SHAH ALAM - Tidak adil untuk UMNO menyalahkan Pas di atas kegagalan kedua-dua parti itu mencapai persefahaman di bawah semangat Muafakat Nasional (MN) bagi mengelakkan pertembungan lebih dua penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tidak adil untuk UMNO menyalahkan Pas di atas kegagalan kedua-dua parti itu mencapai persefahaman di bawah semangat Muafakat Nasional (MN) bagi mengelakkan pertembungan lebih dua penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Sebaliknya, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed menegaskan objektif penubuhan MN sebenarnya bukan sekadar untuk memeterai kerjasama di antara UMNO dan Pas secara eksklusif, sebaliknya bertujuan menyatukan parti-parti Melayu yang tidak ekstrem di negara ini.

Jelas beliau lagi, Pas berpendapat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan sebuah parti Melayu ekstrem dan berkali-kali meminta supaya parti itu disertakan dalam MN, namun tidak dipersetujui UMNO.

"Sebenarnya dalam MN, Pas dan UMNO hanyalah pengasas bersama kepada permuafakatan itu dengan ia bukan kerjasama eksklusif di antara dua parti berkenaan.

"Sebaliknya, tujuan MN ditubuhkan adalah untuk mengumpulkan semua parti-parti Melayu dan Islam yang tidak ekstrem, sebab itu Pas minta untuk masukkan Bersatu sekali ke dalamnya.

"Pas pula menyertai Perikatan Nasional (PN) dan bersetuju Gerakan berada dalam koalisi itu kerana Bersatu juga merupakan parti Melayu Islam dan Gerakan bukan parti ekstrem.

"Kita cuba untuk gabungkan lebih banyak parti lagi, tetapi UMNO akhirnya tidak mahu Bersatu," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menegaskan bukan parti itu yang memungkiri persefahaman MN, sebaliknya Pas gagal menyambut salam permuafakatan yang dihulurkan UMNO.

Hal ini disebabkan Pas memuktamadkan penggunaan lambang PN bagi menghadapi PRN Melaka, sekalipun UMNO meletakkan syarat kerjasama MN hanya terjalin sekiranya parti Islam itu menggunakan lambang parti sendiri.

Susulan itu. UMNO dan Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk bergerak secara solo dengan bertanding pada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, sekali gus melenyapkan sisa harapan kerjasama BN-PN bagi mengelakkan pertembungan lebih dua penjuru.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kemudiannya menzahirkan rasa kecewa dengan keputusan UMNO-BN itu dan mendedahkan usaha penyatuan yang pada awal kelihatan sangat positif, namun berakhir dengan kegagalan pada penghujungnya.

Mengulas lanjut, Mahfodz yang juga Ketua Sidang Assabiqun Pas Pusat turut mendedahkan UMNO daripada peringkat awal lagi sudah menampakkan keinginan untuk bertanding pada semua kerusi DUN Melaka sekali pun perbincangan antara UMNO-Pas-Bersatu pada mulanya positif.

Tambahnya, UMNO daripada mula sudah menuntut untuk bertanding 18 kerusi DUN majoriti Melayu dan hanya meninggalkan Pas dan Bersatu 10 kerusi, termasuk tujuh kerusi DUN majoriti bukan Melayu yang dikuasai DAP.

"Hakikatnya, UMNO daripada awal lagi memang konsisten hendak bertanding semua kerusi DUN dan tetap bertegas dengan keputusan itu meskipun Pas sudah berusaha berunding sehingga saat akhir.

"Adalah tidak adil untuk menyalahkan Pas semata-mata, sebaliknya saya berpandangan semua parti Melayu perlu bertanggungjawab di atas kegagalan dalam membahagikan kerusi pilihan raya antara mereka.

"Untuk UMNO pula, sedangkan parti itu boleh beri MCA dan MIC kerusi, mengapa UMNO begitu ralat hendak beri kerusi kepada Bersatu?" katanya.

Mahfodz turut menjangkakan peluang BN dan PN untuk memenangi PRN Melaka agak sukar susulan situasi pertembungan antara parti-parti kerajaan pastinya merugikan kedua-dua koalisi itu.

Lebih membimbangkan, beliau tidak menolak kemungkinan Pakatan Harapan (PH) akan mendapat kelebihan di atas kegagalan parti-parti Melayu untuk bekerjasama.

"Di sebalik apa yang berlaku, dari segi hubungan MN, Pas masih komited untuk mempertahankan MN selain memperkukuhkan koalisi PN.

"Pas akan terus berusaha untuk mengelakkan situasi PRN Melaka berulang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bagi Pas, MN tidak pernah terbubar dan kita akan terus berusaha memperkukuhkan ikatan kerjasama ketiga-tiga parti supaya kembali bergabung dalam PRU15," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca