiden partinya sendiri.
Sebaliknya keputusan BN ini memberi indikasi yang sangat jelas bahawa apa juga keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Presiden menjadi penentu dasar dan hala tuju parti itu dalam soal kerjasama politik dan bukannya Perdana Menteri.
Sudah tentu ini satu keputusan yang sukar kerana Pas dan PN adalah sebahagian daripada gagasan yang membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan ia dipimpin oleh seorang Perdana Menteri dari BN dan UMNO.
UMNO nampaknya membuat keputusan yang muktamad dan jelas tanpa kompromi.
Sama ada keputusan itu membawa keuntungan atau kerugian, mereka nampaknya telah sanggup untuk mengambilnya tanpa menoleh ke belakang lagi.
Dari sudut itu, keputusan besar ini patut dihormati dan diterima dengan hati yang terbuka. Soal tepat atau tidak itu bukan persoalannya. Setidak-tidaknya, mereka berani membuat pendirian dan keputusan.
Juga dengan 86 peratus muka baharu yang ditampilkan, BN dan UMNO cuba memberi indikasi kepada pengundi bahawa inilah barisan baharu yang ingin diketengahkan untuk para pengundi membuat pilihan dan keputusan.
Ia juga menggambarkan apakah hala tuju yang akan diambil oleh mereka dalam Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.
Seperkara lagi, langkah baharu yang diambil oleh BN, tidak sepertimana sebelum ini ialah tindakannya untuk mengumumkan siapakah calon Ketua Menteri jika mereka menang.
Calon itu ialah Datuk Seri Sulaiman Md Ali - Ketua Menteri sebelum ini.
Dengan berbuat demikian, BN sekali lagi secara jujur, berterus terang dan berani memberitahu rakyat, jika mereka berpuas hati dengan kepimpinan Sulaiman sebelum ini, mereka patut memberikan mandat yang kuat dan besar kepada BN agar kerajaan baharu nanti tidak diganggu gugat lagi.
Namun pada masa yang sama, BN turut mendedahkan diri kepada kritikan dan sasaran lawan kerana mengumumkan calon Ketua Menteri dengan lebih awal.
Hakikat bahawa mereka berani berbuat demikian menunjukkan yang mereka yakin akan kepimpinannya dan sanggup mengambil risiko.
Bagi Belalang, cara BN kali ini sangat berani dan penuh dengan pembaharuan dan kini terserahlah kepada pengundi Melaka untuk membuat perhitungan terakhir.
Belalang - Menanti hari esok...
Klik di sini untuk terus membaca