SHAH ALAM - Pada 3 November 2021, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah menukar kereta rasmi baharu daripada Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pada 3 November 2021, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah menukar kereta rasmi baharu daripada Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5L bermula April 2021.

Kenyataan itu hadir bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang meminta Menteri Kewangan menyatakan perbelanjaan kerajaan menyediakan kereta rasmi Vellfire kepada menteri-menteri sejak Mac 2020 hingga sekarang.

Tze Tzin juga mahu jawapan berkenaan berapa jumlah perbelanjaan sewaan sesebuah kereta Vellfire daripada syarikat konsesi Spanco sebulan.

Sejak pendedahan Tengku Zafrul itu, pelbagai reaksi negatif timbul terutamanya daripada blok pembangkang yang menyifatkan pembelian itu merugikan selain tidak mengambil kira kesusahan yang dihadapi rakyat akibat pandemik Covid-19.

Antara yang lantang bersuara adalah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa mungkin ada ‘udang di sebalik batu’ berkaitan pertukaran kenderaan rasmi menteri berkenaan.

"Memang pelik bin ajaib apabila kerajaan kata kereta Vellfire mewah ini jauh lebih murah daripada kereta Proton Perdana. Mesti ada udang di sebalik batu.

"Persoalannya, siapa makan duit, siapa orang tengah, siapa yang dapat tender ini? Kita kena siasat betul-betul.

"Betul ke angka-angka kerajaan ini sampai presiden-presiden persatuan kereta pun mempertikaikan kesahihan nombor-nombor yang diberikan oleh kerajaan yang tidak masuk akal,” katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Keputusan kerajaan supaya Toyota Vellfire 2.5L digunakan sebagai Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) dibuat berdasarkan kos sewaan bulanan kenderaan tersebut yang lebih rendah berbanding Proton Perdana 2.4 Premium.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, kos sewaan bulanan bagi Proton Perdana 2.4 Premium adalah RM4,854.41 manakala Vellfire 2.5 pula berjumlah RM4,851.61, penjimatan sebanyak RM2.80.

Selain itu, keputusan itu juga diambil bagi menggantikan model Proton Perdana 2.4 Premium yang telah ditamatkan pengeluarannya pada tahun 2014.

MOF berkata, cadangan penggantian kereta Proton Perdana kepada kenderaan lain seperti Vellfire sebenarnya telah dipertimbangkan semasa pentadbiran kerajaan terdahulu tetapi ditangguhkan dan hanya dilaksanakan pada tahun ini.

Sewaktu pemerintahan Perikatan Harapan (PH) iaitu pada penghujung bulan Disember 2019, sebuah portal berita melaporkan kerajaan sedang dalam proses melantik sebuah syarikat untuk membekalkan kenderaan untuk kegunaan rasmi menteri dan pegawai kanan kerajaan.

Janji niaga itu akan menyaksikan peruntukan 32 unit Toyota Vellfire untuk kegunaan menteri dan 3,000 unit Honda Accord untuk pegawai kanan kerajaan.

Pelantikan syarikat baharu itu berikutan kontrak Spanco Sdn Bhd (Spanco) sebagai pengendali rangkaian kenderaan kerajaan tamat hujung tahun 2019.

Bagaimanapun pada 10 Januari 2020, Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng menjelaskan kerajaan kekal menggunakan khidmat Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi menteri.

"Dulu memang ada yang mencadangkan menteri untuk dapat Vellfire. Saya ingat apabila saya dalam kabinet, saya tolak, saya tentang kerana kita perlu mempertahankan kereta Proton, tidak perlu belanja mewah, guna kereta buatan tempatan dan akhirnya keputusan kabinet kita kekalkan Proton dan tolak Vellfire.

"Walaupun kerajaan kami dahulu tolak penggunaan Vellfire, tiba-tiba tidak tahu mana puncanya, lepas jadi pembangkang, masa musim Covid-19 orang tengah susah, luluskan Vellfire baharu. Kenapa secara tiba-tiba? "Dulu bukan main lagi mereka kecam, oh kerajaan nak guna kereta Vellfire baharu. Mahal lah, membazirlah tetapi sekarang mereka pula buat. Walaupun kita tolak, mereka beli kereta Vellfire baharu,” kata Syed Saddiq.

Selain Syed Saddiq, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil turut mempertikaikan pembelian itu secara sinis.

"Sebelum saya mulakan ingin saya sampaikan ucapan tahniah kepada kerajaan terutamanya Menteri Kewangan khususnya berjaya membuat penjimatan yang cukup besar di atas penukaran kenderaan rasmi menteri daripada Proton Perdana kepada Vellfire yang telah menjimat RM2.80 sebulan, iaitu penjimatan 0.0577 peratus bersamaan dengan RM33.60 setahun atau RM1,075.20 setahun kalau 32 biji Vellfire diguna,” katanya sewaktu perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet) 2022 di Dewan Rakyat pada Isnin.

Biarpun pertukaran kenderaan rasmi itu dibuat ketika Perikatan Nasional (PN) memerintah, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut terkena tempiasnya.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Pekan itu tenang menafikan penglibatannya.

"Kenapa salah Najib pulak? Yang cadang Vellfire untuk Menteri pada bulan Januari 2020, kerajaan PM7 (PH).

"Yang akhirnya mula ganti dengan Vellfire pada bulan April 2021 semasa darurat dan tiada parlimen, kerajaan PM8 (PN). Nak tanya, tanyalah pada Atok (Tun Dr Mahathir Mohamad) dengan Abah kau (Tan Sri Muhyiddin Yassin).

"Bulan April 2021 itu juga masa PM8 (Muhyiddin) kata kerajaan dah tak banyak duit lagi untuk bantu Rakyat selepas dia belanja RM600 bilion,” katanya melalui kenyataan di Facebooknya pada 4 November lalu.

Klik di sini untuk terus membaca