SHAH ALAM - Seperti yang diramalkan, pertembungan parti-parti kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mula menyebabkan pemimpin-pemimpin parti berkenaan mula tidak sehaluan dan berbalas sindiran. Terbaru, Ahli Parlimen Pasir Mas,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seperti yang diramalkan, pertembungan parti-parti kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mula menyebabkan pemimpin-pemimpin parti berkenaan mula tidak sehaluan dan berbalas sindiran.

Terbaru, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang masih segar daripada kemenangan sebagai Ketua Pemuda Pas seminggu lalu, membidas sikap sombong dan ego sesetengah pihak sehingga menyebabkan pertandingan tiga penjuru dalam PRN Melaka.

"Sedikit kekesalan terlakar apabila pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan, di saat Pas berusaha sebaiknya membawa mesej penyatuan ummah. Ternyata sikap sombong dan ego sesetengah pihak tidak mudah dilentur. Walaupun begitu, perjuangan harus diteruskan.

"Kita saksikan apakah kesudahan pertandingan tiga penjuru ini terhadap kuasa politik Melayu dan Islam," kata beliau dalam satu kenyataan pada Ahad.

Walaupun kenyataan Ahmad Fadhli itu tidak merujuk atau menyatakan mana-mana parti yang bersikap sombong tetapi ia dipercayai ditujukan kepada UMNO dan BN.

Sebelum ini, Pas yang menganggotai pakatan politik di bawah Perikatan Nasional (PN) membuat keputusan menolak syarat UMNO agar menggunakan lambang sendiri dan bukannya PN pada PRN Melaka.

Keputusan itu menyebabkan pemimpin atasan UMNO tidak berpuas hati terhadap Pas.

Seterusnya mandat diberi kepada Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk berbincang dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi mengelak pertandingan sesama sendiri parti pemerintah kerajaan pusat.

Usaha itu bagaimanapun menemui kegagalan setelah UMNO dikatakan enggan bertolak ansur dalam pembahagian kerusi kerana enggan bekerjasama dengan Bersatu.

AHMAD FADHLI

TOK MAT TANYA APA ILMU DIPAKAI BERSATU KE ATAS PAS

Dalam pada itu, pada Ahad tular satu video di Tik Tok berkaitan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang turut menyindir Pas kerana tidak mahu menggunakan logo mereka sendiri.

"Mereka (Pas) telah membuat keputusan tidak mahu bertanding atas tiket mereka sendiri. Bayangkan tuan puan, satu parti yang begitu taksub pada logo mereka boleh membuat keputusan tidak mahu bertanding atas logo mereka.

"Saya tak tau apa ilmu yang dipakai PPBM, ini lebih daripada ke jelobak ke jolobu. Entah apa ilmu apa yang dipakai sampaikan lebai-lebai lupa lambang dia. Kerana apa? Kerana kuasa dan jawatan.

"Jadi lupakan lah, kita nak bertanding atau tak mau bertindih kerusi ini. Cerita itu dah tutup dah, UMNO dan BN akan bersendirian dalam PRN ini. Di sinilah kita dapat mengukur kekuatan di Melaka. Ini strategi," kata Mohamad dalam video itu yang dipercayai dalam satu majlis bersama pemimpin UMNO berkenaan PRN Melaka.

PRN Melaka membuka tirai secara rasminya hari ini apabila 112 calon mendaftar secara rasmi untuk bertarung merebut 28 kerusi. Seramai 4,495,196 pengundi berdaftar di Melaka akan membuang undi pada 20 November ini.

Klik di sini untuk terus membaca