APABILA disebut mengenai pertikaian di Laut China Selatan, tentunya yang menonjol adalah kehadiran pesawat-pesawat dan kapal permukaan China yang saban hari dilihat memperagakan kuasa serta kekuatannya.
Satu isu lebih meruncing terhadap keselamatan di Laut China Selatan dan berkemungkinan menjadi pencetus kepada konflik bersenjata adalah kehadiran kapal selam daripada pelbagai negara yang berkepentingan di kawasan berkenaan.
Baru-baru ini Jepun, Amerika Syarikat (AS) , Britain, Belanda, Kanada dan New Zealand telah mengadakan latihan besar-besaran di Laut China Selatan.
Kehadiran tiga kapal pengangkut pesawat dan 14 kapal perang merupakan ‘armada’ terbesar negara Blok Barat dan sekutunya di kawasan itu sejak sekian lama.
Menurut penganalisis ketenteraan, walaupun membuat bantahan politik, Beijing sebenarnya amat menantikan kehadiran armada tersebut.
Ia akan membolehkan armada lautnya membuat intipan bagi mengumpul maklumat operasi.
Steve Moorhouse yang merupakan komander armada laut Britain ketika bercakap kepada media selepas latihan dengan bangga menyatakan bahawa kapal-kapal Britain dengan mudah dapat mengesan kehadiran kapal selam China yang membayangi armada mereka.
Apakah kapal selam China yang dikesan sengaja menguji keberkesanan sistem milik kapal British?
Tentunya komander armada Britain tidak akan mengetahui sekiranya ada kapal selam China yang tidak dapat dikesan kerana maklumat sedemikian tidak akan terpapar pada sistem sonarnya!
KEHEBATAN KAPAL SELAM CHINA
China pernah membuktikan bahawa kapal selamnya mampu dan berjaya beroperasi tanpa dapat dikesan. Kejadian pada 2009 menyaksikan kapal selam diesel-elektrik kelas-Song mereka berjaya menghampiri kapal pengangkut pesawat Amerika, USS Kitty Hawk pada jarak jangkauan torpedonya.
Selain China, kuasa seperti AS juga sebenarnya menggunakan isu kebebasan dan hak laluan maritim sebagai alasan untuk melakukan pelbagai aktiviti yang boleh dianggap mampu mengancam perdamaian kawasan serantau. Ia dijelaskan dalam dokumen polisi penggunaan pasukan kapal selam tempur AS yang diterbitkan pada 2018.
Mengikut dokumen tersebut, pasukan kapal selamnya ‘mempunyai keupayaan unik dan cara terbaik diatur gerak secara halimunan, operasi sulit dan secara bersendirian’.
Selain itu, ia ‘akan mengeksploitasi kelebihan bersembunyi di bawah permukaan laut yang akan membolehkan kita untuk beroperasi tanpa dapat dikesan seperti rondaan cegah rintang strategik, pengumpulan risikan, sokongan pasukan operasi khas, transit tidak mendatangkan provokasi dan mengubah kedudukan’.
‘Pencerobohan’ kapal selam nuklear AS adalah antara isu yang sebenarnya boleh membahayakan keamanan, malah persekitaran maritim di Laut China Selatan.
Pada 2 Oktober iaitu sehari sebelum armada AS dan Britain mengadakan latihan, sebuah kapal selam tempur nuklear kelas Sea-Wolf, Amerika, USS Connecticut (SSN 22) yang bergerak secara halimunan telah terlanggar ‘objek’ tidak diketahui di dasar laut.
Objek kemudiannya dikenal pasti sebagai sebuah ‘gunung’. Pelanggaran itu menyebabkan beberapa kru tercedera dan kapal selam mengalami kerosakan serta terpaksa mengapungkan diri, namun tiada kebocoran bahan nuklear.
Amat mencurigakan, kapal selam itu tidak tersenarai untuk mengambil bahagian dalam latihan.
Ia bukanlah pertama kali kejadian seumpamanya. Pada 2005, kapal selam nuklear USS San Francisco (SSN-711) juga melanggar sebuah gunung di dasar laut Guam.
Apa yang dirisaukan adalah kemungkinan berlaku insiden pelanggaran kapal selam China dan Amerika di Laut China Selatan, seterusnya mencetuskan konflik bersenjata.
Selain pelanggaran mengakibatkan kerosakan platform atau kehilangan nyawa kru, kebocoran radioaktif juga mungkin berlaku.
Ia boleh menyebabkan malapetaka dahsyat di Laut China Selatan.
Walau berkuasa nuklear dan dilengkapi sistem elektronik canggih, jika gunung pun gagal dikesan, tidak mustahil pelanggaran akan terjadi dengan kapal selam lain yang bergerak secara halimunan dalam kegelapan dasar laut di lokasi sama.
Kini Australia pula bakal memiliki kapal selam nuklear di bawah pakatan AUKUS dan ia tentunya mempertingkatkan lagi kebarangkalian berlakunya kemalangan sedemikian.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007
Klik di sini untuk terus membaca