BELARUS yang sebelum ini membentuk empayar Kesatuan Soviet pada era komunis kini menjadi sasaran kecaman daripada Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) hanya disebabkan oleh isu imigran... Klik di sini untuk terus membaca

BELARUS yang sebelum ini membentuk empayar Kesatuan Soviet pada era komunis kini menjadi sasaran kecaman daripada Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) hanya disebabkan oleh isu imigran dari Asia.

Kecaman itu dilakukan selepas ratusan imigran tersebut menyeberangi sempadan secara haram ke Poland baru-baru ini dengan ribuan lagi didakwa sedang menunggu untuk melakukan perbuatan yang sama.

Pada Isnin lalu, NATO mengecam tindakan Belarus yang didakwa sengaja menggunakan imigran sebagai satu taktik untuk menentang EU selepas negara berkenaan dikenakan sekatan oleh kesatuan tersebut sejak Oktober tahun lalu.

Sekatan itu dilaksanakan selepas pilihan raya Presiden Belarus yang diadakan pada Ogos tahun lepas didakwa dicemari dengan unsur-unsur penipuan ekoran kemenangan berpihak kepada Presiden Alexander Lukashenko, 67, iaitu sekutu Presiden Rusia, Vladimir Putin sekali gus mengekalkan tempoh pemerintahan buat penggal keenam dengan memperoleh kemenangan yang besar.

EU turut melaksanakan sekatan itu kerana penindasan telah dilakukan ke atas para penunjuk perasaan anti-Lukashenko, anggota-anggota pembangkang dan wartawan di negara itu oleh pihak berkuasa negara berkenaan.

Lagipun, EU tidak mengiktiraf keputusan pilihan raya Presiden Belarus dengan mengutuknya sebagai tidak adil dan bebas manakala pihak pembangkang negara tersebut pula berasa ragu-ragu dengan keputusan yang memihak kepada Lukashenko.

Sehubungan itu, kapal-kapal terbang dari negara berkenaan dikenakan sekatan penerbangan ke ruang udara EU dan dilarang mendarat di lapangan terbang-lapangan terbang negara-negara anggota kesatuan tersebut.

Pada Mei tahun ini, EU bertindak memperbaharui sekatan ke atas Belarus selepas ia menahan seorang wartawan anti-Lukashenko, Raman Pratasevich dan teman wanitanya, Sofia Sapega di sebuah lapangan terbang di negara berkenaan.

Beberapa negara Eropah Timur menuduh Belarus menghantar imigran-imigran dari negara Asia ke sempadan negara tersebut. -Foto AFP

TINDAK BALAS BELARUS SELEPAS KENA SEKATAN

Penahanan itu dilakukan selepas sebuah pesawat, Ryanair yang dalam penerbangan dari Greece dan Lithuania tetapi perlu melintasi ruang udara Belarus dipaksa mendarat oleh pihak berkuasa negara berkenaan di lapangan terbang itu pada 23 Mei tahun ini kerana membawa wartawan berkenaan.

AS pula memberi tekanan kepada Lukashenko apabila Washington memperbaharui sekatan terhadap pegawai-pegawai kerajaan dan sekutu-sekutunya yang kaya atas alasan negara tersebut melakukan 'penahanan politik' dan rasuah.

Selepas sekatan itu dikuatkuasakan, negara-negara tersebut dan NATO pula menuduh Belarus menghantar ratusan imigran ke sempadan negara itu dengan Poland.

Imigran-imigran itu kemudian akan bergerak untuk memasuki negara jirannya, Poland secara haram sebelum pergi ke negara-negara lain di EU bagi membina kehidupan baharu selepas tanah air mereka terjerumus ke dalam kancah peperangan.

Isu dakwaan imigran Asia digunakan sebagai senjata itu turut dibuat oleh ahli-ahli politik Eropah yang menuduh Lukashenko melancarkan 'perang hibrid' ke atas EU dengan mendapat sokongan daripada Rusia.

Lukashenko dituduh membawa masuk imigran-imigran ke sempadan negaranya dengan harapan untuk 'mengganggu EU' dan Poland yang sebelum ini bersetuju untuk melaksanakan sekatan ke atas Belarus.

BINA DINDING HALANG IMIGRAN

Taktik yang digunakan oleh Belarus itu didapati berjaya apabila negara-negara EU terpaksa pula membelanjakan jutaan euro untuk membina dinding-dinding sempadan dan memikirkan cara paling baik bagi menghalang kemasukan secara haram imigran-imigran tersebut.

Belarus yang menjadi pusat kemasukan imigran-imigran dari Asia ke negara-negara EU itu turut diceritakan oleh pemandu-pemandu teksi di bandar Bialystok, Poland kepada sebuah akhbar Britain baru-baru ini bahawa mereka melihat pendatang-pendatang tersebut dibawa menaiki kereta-kereta yang mempunyai nombor pendaftaran dari United Kingdom (UK), Perancis dan Jerman.

Pemandu-pemandu teksi itu turut menyatakan terdapat kelibat penyeludup manusia di bandar tersebut.

Anggota-anggota keselamatan di sempadan Poland juga terpaksa menggunakan penyembur lada bagi menghalang kemasukan mereka setelah pagar berduri cuba dipotong oleh imigran tersebut di sempadan Belarus.

Menteri Luar Jerman, Horst Seehofer turut menyatakan ia menyokong cadangan Poland untuk membina tembok bagi menghalang kemasukan imigran-imigran tersebut ke negaranya secara haram.

Jerman yang merupakan jiran Poland turut menyaksikan peningkatan kemasukan imigran-imigran Asia melalui Belarus ke negaranya.

Pada Isnin lalu, Poland menyatakan ia sedang menghantar kira-kira 12,000 askar sebagai tambahan kepada 10,000 anggota tentera yang sudah pun ditempatkan di sempadan negara tersebut dengan Belarus bagi mengelak berlakunya kemasukan imigran tersebut secara beramai-ramai.

Kemasukan imigran itu ke Belarus adalah disebabkan oleh negara itu telah mengeluarkan visa khas kepada warga Iraq dan dari negara-negara lain di Timur Tengah untuk memasuki tanah airnya.

Ia adalah sebagai transit untuk mereka pergi ke Eropah dengan sebahagiannya sanggup berkhemah dan memasak di kawasan hutan dekat sempadan Poland.

Namun, setakat ini semua tuduhan yang dilemparkan oleh Barat berhubung isu imigran itu dinafikan oleh Lukashenko.- Agensi

Klik di sini untuk terus membaca