EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) menemui kaedah alternatif bagi membekalkan tenaga elektrik kepada penduduknya dengan menggunakan timbunan sampah-sarap yang semakin banyak ditemui di gurun yang tandus di negara itu. Kaedah alternatif itu adalah... Klik di sini untuk terus membaca

EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) menemui kaedah alternatif bagi membekalkan tenaga elektrik kepada penduduknya dengan menggunakan timbunan sampah-sarap yang semakin banyak ditemui di gurun yang tandus di negara itu.

Kaedah alternatif itu adalah dengan cara membakar lambakan sampah sarap yang dikumpulkan di dalam insinerator dan kemudian menukarkannya kepada tenaga elektrik.

UAE yang merupakan salah sebuah negara pengeksport utama minyak namun kini ia sedang membina dua buah loji pembakaran sampah sarap untuk tujuan membekalkan tenaga elektrik.

Seorang jurutera kanan, Nouf Wazir daripada syarikat pengurusan sampah Bee'ah menyatakan terdapat satu cara untuk menggunakan semula sampah sarap yang tidak dapat dikitar semula.

"Tidak semua orang tahu bahawa sampah sarap mempunyai nilai," katanya seperti dilaporkan oleh AFP ketika mengulas tentang projek pembakaran lebih 300,000 tan sampah pada setiap tahun di kemudahan tersebut di Sharjah.

Pembakaran itu akan membekalkan tenaga elektrik untuk 28,000 rumah di Sharjah dan pelancaran loji tersebut akan dilakukan pada tahun ini.

Dalam pada itu, di Dubai pula, sebuah lagi loji pembakaran sampah sarap sedang dibina dengan kos sebanyak AS$1.2 bilion (RM4.99 bilion), menurut salah sebuah rakan kongsi yang membinanya iaitu Hitachi Zosen Inova.

LOJI TERBESAR DUNIA

Pihak Perbandaran Dubai sebelum ini telah memilih syarikat teknologi pembersihan dari Switzerland itu untuk bekerjasama dengan syarikat pembinaan terbesar Belgium, BESIX Group bagi membina kemudahan menjana tenaga elektrik daripada sampah sarap.

Ia merupakan salah sebuah loji pembakaran sampah untuk tujuan membekalkan tenaga elektrik yang terbesar di dunia.

Loji itu terletak di Warsan, Dubai dan dijangka membakar lebih 1.8 juta tan sampah sarap di kawasan perbandaran itu pada setiap tahun serta bakal membekalkan tenaga elektrik kepada kira-kira 120,000 buah rumah.

Apabila siap pada tahun 2024 di Dubai, ia mampu membakar sehingga lebih 1.8 tan sampah pada setiap tahun iaitu kira-kira 45 peratus daripada sampah sarapb yang ketika ini dibuang oleh seisi rumah di kawasan perbandaran berkenaan.

Negara itu kini mempunyai jumlah penduduk kira-kira 10 juta orang iaitu pertambahan lima kali ganda berbanding 30 tahun lalu menyebabkan ia menggunakan lebih banyak lagi tenaga elektrik.

Seorang jurutera kanan, Nouf Wazir berdiri di depan kemudahan pengurusan sampah yang sedang dibina di Sharjah, Emiriah Arab Bersatu baru-baru ini. - Foto AFP  

Pihak berkuasa UAE pula menguruskan pengeluaran sampah sarap sebanyak 1.8 kilogram (kg) untuk setiap penduduk dalam tempoh sehari manakala beberapa buah pusat pelupusan sampah di negara tersebut dijangka berkeluasan 5.8 juta meter persegi menjelang tahun 2041 iaitu bersamaan dengan lebih 80 buah padang bola sepak.

Seorang pengasas sebuah syarikat perunding pengurusan sampah iaitu ECOsquare yang beribu pejabat di Dubai, Riad Bestani berkata, di UAE, penduduknya membuang terlalu banyak sampah sarap.

Justeru, Pengarah DGrade, Emma Barber berkata seperti dilaporkan oleh AFP bahawa 'yuran' untuk kawasan pelupusan sampah tidak wujud di UAE dan amat mudah untk membuang bahan-bahan tidak berguna di gurun.

DGrase ialah syarikat yang beribu pejabat di Dubai dan menggunakan botol-botol air plastik yang diperoleh melalui inisiatif 'Simply Bottles' dan dikitar semula bagi menghasilkan pakaian serta pelbagai jenis aksesori.

Sebelum ini, UAE telah menetapkan untuk mempelbagaikan cara bagi membekalkan tenaga elektrik kepada penduduknya supaya ia tidak bergantung lagi kepada loji-loji yang menggunakan kuasa minyak.

Pada tahun lalu, negara tersebut meraikan penggunaan operasi Loji Kuasa Nuklear Barakah yang bernilai lebih AS$24 bilion (RM99.84 bilion) dengan pembinaannya diketuai oleh syarikat dari Korea Selatan.

Bagaimanapun, pengasas bersama perkhidmatan cucian kering Washmen yang mengutip pakaian daripada para pelanggannya dan mengitar semula, Rami Shaar berkata, tenaga eletrik daripada pembakaran sampah sarap bukannya satu 'tenaga hijau'.

Menurutnya, ia hanyalah satu cara untuk tidak menggunakan lebih banyak minyak dalam penghasilkan tenaga elektrik. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca