FIVE Power Defence Agreement (FPDA) baru menyambut ulangan tahun ke-50. FPDA merupakan kerjasama pertahanan dan keselamatan yang terdiri daripada lima negara iaitu Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom.FPDA... Klik di sini untuk terus membaca

FIVE Power Defence Agreement (FPDA) baru menyambut ulangan tahun ke-50. FPDA merupakan kerjasama pertahanan dan keselamatan yang terdiri daripada lima negara iaitu Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom.

FPDA ditubuhkan pada 1971 ketika rantau Asia Tenggara masih berhadapan konflik bersenjata seperti Perang Vietnam dan pemberontakan komunis di Malaysia, Kalimantan, Indonesia dan Myanmar.

Selain itu, penubuhan FPDA juga berkait rapat dengan penamatan Anglo Malaysian Defence Agreement (AMDA) pada 1971 dan keputusan British untuk mengundurkan tentera dari timur Suez pada 1967.

Antara objektif awal adalah untuk meningkatkan kemampuan pertahanan Malaysia dan Singapura sehingga pasukan ketenteraan mereka sudah berkemampuan mempertahankan diri. Namun FPDA terus wujud sehingga hari ini dan tidak dinafikan FPDA memainkan peranan untuk membawa kestabilan kepada Asia Tenggara ketika rantau ini menghadapi keadaan tidak menentu. Maka timbul persoalan sejauh mana FPDA masih relevan dalam era pasca Perang Dingin?

Perlu ditegaskan sepanjang 50 tahun FPDA khasnya dalam era pasca Perang Dingin, FPDA mencapai kejayaan walaupun ramai tidak mengetahuinya. FPDA tidak mendapat publisiti berbanding kerjasama pertahanan lain seperti Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mahupun Quadrilateral Security Dialogue (Quad).

FPDA mempunyai keunikan tersendiri di mana ia tidak terikat dan lebih bersifat perundingan antara kelima-lima negara. Ia bukan satu pakatan ketenteraan seperti NATO yang berkonsepkan keselamatan bersama atau collective security di mana jika berlaku serangan ke atas mana-mana negara ahli, maka ahli negara lain mempunyai tanggungjawab untuk turut mempertahankan.

FPDA tidak ada syarat sedemikian. Ini bererti sekiranya berlaku serangan luar ke atas Malaysia atau Singapura negara FPDA mereka tidak ada kewajiban untuk menghantar tentera untuk membantu.

Oleh demikian, FPDA lebih mengutamakan kerjasama pertahanan dan pada masa sama meningkatkan diplomasi ketenteraan. Selain itu, keunikan FPDA lain ialah ia tidak mempunyai terlalu banyak institusi di mana hanya dua yang utama iaitu Majlis Perundingan FPDA (FPDA Consultative Council) dan Sistem Pertahanan Kawasan Bersepadu (Integrated Area Defence System-IADS) di Pengkalan Tentera Udara Butterworth, Malaysia.

Latihan ketenteraan

Antara kejayaan FPDA adalah ia meningkatkan jalinan kerjasama pertahanan antara kelima-lima negara. Misalnya FPDA telah mengadakan latihan ketenteraan secara tahunan melibatkan tiga cabang tentera (darat, udara dan laut). Latihan ketenteraan bersama mampu meningkatkan pengalaman pasukan tentera masing-masing.

Selain itu, ia boleh mengurangkan masalah isu keselamatan atau security dilemma antara pasukan tentera negara anggota FPDA. Antara latihan ketenteraan FPDA yang telah diadakan termasuk Bersama Sheild, Bersama Gold dan Suman Warrior.

Kini latihan ketenteraan bukan terhad kepada operasi peperangan, tetapi merangkumi operasi ketenteraan selain daripada perang atau military operations other than war, (MOOTW) misi mencari dan menyelamat. Misalnya sebelum tercetusnya pandemik Covid-19 Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengadakan latihan dua hala, Search-and-Rescue Exercise (SAREX) MALSING, dari 30 September hingga 4 Oktober 2019 di Pangkalan Tentera Udara Kuantan, Malaysia. Tidak nafi latihan ketenteraan anjuran ahli FPDA tergendala akibat Covid-19.

FPDA berdepan cabaran khas berhubung dengan isu persaingan kuasa antara Amerika Syarikat (AS) dengan China dan tuntutan bertindih di Laut China Selatan. Keadaan menjadi lebih kompleks akibat penubuhan pakatan AUKUS terdiri daripada dua negara FPDA iaitu Australia dan United Kingdom.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melahirkan kegusaran soal AUKUS dan mendesak semua pihak untuk mengelakkan sebarang bentuk provokasi. Begitu juga dengan kerajaan Singapura turut menunjukkan sikap berhati-hati berhubung AUKUS. Ini kerana Malaysia dan Singapura mempunyai kerjasama ekonomi yang erat dengan China.

China tidak menganggap FPDA sebagai suatu ancaman berbanding dengan Quad dan AUKUS. Ini kerana sifat FPDA yang tidak terikat dan lebih bersifat perundingan keselamatan serta kerjasama pertahanan.

FPDA dijangka akan terus relevan dan unggul pada masa akan datang. Ia merupakan satu-satu kerjasama pertahanan di rantau Asia Tenggara yang mampu bertahan selama 50 tahun jika dibandingkan dengan Perjanjian Asia Tenggara (SEATO) yang ditubuhkan pada tahun 1954 yang telah terbubar pada tahun 1975.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca