BANDAR memainkan peranan sangat penting dalam pembangunan negara sebagai pusat perkembangan ekonomi dan habitat manusia. Pada 2019, sebanyak 76.2 peratus populasi negara tinggal di kawasan bandar dan dijangka meningkat kepada 80 peratus... Klik di sini untuk terus membaca

BANDAR memainkan peranan sangat penting dalam pembangunan negara sebagai pusat perkembangan ekonomi dan habitat manusia.

Pada 2019, sebanyak 76.2 peratus populasi negara tinggal di kawasan bandar dan dijangka meningkat kepada 80 peratus menjelang 2030.

Maka, kerajaan perlu mengambil pendekatan lebih agresif bagi menangani isu berbangkit yang memberi impak secara langsung kepada penduduk bandar, antaranya melibatkan alam sekitar seperti isu pencemaran udara, sungai dan bunyi, pengurusan sisa buangan, kesesakan trafik, bekalan air bersih mencukupi serta masalah banjir kilat.

Natijahnya, manusia merupakan ejen perubahan kepada alam sekitar fizikal bandar selaras dengan perkembangan tamadun manusia dalam konteks penubuhan sesebuah bandar.

Dari segi kualiti alam sekitar, adalah sukar untuk mempertahankan kelestarian dan kelangsungan hidup masyarakat yang berkualiti di bandar.

Kebanyakan sungai yang mengalami pencemaran terletak di kawasan bandar seperti Sungai Juru di Pulau Pinang; Sungai Segget di Johor dan Sungai Klang di Selangor.

Lebih 80 peratus sungai di bandar-bandar utama di Malaysia boleh dianggap sungai ‘mati’ akibat pencemaran terutama sisa industri yang semakin meningkat setiap tahun.

Pembangunan pesat menyebabkan kebanyakan sungai di bandar kehilangan keupayaan ekosistem untuk membekalkan air bersih, memproses kumbahan dan mengekalkan produktivitinya.

Pencemaran udara di bandar juga disumbangkan oleh pertambahan bilangan kenderaan bermotor, industri dan perubahan guna tanah, manakala asfalt adalah sumber pencemar udara yang signifikan di kawasan bandar terutama pada hari panas dan cerah.

Impak pencemaran udara bukan sahaja memudaratkan kesihatan, bahkan apabila keadaan semakin kritikal boleh menjejaskan alam sekitar dan harta benda, contohnya jerebu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 80 peratus orang yang tinggal di kawasan bandar di seluruh dunia terdedah kepada pencemaran udara yang tinggi.

Bunyi bising paling mengganggu kehidupan seharian penduduk bandar berbanding pencemaran lain dan semakin membimbangkan.

Pencemaran bunyi dikategorikan sebagai satu bentuk gangguan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

PENCEMARAN BUNYI

Pencemaran bunyi adalah pencemaran melebihi 80 desibel (dB). Bacaan kadar bunyi yang normal untuk manusia adalah antara 15dB hingga 20dB.

Kenderaan yang lalu-lalang setiap hari termasuklah kenderaan awam seperti kereta api, komuter dan kapal terbang menyumbang kepada pencemaran udara.

Pencemaran bunyi trafik di bandar-bandar adalah melebihi had piawaian ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) iaitu 65 dBA. Industri komersial seperti perkilangan juga penyumbang utama khususnya yang menjalankan operasi berdekatan taman perumahan.

Pendedahan kepada bunyi melebihi 80 dB ke atas untuk jangka panjang boleh menyebabkan ketidakselesaan, gangguan ketika tidur, sakit jantung, gangguan psikologi, komunikasi dan produktiviti dan menyebabkan pekak.

Proses mengurus interaksi manusia dalam sesebuah ruangan bandar perlu diperkemas dengan sistem pengurusan bijaksana.

Perhatian perlu difokuskan kepada perancangan teliti melibatkan faktor sosioekonomi, teknologi dan ekologi.

Kemerosotan kualiti alam sekitar akan mengancam kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan hidup masyarakat bandar itu sendiri.

Justeru, perhatian perlu diberi kepada impak alam sekitar dan menjalankan analisis terhadap ekosistem dari masa ke masa supaya wujud kawalan pencemaran terhadap alam sekitar sesebuah projek pembangunan.

Penggunaan teknologi untuk memberi amaran awal sekiranya terjadi kejadian pencemaran juga dapat membantu, misalnya sistem pengawasan kualiti udara di Pasir Gudang, Johor yang dilengkapi penggera bagi mengesan bahan pencemar berbahaya di udara untuk tindakan segera diambil.

Akhirnya, pendidikan, kesedaran dan keprihatinan masyarakat bandar terhadap persekitaran mereka perlu dipertingkatkan.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca