SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) memperhebatkan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka secara hibrid, walaupun dilihat mempunyai kelebihan apabila Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membawa haluan masing-masing.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, perkembangan itu adalah positif bagi PH, namun mereka tidak akan mengambil jalan mudah atau sambil lewa.
Sebaliknya, jentera PH kini bergerak secara fizikal berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) dan secara maya dalam menemui pengundi.
"Ia menjadikan kita bekerja lebih keras untuk menghadapi pilihan raya. Dengan pengumuman calon semalam (Sabtu), saya melihat semua calon sudah bergerak di kawasan masing-masing untuk membuka bilik gerakan, menyusun jentera dan menyiapkan bendera-bendera untuk dipasang.
"Di pihak PH sendiri, berdasarkan laporan yang diterima setakat ini, ia memuaskan tapi banyak yang perlu kita lakukan kerana kita tidak boleh berkempen macam dahulu.
"Banyak juga kawasan yang terlibat tiada akses internet dan telekomunikasi yang kurang memuaskan. Kekangan-kekangan yang ada ini, semestinya memaksa kita untuk lebih kreatif,” katanya kepada Sinar Harian.
Ditanya tentang peluang PH dalam PRN Melaka kali ini, beliau menjelaskan, banyak angkubah (sesuatu faktor) yang perlu diambil kira termasuklah faktor calon, jentera, tempat itu sendiri serta calon-calon.
Namun katanya, mereka akur sekiranya akan ada calon-calon lain (lebih dari tiga penjuru) yang akan bertanding yang memberikan kesan kepada pengundi di sesuatu kawasan.
"Pada waktu ini, sukar untuk kita jangkakan terutamanya melihat kepada peratusan keluar mengundi dan secara am kita lihat, ada pengundi yang tinggal di kawasan, ada pengundi Melaka tapi berada di Semenanjung serta pengundi yang berada di Singapura atau negara luar.
"Jadi, kita tak pasti sama ada pengundi dalam kategori yang tinggal di luar Melaka tetapi di dalam negara akan pulang untuk mengundi. Itu yang akan menjadi angkubah paling besar.
"Saya lihat peluang rampas Melaka ada, cuma kita berhadapan dengan situasi yang di luar jangkaan termasuklah mungkin SOP yang begitu ketat.
"Ini memandangkan hingga ke saat ini, kita belum tahu bagaimana kita nak berkempen, jadi semua orang menunggu,” ujarnya.
PH akan bertanding di kesemua 28 kerusi DUN, dengan 11 daripadanya ditandingi PKR dan sembilan kerusi untuk Parti Amanah Negara (Amanah), namun semuanya bertanding atas nama PH.
Klik di sini untuk terus membaca