PLURALISME agama mengatakan semua agama adalah sama dan masing-masing memilih jalannya sendiri. Dalam konteks perundangan Malaysia pula ramai dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam berpandangan semua agama adalah sama dan tidak ada satu... Klik di sini untuk terus membaca

PLURALISME agama mengatakan semua agama adalah sama dan masing-masing memilih jalannya sendiri. Dalam konteks perundangan Malaysia pula ramai dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam berpandangan semua agama adalah sama dan tidak ada satu agama pun boleh diberi kelebihan berbanding agama lain dari sudut undang- undang.

Golongan ini berhujah adalah tidak adil sekiranya orang bukan Islam, tetapi berlaku adil dan membuat kebaikan di dunia tetapi masih lagi diazab dengan api neraka. Tambahan pula dakwa mereka amat bertentangan dengan sifat ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Menyayangi.

Pendekatan seperti ini sebenarnya jauh tersasar dalam agama Islam dan jika kita melihat dari kerangka Perlembagaan Persekutuan sekalipun ia tidak mempunyai asas dan disokong undang-undang tertinggi negara. Ini adalah kerana seseorang itu dimasukkan ke syurga bukanlah semata-mata dengan amalan mereka tetapi dengan rahmat ALLAH SWT. Biar ALLAH SWT yang menentukannya.

Konsep tauhid di dalam Islam merupakan paksi utama akidah Islam itu sendiri dan ia berlawanan dari konsep pluralisme agama. Pendukung pluralisme agama berpendapat setiap Nabi membawa risalah berbeza dan umat terdahulu tidak beragama Islam.

Namun sebenarnya umat terdahulu adalah terdiri daripada ‘millah Ibrahim’ yang membawa syariat ALLAH untuk umat ketika itu. Tiada apa yang kita pertikaikan tentang orang yang menganut ‘millah Ibrahim’ sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW kerana Nabi Muhammad SAW memuktamadkan agama ALLAH dan menyebabkan ajaran terdahulu tidak lagi disyariatkan.

ISLAM AGAMA SEBENAR

Dr Khaliff Muammar dalam bukunya berjudul Islam dan Pluralisme Agama memetik Jamal al-Banna, saudara kandung kepada Hasan al-Banna umpamanya menegaskan orang bukan Islam seperti Thomas Edison sewajarnya akan memasuki syurga kerana sumbangan besar kepada umat manusia apabila mencipta lampu elektrik.

Beliau beranggapan apa pun agama dianuti seseorang itu tidak penting, yang paling penting ialah dia berbuat baik dan oleh kerana itu sesiapa sahaja boleh masuk syurga asalkan dia orang baik. Beliau juga membuat kesimpulan bahawa orang Islam tidak perlu berusaha untuk mendakwahkan orang bukan Islam masuk Islam.

Bagi penulis, walaupun seseorang itu memasuki syurga dengan rahmat daripada ALLAH, namun untuk mengenepikan faktor Islam sebagai prasyarat memasuki syurga adalah amat keterlaluan. Apalah gunanya ALLAH menurunkan al-Quran jika orang bukan Islam yang tidak mempercayai al-Quran diberi keistimewaan?

Dari sudut perundangan pula, Perlembagaan Persekutuan tidak mengiktiraf pluralisme agama. Ini amat jelas kerana hanya Islam sahaja yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan hanya merujuk agama lain boleh dianuti dan diamalkan dalam aman dan damai. Jaminan penganutan dan pengamalan agama lain selain Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan bukanlah bermakna agama lain disamatarafkan dalam semua perkara.

Terdapat pelbagai faktor yang diambil kira di dalam memberi kelebihan kepada Islam sebagai agama bagi Persekutuan seperti sejarah, sosial dan juga keselamatan.

Oleh hal yang demikian, Islam tidak sekadar diisytiharkan sebagai agama rasmi negara, tetapi dalam konteks yang lebih jitu iaitu sebagai ‘agama bagi Persekutuan’. Islam itu sendiri menjamin kebebasan beragama.

Bagi penulis, al-Quran disempurnakan penurunannya dan ALLAH telah mengisytiharkan kesempurnaan itu di dalam al-Quran. Sebagai seorang Islam, seseorang itu mestilah meyakini Islam sebagai satu-satunya agama yang benar.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca