SHAH ALAM - 112 calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah sah bertanding selepas berakhirnya proses penamaan calon bagi semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum hari pengundian yang akan diadakan pada 20 November ini. Apa... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - 112 calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka telah sah bertanding selepas berakhirnya proses penamaan calon bagi semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum hari pengundian yang akan diadakan pada 20 November ini.

Apa yang menarik adalah umur calon yang lebih setengah abad iaitu dalam lingkungan 60 hingga 69 tahun bertanding untuk PRN ini iaitu melibatkan 11 calon di mana calon dari Barisan Nasional (BN) bagi DUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin berusia paling tua iaitu 68 tahun.

Berdasarkan julat umur calon yang bertanding, kelompok calon berusia 50 hingga 59 paling tinggi iaitu melibatkan 36 individu.

Kedudukan kedua pula melibatkan 35 calon dalam lingkungan umur 40 hingga 49 tahun.

Bagi calon berusia 30 hingga 39 tahun, Perikatan Nasional (PN) mendominasi lingkungan umur berkenaan di mana melibatkan lapan daripada 21 calon yang terlibat.

Calon dalam lingkungan 21 hingga 29 tahun pula melibatkan sembilan individu di mana calon bagi DUN Sungai Rambai dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Farzana Hayani Mohd Nasir merupakan calon paling muda, berusia 21 tahun.

Farzana Hayani menjadi calon termuda pada usia 21 tahun. - Foto FB Farzana


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, lima parti dan 22 calon Bebas disahkan bertanding pada PRN Melaka dengan pertandingan tiga penjuru paling banyak direkodkan di 11 DUN.

Beliau berkata, daripada 112 kertas penamaan calon yang layak bertanding itu, BN, PN dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing menampilkan seramai 28 calon, selain lima daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan satu mewakili Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).

"Secara keseluruhan, pertandingan mengikut penjuru adalah tiga penjuru melibatkan sebanyak 11 DUN, selain empat penjuru di sembilan DUN, lima penjuru di lima DUN dan enam penjuru melibatkan sebanyak tiga DUN," katanya ketika sidang akhbar selepas proses penamaan calon.

Beliau berkata, tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga jam 11.59 malam pada 19 November ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa SOP Pencegahan Covid-19 di PRN Melaka telah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad selaras dengan Peraturan 16, Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Klik di sini untuk terus membaca