SHAH ALAM - Sebaik selesai penamaan calon, fokus Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini terarah kepada pertembungan di setiap kerusi terutamanya di kerusi-kerusi panas. Pemerhati politik kini sedang melihat pertembungan hebat antara... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sebaik selesai penamaan calon, fokus Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kini terarah kepada pertembungan di setiap kerusi terutamanya di kerusi-kerusi panas.

Pemerhati politik kini sedang melihat pertembungan hebat antara calon-calon heavyweight, persaingan sengit kerusi-kerusi dengan majoriti tipis pada PRU-14 selain isu-isu semasa yang terpalit dalam kalangan calon.

Walaupun Barisan Nasional (BN) mempunyai 13 kerusi deposit berdasarkan PRU14, namun perpecahan undi Melayu apabila bertembung dengan Bersatu dan Pas di bawah payung Perikatan Nasional mungkin memberi kesan.

Pakatan Harapan pula walaupun mungkin selepas di kawasan-kawasan bandar, namun berdepan cabaran besar di kerusi majoriti Melayu dengan ketiadaan Bersatu bersama mereka kali ini.

Wartawan Sinar Premium, Khairil Anwar Mohd Amin menganalisis lapan DUN tumpuan dan dijangka panas pada PRN Melaka kali ini.

1. DUN TANJUNG BIDARA: SIFU VS ANAK MURID

Tumpuan utama pastinya terarah kepada persaingan sengit dua calon 'heavyweight' di DUN Tanjung Bidara iaitu di antara Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mewakili PN.

Meskipun kerusi DUN itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang turut membabitkan calon PH, Zainal Hasan daripada PKR, ramai pemerhati politik menjangkakan pertembungan sengit hanya tertumpu kepada 'sifu' dan bekas anak buahnya iaitu Abdul Rauf dan Mas Ermieyati.

Keputusan Abdul Rauf yang juga salah seorang muka baharu BN bertanding di kerusi Tanjung Bidara itu sudah dapat diduga kerana DUN itu sememangnya merupakan kubu kuat UMNO berikutan kemenangan selesa bekas penyandangnya, Datuk Md Rawi Mahmud dengan majoriti besar 4,240 undi.

Pencalonan Abdul Rauf di DUN itu juga mengesahkan beliau memainkan peranan penting dalam menentukan calon-calon BN yang bertanding pada PRN Melaka, selaras dengan kapasiti beliau sebagai Pengerusi BN Melaka.

Bagaimanapun, kehadiran Mas Ermieyati sedikit sebanyak memberikan cabaran besar kepada Abdul Rauf, lebih-lebih lagi bekas Ketua Puteri UMNO itu mampu memanfaatkan kedudukannya selaku timbalan menteri selain sudah teruji keupayaan dalam mengharungi PRU14 pada tahun 2018.

Ditambah dengan sokongan pengundi Pas kepada Mas Ermieyati selain undi bukan Melayu yang dijangka berpihak kepada PH, peluang kemenangan Abdul Rauf dan Mas Ermieyati masih dianggap 50-50.

Shamsul Iskandar dijangka calon pilihan bagi memenangi DUN Paya Rumput meskipun kerusi itu disandang Bersatu sebelum ini.

2. DUN PAYA RUMPUT: UJIAN SHAMSUL ISKANDAR

Selain DUN Tanjung Bidara, pertembungan lima penjuru di DUN Paya Rumput juga menarik untuk diperhatikan apabila Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin mempunyai cabaran besar untuk merampas semula kerusi itu daripada tangan PN.

Menerima tentangan daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rais Yasin (BN-UMNO); Muhammad Faris Izwan Mazlan (PN-Bersatu); Mohamad Hashidi Mohd Zain (Putra) dan Mohd Jaini Dimon (Bebas), Shamsul Iskandar - dicanang-canang sebagai bakal Ketua Menteri baharu sekiranya PH menang PRN Melaka.

Faktor jumlah pengundi bukan Melayu yang tinggi di DUN Paya Rumput mungkin bakal memberi kelebihan kepada Shamsul Iskandar.

Ini kerana kemenangan penyandangnya, Mohd Rafiq (Bersatu) pada PRU14 juga disebabkan faktor pengundi bukan Melayu. Dua pertiga daripada keseluruhan 12,102 undi yang diterima Mohd Rafiq tiga tahun lalu daripada pengundi bukan Melayu.

Pemerhati politik turut berpandangan keputusan Mohd Rafiq tidak mempertahankan kerusi DUN Paya Rumput dan berpindah ke kerusi DUN Telok Mas disebabkan beliau sedar tanpa sokongan pengundi Cina dan India, beliau sebenarnya kalah kepada calon BN pada PRU14 dengan majoriti lebih 3,000 undi.

Peluang Idris untuk memenangi kerusi DUN Asahan masih lagi 50-50 memandangkan beliau turut berdepan tentangan hebat calon daripada BN dan PN.

3. DUN ASAHAN: TIGA CALON BEBAS PENENTU NASIB IDRIS

Kerusi seterusnya yang bakal menjadi tumpuan umum adalah DUN Asahan apabila bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH), bakal mencuba nasib di kerusi kampung halamannya sendiri.

Memandangkan DUN Asahan hanya dimenangi bekas penyandang, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan daripada BN pada PRU14 dengan majoriti tipis sebanyak 275 undi sahaja.

Idris pastinya melihat peluang untuk merampas kerusi itu amat cerah, ditambah dengan situsi pertembungan BN dan PN akan memecahkan undi blok kerajaan.

Namun, pengesahan tiga calon bebas untuk bertanding pastinya menimbulkan tanda-tanya sama ada kehadiran mereka sekadar memeriahkan PRN Melaka, atau berperanan besar untuk memecahkan sama ada undi blok kerajaan atau pembangkang.

Ditambah dengan kesungguhan UMNO mempertahankan kerusi DUN berkenaan dengan menjadikan Ketua Pemuda UMNO Melaka, Fairul Nizam Roslan sebagai taruhan, laluan Idris untuk terus mengekalkan kedudukannya sebagai ADUN masih berliku.

Rata-rata rakyat Melaka masih terkesan dengan tindakan Idris serta tiga bekas ADUN blok kerajaan lain yang bertindak menjatuhkan kerajaan Melaka pada saat pandemik Covid-19 belum pulih sepenuhnya.

Sekiranya Idris tersilap percaturan dan pengundi DUN Asahan mahukan muka baharu yang lebih muda dan berketrampilan, Fairul Nizam berkeupayaan melakukan kejutan untuk mempertahankan kerusi DUN milik BN itu.

Meskipun berpindah kerusi DUN daripada DUN Paya Rumput, Mohd Rafiq (dua kiri) masih berdepan cabaran berat untuk mempertahankan kerusi DUN Telok Mas yang dimenangi Bersatu pada PRU14.

4. DUN TELOK MAS: MAMPUKAH RAFIQ PERTAHAN KERUSI BERSATU?

DUN seterusnya yang menjadi perhatian adalah DUN Telok Mas di mana Mohd Rafiq yang juga Pengerusi PN Melaka memutuskan untuk bertanding di salah satu daripada dua kerusi DUN yang dimenangi Bersatu pada PRU14.

Kerusi DUN Telok Mas sememangnya agak kontroversi susulan bekas penyandangnya, Datuk Nor Effandy Ahmad memainkan peranan penting dalam menjatuhkan dua kerajaan negeri bersama seorang lagi ADUN 'sensasi' daripada bebas, Norhizam Hassan Baktee.

Meskipun Nor Effandy tidak bertanding pada PRN Melaka, tindak-tanduknya menjatuhkan kerajaan pimpinan Sulaiman sebelum ini pastinya memberi kesan tempias kepada Mohd Rafiq.

Selain itu, rata-rata masyarakat kawasan DUN Telok Mas dikatakan kurang berpuas hati dengan tahap perkhidmatan Nor Effandy yang didakwa 'kurang berinteraksi' dengan penduduk tempatan secara kerap.

Mohd Rafiq, disebut-sebut bakal Ketua Menteri baharu sekiranya PN menang PRN Melaka, sebenarnya memikul beban besar untuk mempertahankan kerusi dimenangi Bersatu itu.

Hal ini ditambah dengan strategi BN mengekalkan calon berpengalaman bagi kerusi itu, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO bahagian Kota Melaka selain PH mempertaruhkan Setiausaha Parti Amanah Negara (Amanah) Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.

Dira (tengah) semasa penamaan calon pada Isnin.

5. DUN RIM: DIRA TERIMA TENTANGAN AKAR UMBI UMNO?

Satu lagi persaingan yang menarik pada PRN Melaka adalah DUN RIM di mana tiga calon yang ditampilkan BN, PN dan PH bagi merebut kerusi berkenaan terdiri daripada pemimpin muda dan berpengaruh bagi parti masing-masing.

Siapa tidak kenal dengan bekas pengarah dan pengacara jelita, Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang kini merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO apabila beliau dipertaruhkan BN bagi mengekalkan kerusi disandang parti itu pada PRU14.

Pemilihan Khaidhirah atau lebih popular dipanggil Dira dianggap satu keputusan berani UMNO dan BN, dalam memastikan parti itu meraih kemenangan besar pada PRN Melaka kali ini.

Bagaimanapun, timbul tanda-tanya sama ada Dira akan mendapat sokongan akar umbi UMNO bahagian Jasin, terutama mereka yang menjadi pengundi DUN Rim apabila keputusan pencalonan beliau dan seorang lagi calon muda, Dr Muhamad Akmal Salleh bagi DUN Merlimau tidak mendapat reaksi positif pucuk kepimpinan UMNO bahagian itu.

Bahkan Setiausaha UMNO bahagian Jasin, Datuk Kalam Hassan menyuarakan kekecewaan dengan keputusan itu susulan tindakan parti mengenepikan Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Hasan Rahman daripada senarai calon untuk bertanding PRN Melaka.

Situasi menjadi lebih sukar kepada Dira memandangkan bekas penyandang kerusi DUN itu, Datuk Ghazale Muhamad hanya memenanginya pada PRU14 dengan majoriti tipis 536 undi sahaja.

Di pihak PH pula, koalisi itu mempertaruhkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka, B Prasanth Kumar untuk mencabar Dira, manakala PN turut menurunkan calon wanita muda berpengalaman, Azalina Abdul Rahman yang juga Ketua Srikandi Bersatu Melaka.

Sama ada kepopularan Dira mampu menjadi pemangkin kepada BN untukmengekalkan kerusi 'fix deposit' berkenaan, segalanya bergantung kepada keupayaannya memenangi semula akar umbi UMNO dalam tempoh 11 hari berkempen ketika ini.

Datuk Tey Kok Kiew

6. DUN BEMBAN: PERCUBAAN BUNUH DIRI DAP?

Pelbagai persoalan timbul apabila Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew dipilih menggantikan penyandang kerusi DUN Bemban, Datuk Dr Wong Fort Pin di kawasan majoriti pengundi Melayu berkenaan.

Hal ini kerana Fort Pin, anak jati Bemban, menunjukkan rekod perkhidmatan baik di DUN berkenaan dan sememangnya amat dikenali bukan sahaja dalam kalangan pengundi bukan Melayu, bahkan juga masyarakat Melayu kawasan itu.

Meskipun Kok Kiew dianggap calon 'heavyweight' daripada koalisi PH serta berpengalaman sebagai ADUN Bandar Hilir selama beberapa penggal, strategi DAP mempertaruhkan beliau masih dianggap berisiko besar.

Lebih-lebih lagi DUN Bemban merupakan salah satu daripada enam kerusi yang berpotensi dimenangi semula parti-parti blok kerajaan sekiranya tiada pertembungan berlaku dalam kalangan mereka.

Dengan jumlah keseluruhan pengundi berjumlah 18,393 orang, pelbagai kemungkinan boleh berlaku kepada calon BN, Datuk Koh Chin Han yang berjaya meraih jumlah 5,653 undi pada PRU14 serta calon PN, Mohd Yadzil Yaakub daripada Bersatu yang mungkin 'mewarisi' sejumlah 2,762 undi yang dimenangi calon Pas, Suhaimi Harun.

Kesan kehadiran dua calon bebas di DUN Bemban juga menarik untuk diperhatikan susulan salah seorang daripadanya, Azmi Kamis merupakan calon berbangsa Melayu, manakala Ng Choon Koon lagi dijangka memainkan peranan memecahkan undi kaum bukan Melayu.

Bagaimanapun, sejauh mana kehadiran dua calon bebas akan memberi impak kepada keputusan akhir DUN Bemban hanya akan terjawab pada hari pengundian, 20 November ini.

7. DUN SUNGAI UDANG: PENGARUH IDRIS ANCAMAN CIKGU ALI

DUN Sungai Udang sememangnya menjadi kubu kuat UMNO dan BN untuk sekian lama. Bagaimanapun, apabila bekas penyandangnya, Idris yang juga bekas Ketua UMNO bahagian Tangga Batu, mengambil tindakan drastik untuk menarik sokongan daripada kerajaan UMNO-BN Melaka bulan lalu, landskap politik DUN itu sudah berubah.

Hal ini susulan keputusan Idris, dipercayai turut ada kaitan dengan perbalahan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, dijangka menyebabkan sokongan pengundi DUN Sungai Udang akan berpecah kepada beberapa kelompok.

Merupakan antara muka baharu pada PRN Melaka kali ini, Mohamad Ali atau lebih dikenali sebagai 'Cikgu Ali' berdepan tugas berat untuk menangkis pengaruh Idris susulan bekas Ketua Menteri Melaka itu sudah menjadi ADUN Sungai Udang sejak tahun 2013.

Kerusi DUN Sungai Udang bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, PN, PH dan calon bebas.

PN mempertaruhkan Dr Mohd Aleef Yusof, Hasmorni Tamby bertanding atas tiket PH dan Mejar Jeneral (B) Mohd Zahar Hasim mewakili bebas.

Mohd Aleef, 35, bekas doktor perubatan di sebuah hospital swasta juga merupakan calon termuda di DUN Sungai Udang manakala Mohd Zahar, 63, adalah bekas pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat selama 40 tahun di ATM, dan pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Perisikan Strategik dan Perhubungan Antarabangsa.

Calon Bebas bagi DUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee menunjukkan tanda bagus ketika hadir di pusat penamaan calon bagi PRN Melaka di Dewan Bestari Ayer Keroh.

8. DUN PENGKALAN BATU: POPULARITI NORHIZAM JADI PENYELAMAT DIRI?

Sebut DUN Pengkalan Batu, siapa tidak kenal dengan ADUN dan Exco Kerajaan Negeri yang kontroversi daripada bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee?

Bermula dengan video tular pertikaman lidah beliau dengan penduduk kampung sehinggalah digelar sebagai 'YB juara penembak babi', Norhizam Hassan yang bertanding mewakili DAP pada PRU14 tidak pernah sunyi daripada konflik.

Norhizam juga mencipta sejarah tersendiri bersama Nor Effandy apabila menjadi ADUN yang bertanggungjawab menjatuhkan dua kerajaan negeri Melaka selepas kemenangan PH pada PRU14.

Meskipun beliau merupakan salah seorang daripada empat bekas ADUN kerajaan yang menarik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, nasib Norhizam tidak sebaik Idris dan Nor Azman apabila tidak dipilih sebagai calon bertanding atas tiket PH pada PRN Melaka.

Namun, keputusan itu tidak mematahkan semangat beliau untuk terus mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Batu, apabila Norhizam mengumumkan untuk bertanding sebagai calon bebas.

Namun, sejauh mana pengaruh Norhizam membolehkan beliau mempertahankan kerusi DUN berkenaan masih menjadi tanda-tanya susulan 33 peratus daripada pengundi bukan Melayu kawasan itu dijangka terus kekal mengundi calon diketengahkan DAP dan PH.

9. DUN BUKIT KATIL: ADLY PERLU BUKTI KEMAMPUAN JADI KM

Satu lagi kerusi 'panas' yang menjadi tumpuan pastinya kerusi ditandingi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Melaka, Adly Zahari iaitu DUN Bukit Katil.

Meskipun bekas Ketua Menteri Melaka itu berdepan pertembungan empat penjuru, ramai pemerhati politik berpandangan saingan sebenar kepada Adly adalah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasnoor Husin.

Hal ini memandangkan kerusi DUN berkenaan pernah menjadi kubu kuat parti itu sewaktu zaman pentadbiran Tun Ali Rustam yang kini menjadi Yang Dipertua Negeri.

Kerusi DUN Bukit Katil yang sebelum ini merupakan DUN Bukit Baru diwujudkan sejak pilihan raya 2018.

Dua calon lagi, Muhammad Al Hafiz Yahya daripada Perikatan Nasional (PN) dan Abdul Hamid Mustapah yang bertanding atas tiket bebas dijangka tidak memberi cabaran sengit kepada Adly dan Hasnoor memandangkan kedua-dua mereka dianggap muka baharu yang kurang dikenali penduduk setempat.

Bagaimanapun, pengaruh Hasnoor selaku pemimpin veteran BN di kawasan Parlimen Hang Tuah Jaya mungkin mampu menghadirkan kejutan besar kepada Adly, lebih-lebih lagi beliau berdepan tekanan untuk memenangi kerusi berkenaan ketika ini.

10. DUN LENDU: SULAIMAN ANGGAP DIRI CALON 'UNDERDOG'

Kerusi DUN paling penting yang menjadi perhatian seluruh rakyat Melaka pastinya tertumpu di DUN dimenangi bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali iaitu Lendu.

Di kerusi DUN itu, Sulaiman yang mewakili BN berdepan pertembungan tiga penjuru apabila beliau dicabar Mejar (B) Abdullah Mahadi daripada PN dan Mohamad Asri Ibrahim daripada Pakatan Harapan (PH).

Walaupun dianggap pemimpin heavyweight Melaka, Sulaiman lebih selesa menganggap dirinya sebagai calon 'underdog' dalam pilihan raya negeri kali ini.

Ramai berpandangan kenyataan Sulaiman sebagai satu cubaan perang psikologi terhadap seteru-seterunya.

Namun, secara tersirat, kenyataan Sulaiman itu mungkin bertujuan mengendurkan tekanan terhadap dirinya susulan beliau berdepan beban besar untuk menjustifikasikan pencalonannya oleh BN untuk dikekalkan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Ditambah dengan kemenangan beliau pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) hanyalah berasaskan majoriti tipis 627 undi, segala kemungkinan boleh berlaku terhadap Sulaiman sekiranya sokongan pengundi Melayu tidak memihak kepadanya.

Dengan komposisi pengundi Melayu adalah 78 peratus, Sulaiman mungkin boleh menang selesa dengan undi penduduk Melayu DUN Lendu.

Klik di sini untuk terus membaca