SHAH ALAM - DAP sepatutnya menghormati urusan parti-parti lain dalam koalisi Pakatan Harapan (PH) dan tidak 'sibuk' mencampuri urusan mereka dalam menentukan calon pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 November... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - DAP sepatutnya menghormati urusan parti-parti lain dalam koalisi Pakatan Harapan (PH) dan tidak 'sibuk' mencampuri urusan mereka dalam menentukan calon pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Bekas pemimpin DAP, Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, parti roket itu perlu menyedari pembentukan sebuah koalisi politik hanyalah berasaskan terma persepakatan penggunaan lambang pilihan raya di samping persefahaman bagi mengelakkan parti-parti koalisi bertembung sesama sendiri sahaja.

Jelas beliau, dalam soal parti-parti dalam PH untuk menentukan siapa calon pilihan raya mewakili mereka, itu urusan peribadi parti-parti seperti Parti keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang perlu dihormati DAP.

"Saya ambil contoh, kalau sekiranya PKR dan Amanah kata DAP jangan bagi Ahli Parlimen Siputeh (Teresa Kok) bertanding pada PRU15 atas apa jua alasan, adakah pucuk kepimpinan DAP tidak 'terasa' dan boleh akur kehendak mereka?

"DAP jangan mengada-ngada, koalisi PH hanya melibatkan persefahaman guna lambang pilihan raya, bukan tiket masuk campur urusan parti koalisi.

"Bagi saya, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga usah terlalu berlembut dengan DAP dengan beliau sepatutnya mengajak PKR bertanding atas kaki sendiri pada PRN Melaka bagi 'mengajar' DAP," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengulas desas-desus berlaku keretakan dalam koalisi PH memandangkan DAP difahamkan tidak bersetuju dengan keputusan Anwar untuk membenarkan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO bertanding atas tiket koalisi itu.

Pada Sabtu, PH mengumumkan pencalonan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Nor Azman Hassan untuk bertanding pada PRN Melaka atas tiket koalisi itu dengan Idris kini menjadi ahli PKR, manakala Nor Azman menyertai Amanah.

Susulan itu, Idris bakal bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, manakala Nor Azman bakal mempertahankan DUN Pantai Kundor yang dimenanginya atas tiket Barisan Nasional (BN).

Mohd Zaid

DAP sebelum ini beberapa kali membuat teguran supaya empat bekas ADUN yang menarik sokongan kepada kerajaan negeri - termasuk Idris dan Nor Azman - tidak diterima bertanding sebagai calon PH.

Kepimpinan tertinggi DAP seolah-olah mengadakan 'protes' secara terbuka dengan tidak menghadiri majlis pengumuman calon PKR dan Amanah bagi PRN Melaka secara maya yang turut disertai Presiden Amanah, Mohamad Sabu pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) turut membidas DAP yang seolah-olah menggunakan isu sokongan kaum Cina sebagai 'bargaining tool' bagi memastikan Anwar dan Amanah patuh kepada mereka.

Katanya, DAP harus sedar undi bukan Melayu sahaja tidak cukup untuk membolehkan mereka menubuhkan kerajaan, sebaliknya sokongan pengundi Melayu masih lagi faktor penentu utama untuk parti itu kembali menjadi kerajaan pada PRN Melaka dan PRU15.

"Justeru, DAP kena pilih pemimpin Melayu mana untuk bekerjasama. Adakah mereka mahu bergabung dengan UMNO, Pas, Bersatu atau kekal dengan Anwar meskipun beliau mungkin tidak sempurna berbanding yang lain?"katanya.

PH TIDAK BERANTAKAN

Sementara itu, Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew mengenepikan dakwaan kesepakatan koalisi PH semakin berantakan susulan DAP seolah-olah memulaukan majlis penamaan calon PRN Melaka bagi Amanah dan PKR pada Sabtu.

Sebaliknya, bekas penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir itu menegaskan kejayaan parti-parti dalam PH memuktamadkan perundingan satu kerusi bagi keseluruhan 28 DUN di Melaka adalah lebih penting berbanding isu kaedah pengumuman calon pilihan raya.

Jelas beliau, soal sama ada kepimpinan DAP tidak menghormati keputusan Anwar juga tidak wujud memandangkan parti itu bersetuju bertanding menggunakan lambang PH selain memastikan kesemua watikah pencalonan dari parti itu ditandatangani oleh Presiden PKR itu sendiri.

"Sebelum ini pun, DAP biasa membuat pengumuman senarai calon pilihan raya berasingan dengan rakan-rakan koalisi kerana kami berpandangan yang penting bukan kaedah pengumuman nama calon tetapi persepakatan bagi mengelakkan parti-parti dalam PH bertembung antara satu sama lain.

"Lagipun, DAP sendiri komited bersama parti-parti dalam PH untuk menggunakan lambang pilihan raya yang sama dengan watikah pencalonan daripada parti kami sendiri ditandatangani oleh Datuk Seri Anwar," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca