MEMANG meriah kawan-kawan Cencalok bersembang tentang penggunaan perkataan ‘lahabau’ oleh Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.
Nie Ching telah memuat naik poster kempen dalam media sosialnya iaitu ‘Lahabau Melaka, Jom Undi'.
Menyedari kesilapan yang dilakukan, beliau mohon maaf berhubung tindakannya menggunakan perkataan ‘lahabau’ dalam bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.
Menariknya, perkataan 'lahabau' kini semakin popular dan digunakan secara meluas di media-media sosial malah orang Perlis sampai Sarawak juga sudah tahu apa itu 'lahabau'.
Bagi orang Melaka, 'lahabau' ini sebenarnya adalah satu perkataan yang agak kasar dan sering digunakan untuk menyapa kawan-kawan sahaja.
Sebagai contoh: "Oi lahabau, mana engkau menghilang selama ini hawau."
Bagaimanapun, menurut takrifan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 'lahabau' membawa erti makian yang bermaksud tidak berguna, tidak boleh diharap dan haprak.
Namun, agak malang bagi jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH) apabila kekhilafan Nie Ching dijadikan modal berkempen parti lawan.
Bagi Cencalok, ini merupakan asam garam dan sepak terajang dalam pilihan raya. Sedikit kesilapan memang membawa padah.
Tetapi ia tidak perlu lagi dipanjangkan, yang penting apa agenda besar yang hendak ditawarkan kepada orang Melaka.
Isu 'lahabau' ini tidak penting, tetapi yang utamanya rakyat hendak dengar idea-idea baharu daripada calon-calon yang bertanding.
Bagi Nie Ching, ini satu pengajaran berguna untuk beliau, kalau bukan orang Melaka jangan cuba campur tangan urusan negeri Melaka.
Klik di sini untuk terus membaca