PEMILIHAN Indonesia sebagai negara pertama dalam senarai lawatan rasmi ke luar negara oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri mencerminkan kesungguhan Malaysia mengekalkan hubungan pasca konfrontasi 1965.
Antara tahun 1963 hingga 1965, Presiden Sukarno melancarkan konfrontasi terhadap Malaysia; bermula dengan konfrontasi diplomatik dan ekonomi sehinggalah kepada konfrontasi bersenjata.
Sukarno mengisytiharkan slogan ‘Ganyang Malaysia᾿ sekali gus bermulanya ‘perang saudara’ Indonesia- Malaysia. Selama dua tahun, terjadi serangan dan pencerobohan ke atas Malaysia sehingga memaksa kita memohon bantuan pertahanan Australia dan beberapa buah negara lain.
Sukarno menentang pembentukan Malaysia membabitkan Singapura, Sabah dan Sarawak atas alasan ia adalah agenda British untuk kekal di rantau ini. Walaupun begitu, keputusan menyerang negara ini lebih menunjukkan sikap mahu meneruskan cita-cita Indonesia Raya atau Melayu Raya.
Konfrontasi hanya berakhir apabila Sukarno dijatuhkan oleh Jeneral Soeharto. Sejak itu, Malaysia dan Indonesia menjalani hubungan baik dan akrab dari segi diplomatik. Namun dalam lebih empat dekad hubungan akrab ini, ia sentiasa diuji dengan isu-isu semasa akibat perasaan terlalu sensitif dan sentimen yang dimarakkan oleh oleh media, oportunis politik dan pemimpin masa.
Malaysia dan Indonesia mewarisi banyak persamaan dalam jalur budaya, bahasa dan pertalian darah. Walaupun persamaan ini memberi kelebihan hubungan dua hala, namun kadang kala ia juga boleh merumitkan. Persamaan-persamaan ini mewujudkan perasaan curiga dan persaingan ‘super ego᾿ tentang siapa lebih hebat.
Rakyat Indonesia dan Malaysia berkongsi keruwetan hubungan ini. Sebahagian kita memilih untuk saling mencurigai berbanding menghulurkan prasangka baik. Oleh kerana terdapat banyak persamaan, maka generasi muda kedua-dua negara gagal memahami dan mendalami perbezaan untuk mengelakkan syak wasangka.
Maka kita sentiasa berbalah mengenai isu besar seperti layanan tenaga kerja Indonesia, keputusan Mahkamah Antarabangsa mengenai pulau Sipadan dan Ligitan, perselisihan blok minyak di Ambalat sehinggalah kepada acara sukan seperti bola sepak dan badminton. Tidak cukup itu, isu budaya seperti lagu Rasa Sayang pada kempen promosi pelancongan Malaysia dan tarian Barongan turut menimbulkan kontroversi.
Rupanya persamaan dan kerumpunan rakyat kedua-dua negara ini telah menyebabkan hubungan antara negara menjadi lebih sensitif dan sukar diselesaikan secara profesional dan diplomatik. Banyak perkara terpaksa mengambil kira sentimen awam dan ego rakyat kedua-dua negara terutama Indonesia yang lebih besar dari segi geografi dan jumlah rakyat.
Hubungan akrab dua negara
Justeru, tindakan Ismail Sabri menjadikan Indonesia sebagai negara pertama lawatannya sebagai Perdana Menteri mencerminkan hasrat Malaysia untuk terus mengekalkan hubungan akrab kedua-dua negara. Pertemuan Ismail dan Jokowi pasti akan diteliti dan diperhati rakyat kedua-dua negara. Gerak badan, kandungan ucapan dan kenyataan bersama akan diperhalusi dan dianalisis pelbagai pihak.
Ketika sekian lama Malaysia menyalurkan ruang kerja kepada rakyat Indonesia, kini negara tersebut sedang berkembang pesat, teratur dan cekap di bawah pentadbiran Jokowi. Indonesia yang cekap dan teratur akan membuka banyak peluang perniagaan dan ekonomi kepada Malaysia.
Indonesia juga akan memindahkan ibu kota negaranya dari Jakarta ke Penajam, Kalimantan Timur yang bersempadan dengan Malaysia di bahagian Sarawak. Ini bukan sahaja akan merapatkan lagi hubungan kedua-dua negara, malah membuka lebih banyak ruang pembangunan di bahagian sempadan kedua-dua negara.
Namun yang paling ditunggu ialah apakah pengumuman yang akan dibuat kepimpinan kedua- dua negara ini dalam saling membantu memulihkan negara pasca pandemik Covid-19.
Justeru, pertemuan dua pemimpin Malaysia-Indonesia ini mungkin perlu mempertimbangkan kaedah melonggarkan proses perjalanan antara kedua-dua negara termasuk permit tenaga kerja. Kadang-kadang memudahkan urusan rakyat bawahan lebih bererti daripada pengumuman berbilion ringgit memorandum persefahaman yang belum tentu jadi kenyataan.
*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca