SHAH ALAM - Seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencadangkan lebih baik Pakatan Harapan (PH) memfokuskan usaha memenangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terlebih dahulu daripada bertindak mengumumkan nama calon Ketua Menteri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencadangkan lebih baik Pakatan Harapan (PH) memfokuskan usaha memenangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka terlebih dahulu daripada bertindak mengumumkan nama calon Ketua Menteri bagi koalisi itu secara tergesa-gesa.

Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, tiada guna calon Ketua Menteri daripada PH diumumkan awal sekiranya individu itu kemudiannya berisiko kalah atau tidak mendapat restu daripada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Ali Rustam.

Jelas beliau, semua pemimpin PH boleh mencapai kata sepakat menerima seorang calon Ketua Menteri yang akan diterima semua pihak pada malam hari pengundian, sejurus PH disahkan memenangi PRN Melaka pada 20 November hadapan.

Tian Chua

"Pada PRN Melaka, bagi saya perkara paling penting adalah fokus dan komitmen PH dalam menentukan masa hadapan rakyat Melaka dengan menawarkan kestabilan politik kepada mereka.

"PRN Melaka bukan agenda PH untuk merampas kembali kedudukan Ketua Menteri atau serahkan jawatan itu kepada pemimpin-pemimpin tertentu.

"Lebih baik PH menang dahulu PRN Melaka, lepas itu baru buat keputusan siapa calon Ketua Menteri pilihan pada malam hari pengundian kerana apabila kita umum lebih awal, individu-individu berkenaan belum tentu menang kerana persaingan sangat sengit," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas teka-teki siapa calon Ketua Menteri baharu yang akan diangkat PH pada PRN Melaka susulan BN lebih awal mengumumkan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan dilantik semula memegang jawatan tertinggi kerajaan negeri.

Ketika ini, nama Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari adalah merupakan calon pilihan bagi jawatan utama berkenaan dan dikatakan mendapat restu DAP.

IDRIS, SHAMSUL ISKANDAR TURUT INTAI PELUANG

Bagaimanapun, nama Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan seorang lagi bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron turut dikaitkan dengannya susulan Idris dianggap memainkan peranan penting menjatuhkan kerajaan 'tidak berintegriti' sebelum ini.

Berikutan itu, Timbalan Pengerusi Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menjelaskan pengumuman mengenai calon PH untuk dilantik jawatan Ketua Menteri akan dibuat dalam beberapa hari lagi, selepas hari penamaan calon pada Isnin.

Beliau dipetik sebagai berkata bahawa kata sepakat telah dicapai dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk diumumkan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum itu menggesa PH mengumumkan Adly sebagai pilihan gabungan itu untuk jawatan Ketua Menteri.

Beliau berkata, PH telah membuat kesilapan menerima pembelot UMNO sebagai calon pilihan raya dan tidak boleh menambah kesilapannya melibatkan jawatan Ketua Menteri.

RUNDING JAWATAN KM SECARA BERHEMAH

Mengulas lanjut, Tian Chua mengakui Adly yang juga Naib Presiden Amanah adalah seorang pemimpin yang bagus serta berjaya menyatukan kepimpinan PH di negeri Melaka sehingga kini.

Bagaimanapun, beliau meminta semua pihak tidak menjadikan isu siapa calon Ketua Menteri baharu PH sebagai isu utama kerana perkara itu boleh dirunding secara berhemah.

Hatta Ramli

Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Hatta Ramli menegaskan kaedah penentuan calon Ketua Menteri baharu Melaka bagi PH bukan boleh diumumkan mana-mana pihak atau calon secara individu.

Sebaliknya, beliau menegaskan perkara itu akan diumumkan menerusi Majlis Presiden PH dalam masa terdekat.

"Keputusan siapa calon KM bagi pihak PH yang paling layak sudah ada, cuma perkara itu akan diumumkan dalam sedikit masa lagi.

"Lagipun Idris sebelum ini tidak pernah kata beliau bakal menjadi calon Ketua Menteri bagi pihak PH, dia cuma perjelaskan soal siapa Ketua Menteri baharu itu tidak penting," katanya.

LOBI JAWATAN KM HAK MASING-MASING

Bagi Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad pula, sekiranya ada usaha pihak tertentu yang cuba melobi jawatan Ketua Menteri bagi pihak PH, itu adalah hak masing-masing.

Khalid Samad

Namun begitu, beliau berpandangan keputusan muktamad adalah di peringkat kepimpinan tertinggi PH dengan siapa calon bersesuaian sudah dimuktamadkan.

"Jadi perkara ini (isu calon Ketua Menteri PH) bukan lagi satu isu dengan saya jangka pengumuman itu akan dibuat pada tarikh esok (Rabu).

"Kalau masih ada usaha pihak tertentu untuk lobi, itu hak masing-masing. Apa yang diputuskan, akan kekal dengan keputusan dibuat dan tidak mungkin ia boleh diubah," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca