SERAMAI 6.1 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun simpanan mereka adalah berita yang agak mengejutkan. Selain itu, seramai 3.6 juta ahli pula didapati mempunyai kurang daripada... Klik di sini untuk terus membaca

SERAMAI 6.1 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun simpanan mereka adalah berita yang agak mengejutkan.

Selain itu, seramai 3.6 juta ahli pula didapati mempunyai kurang daripada RM1,000 dan hal ini meninggalkan persoalan bagaimana mereka akan menghadapi kehidupan hari tua kelak sekiranya tiada simpanan wang yang mencukupi.

KWSP dalam kenyataan yang dikeluarkan minggu lalu menjelaskan, akibat pandemik Covid-19 dan pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan telah membenarkan para pencarum melakukan pengeluaran bagi membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi mereka.

KWSP memberitahu, melalui beberapa kemudahan yang diperkenalkan seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra, lebih 7.4 juta ahli atau lebih daripada separuh jumlah keseluruhan ahli KWSP telah mengeluarkan wang sejumlah RM101 bilion.

Mengikut pengiraan, ketiga-tiga pengeluaran itu telah menyebabkan hampir tiga perempat ahli berada dalam situasi serius kerana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

Menurut Lidah Pengarang Sin Chew Daily, demi kelangsungan hidup, para pencarum yang tidak mempunyai simpanan mencukupi kini perlu bekerja untuk tempoh lebih lama bagi menabung semula simpanan yang telah dikeluarkan mereka.

"Seperti yang ditetapkan KWSP, jumlah simpanan asas bagi seseorang pencarum adalah sebanyak RM240,000 apabila mencecah umur 55 tahun. Jumlah simpanan minimum ini adalah untuk menampung keperluan asas persaraan selama 20 tahun iaitu daripada umur 55 tahun sehingga 75 tahun selaras dengan jangka hayat rakyat Malaysia.

"Bagaimanapun, sekiranya melihat pada perangkaan yang diberikan KWSP pada hari ini, untuk memperoleh simpanan RM240,000 pada umur 55 tahun ternyata begitu sukar sekali. Tiada cara lain lagi untuk mencapai jumlah tersebut kecuali menambahkan pendapatan bulanan ataupun melanjutkan tempoh persaraan,” tulis akhbar itu.

Jelas Sin Chew Daily, bagi setiap caruman, wang dikreditkan ke akaun pekerja iaitu terdiri daripada caruman pekerja dan caruman majikan dan dikira berdasarkan gaji bulanan pekerja.

Bermula dari hari pertama bekerja hinggalah bersara, wang yang disimpan oleh pekerja dalam KWSP adalah dijamin selamat malahan memperoleh kadar dividen yang lebih tinggi berbanding bank, iaitu antara 4.5 peratus hingga 6.5 peratus.

Bekerja hingga mati

Sekiranya seseorang itu mampu bekerja selama 35 tahun, jumlah simpanannya mampu menyara hidupnya sehingga umur 75 tahun.

"Namun, apa yang menjadi persoalan ialah jumlah gaji bulanan yang diperoleh pekerja di negara kita masih rendah, lebih-lebih lagi bagi para graduan yang baru memasuki alam pekerjaan.

"Untuk itu, kerajaan seharusnya mencari jalan untuk meningkatkan gaji minimum bagi membolehkan golongan pekerja menikmati simpanan yang lebih banyak ketika hari tua,” kata Sin Chew Daily.

Mengakui bimbang mengenai masa depan para pencarum, KWSP kini memberi fokus dalam membantu ahli membina semula simpanan mereka demi masa depan persaraan mereka.

Menurut akhbar itu, selain pelbagai bantuan telah diberikan, kerajaan juga perlu merangka rancangan bagaimana menjamin kehidupan hari tua kepada pesara yang bergantung kepada wang simpanan KWSP.

"Tiada seorang pun ingin menghadapi masalah kesempitan hidup ketika hari tua. Apa yang penting, merancanglah kedudukan kewangan sendiri agar tidak menyesal kemudian hari, ” ujar akhbar Cina itu lagi.

*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca