"Hahahaha...akulah jin penunggu lampu ini. Aku suka pada kang sebab kang budak yang rajin. Sekarang aku perhambakan diri kepada kang. Kang beritahu sahaja apa yang kang mahu, nescaya aku akan penuhi hajat kang.”
Saya masih ingat sangat dialog itu. Begitu juga dengan bunyi lori yang menyebabkan jin itu hilang ghaib. Kesemuanya masih terngiang-ngiang.
Peristiwa itu berlaku kira-kira 40 tahun dahulu, ketika saya masih menuntut di sekolah rendah. Ketika itu belum ada sistem cuti semester, yang ada cuti penggal. Budak-budak kampung pada zaman saya dahulu, kalau cuti sekolah, sama ada penggal pertama, kedua atau ketiga kenalah pandai-pandai merancang aktiviti sendiri. Jangan beranganlah keluarga hendak bawa melancong makan ikan berharga emas di Langkawi, apatah lagi ke luar negara.
Selain mengikut kawan-kawan bermain, saya paling suka menggunakan cuti sekolah untuk mencari wang saku. Ia bermula dengan mengumpul botol dan tin kosong yang terdapat di sekitar kawasan rumah sendiri dan rumah jiran-jiran terdekat. Sesekali terambil juga buah koko jiran. Botol dan tin-tin itu dikumpulkan selama beberapa minggu, atau beberapa bulan sebelum dijual kepada pembelinya. Untuk menambah pendapatan, saya juga menjual kotak dan surat khabar lama.
Saya masih ingat lagi, hasil jualan yang pertama hanyalah RM2.70. Memang tidak banyak, dan jauh daripada angka jangkaan saya iaitu lima atau enam ringgit.
Tetapi ia cukup mengujakan, terasa satu kepuasan yang sukar digambarkan. Kembang kempis hidung saya dibuatnya. Maklumlah itu wang hasil titik peluh saya sendiri. Selalunya wang yang saya dapat hanyalah daripada titik peluh berjalan mengutip ‘angpau’ pada hari raya Aidilfitri.
Membelanjakan wang sendiri juga ternyata lebih seronok daripada berbelanja dengan wang yang diminta daripada emak dan abah. Kalau berulang alik ke kedai sehari lapan kali kerana membeli jajan pun tidak lagi terasa bersalah. Begitu juga kalau bermain ‘tikam-tikam’.
Hmm... Pada tahun di mana terjadinya peristiwa bertemu dengan jin itu saya sebenarnya baru membesarkan ‘empayar’ perniagaan. Saya tidak lagi melakukan aktiviti mengutip botol, tin, kotak dan sebagainya di sekeliling rumah sendiri atau jiran terdekat sahaja, tetapi juga di seluruh kampung.
Pekerjaan itu sebenarnya tidaklah begitu teruk. Maklumlah, tiada siapa yang mengongkong. Kalau rajin, kutip; kalau letih, berehat; kalau malas, berhenti. Tidak ada mandor, tidak ada penyelia. Tidak ada yang memaki hamun.
Tetapi hari itu entah kenapa saya terasa agak letih. Selepas dapat mengumpulkan beberapa biji botol saya berhenti rehat di sebuah pondok di tepi kebun. Macam selalu, apabila bersendirian begitu saya suka berangan-angan. Antara angan-angan yang paling kuat bermain di fikiran saya pada masa itu ialah terjumpa lampu lama semasa aktiviti kutip-mengutip tersebut. Lampu itu akan saya gosok dan kemudian muncullah jin Aladdin yang akan bersedia memenuhi apa sahaja permintaan saya.
Ada ketikanya saya ubah angan-angan itu kepada terjumpa sebuah botol, yang di dalamnya ada jin terkurung. Saya buka penutupnya dan jin itu pun keluar. Sebagai tanda terima kasih ia akan memberi peluang kepada saya membuat beberapa permintaan, yang akan dipenuhi olehnya.
Saya juga sudah menyediakan senarai permintaan-permintaan saya; antaranya, saya mahu jin itu bawakan semua jenis coklat dan gula-gula yang paling sedap di dunia kepada saya; saya juga mahu dia bawakan kepada saya semua majalah, komik dan buku cerita, dan saya mahu diberikan sebuah tabung yang duit di dalamnya tidak habis-habis, tidak kiralah berapa banyak yang saya korek keluar.
MIMPI JIN ALADDIN
Ketika melayan angan-angan itulah saya terlena dan jin tersebut benar-benar datang dalam mimpi saya. Seperkara yang saya tidak faham ialah kenapa jin itu memanggil saya ‘kang’, yang dalam bahasa Jawa bermaksud ‘abang’. Adakah jin itu berketurunan Jawa atau dia menyangka saya, anak kacukan ini, berdarah Jawa asli?
Apa yang saya tahu hanyalah saya cukup marah apabila sebuah lori lalu di situ dan bunyinya menyebabkan saya terjaga sekali gus menamatkan mimpi indah tersebut.
Sejak peristiwa itu saya tidak jemu-jemu mengharap mimpi itu berulang. Tiga empat kali juga saya singgah di pondok yang sama, berpura-pura tidur dengan harapan akan bermimpi dan jin itu datang lagi. Namun harapan tinggal harapan.
Pun begitu ada sesuatu dari mimpi itu yang meninggal kesan di hati saya; pujian jin tersebut yang saya ini rajin. Saya menerimanya sebagai pendorong untuk menjadi lebih rajin. Jauh di sudut hati saya terbina harapan, mungkin kerana kerajinan itu, suatu ketika nanti jin tersebut benar-benar muncul di depan saya.
Atas sebab itulah macam-macam yang saya buat untuk mencari wang saku. Setiap kali cuti sekolah, ada sahaja projek mencari duit yang saya lakukan.
Biasalah budak pengakap dengan segala kemahiran mencari wang saku yang serba-serbi itu. Apa sahaja yang mendatangkan hasil, saya buat. Kadang-kadang bersendirian, kadangkadang bersama kawan.
Walaupun saya rasa kerajinan saya tidak pernah berkurangan, namun dari setahun ke setahun saya tetap tidak bertemu dengan jin tersebut. Ia kekal menjadi impian kosong.
Hanya setelah masuk politik barulah saya berpeluang menemuinya. Itu pun bukan jin yang sebenar, tetapi sekadar yang berperangai macam jin.
Berbalik kepada hal mencari wang saku, dalam kalangan rakan-rakan sebaya di kampung saya pun wujud semacam perlumbaan untuk berbuat demikian.
Ada yang sejak berumur 10 atau sebelas tahun lagi sudah mengambil upah menebas kebun orang atau menjaga haiwan ternakan. Keadaan itu menjadikan kami budak-budak kampung sejak kecil lagi pandai berdikari.
Sebahagiannya, kerana terlalu pandai berdikari, memilih untuk tidak menyambung pelajaran ke sekolah menengah. Ketika rakan-rakan lain sibuk hendak ke sekolah, dia sibuk ke kebun.
Pada waktu rakan-rakan sebaya sibuk dengan SRP, dia sudah mula berkira-kira hendak berkahwin... Anak-anak zaman sekarang kalau hendak mencari wang saku tidak perlu lagi bersusah payah macam budak-budak zaman saya dahulu.
Mereka boleh melakukannya daripada rumah. Dari dalam bilik, malah di atas katil. Di ruang siber ada pelbagai cara untuk mendapatkan wang. Sertai tinjauan (survey) berbayar, menjadi ‘ejen jualan’ (dropshipper), menjadi ‘YouTuber’ dan sebagainya. Bermain game dalam talian pun boleh mendatangkan sumber pendapatan pasif. Malah menjadi tukang ‘copy & paste’ pun boleh dapat duit.
Jika kami dahulu terpaksa berpanas berhujan, berpeluh dan mengeluh untuk mendapatkan seringgit dua, budak-budak sekarang boleh mendapat jumlah yang lebih banyak sambil menikmati minuman bergas dan seribu satu jenis jajan tanpa bergerak dari tempat duduk.
Begitulah untungnya mereka, keseronokan dapat, duit dapat, peluang untuk menghidap kencing manis dan menjadi obesiti pun dapat. #dush!
Anak-anak zaman sekarang kalau hendak mencari wang saku tidak perlu lagi bersusah payah macam budak-budak zaman saya dahulu. Mereka boleh melakukannya daripada rumah. Dari dalam bilik, malah di atas katil. Di ruang siber ada pelbagai cara untuk mendapatkan wang.”
* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia
Klik di sini untuk terus membaca