SHAH ALAM - Teka-teki siapa calon Ketua Menteri pilihan Pakatan Harapan (PH) sekiranya koalisi blok pembangkang itu memenangi pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 November hadapan akan terjawab petang ini.
Perkara itu didedahkan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad apabila membayangkan isu pemilihan calon ketua menteri baharu dalam kalangan parti-parti koalisi itu bakal diumumkan kepimpinan tertinggi PH pada Rabu.
Bercakap kepada Sinar Premium, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menegaskan keputusan muktamad mengenai siapa calon ketua menteri baharu bagi PH sudah dicapai dalam kalangan jawatankuasa Majlis Presiden PH.
"Perkara ini (isu calon Ketua Menteri PH) bukan lagi satu isu kerana keputusan muktamad sudah dicapai di peringkat kepimpinan tertinggi PH.
"Saya turut menjangkakan pengumuman itu akan dibuat pada tarikh esok (hari ini). Kalau masih ada usaha pihak tertentu untuk lobi (jawatan berkenaan), itu hak masing-masing.
"Apa yang diputuskan, akan kekal dengan keputusan dibuat dan tidak mungkin ia boleh diubah," katanya sewaktu dihubungi Sinar Premium pada Selasa.
Teka-teki siapa calon ketua menteri baharu yang akan diangkat PH pada PRN Melaka sememangnya menjadi perhatian umum, terutamanya hampir 500,000 rakyat negeri itu.
Hal ini susulan Barisan Nasional (BN) lebih awal mengumumkan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan dilantik semula memegang jawatan tertinggi kerajaan negeri dengan Perikatan Nasional (PN) dijangka mempertaruhkan Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen bagi menduduki kerusi terpenting itu.
Di peringkat awal selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka 4 Oktober lalu, nama Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari adalah merupakan calon pilihan bagi jawatan utama berkenaan dan dikatakan mendapat restu DAP.
Bagaimanapun, nama Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin dan seorang lagi bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron turut dikaitkan dengannya susulan Idris dianggap memainkan peranan penting menjatuhkan kerajaan 'tidak berintegriti' sebelum ini.
Shamsul Iskandar pula digembar-gemburkan sebagai calon pilihan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan beliau dianggap pemimpin setia kepada Presiden PKR itu dan merupakan antara pemimpin parti berkenaan yang berpengaruh di peringkat pusat.
Berikutan itu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menjelaskan pengumuman mengenai calon PH untuk dilantik jawatan ketua menteri akan dibuat dalam beberapa hari lagi, selepas hari penamaan calon pada Isnin.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum itu menggesa PH mengumumkan Adly sebagai pilihan gabungan itu untuk jawatan Ketua Menteri Melaka.
Sementara itu, langkah PH mengadakan sidang media Pelan Tindakan 'Maju Bersama Harapan' untuk PRN Melaka di di LaCrista Hotel, Melaka pada jam 5 petang ini juga disebut-sebut sebagai platform koalisi itu untuk merungkai persoalan siapa calon ketua menteri baharu koalisi itu.
Meskipun PH dijangka akan menggunakan sidang media berkenaan bagi membentangkan manifesto koalisi itu kepada rakyat negeri Melaka sempena PRN ini.
Pengesahan kehadiran Adly dalam majlis itu bersama-sama tiga pemimpin utama PH iaitu Anwar, Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu mencetuskan spekulasi apabila nama beliau kemungkinan besar akan dipilih sebagai calon ketua menteri baharu.
Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil sewaktu dihubungi menjelaskan beliau tidak pasti sama ada sidang media berkenaan bakal menjadi platform PH mengumumkan nama calon ketua menteri baharu koalisi itu.
"Saya tidak tahu. Majlis itu menfokuskan untuk pembentangan manifesto pilihan raya bagi PH kepada rakyat negeri Melaka.
"Kita tunggu sahajalah sekiranya ada pengumuman itu (petang ini),"katanya.
Klik di sini untuk terus membaca