SHAH ALAM - Veteran UMNO berpandangan perjanjian persefahaman Muafakat Nasional (MN) di antara UMNO dan Pas secara tidak rasminya sudah terbubar, melainkan 'turunnya wahyu dari langit' yang meminta kerjasama itu diwujudkan semula.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Veteran UMNO berpandangan perjanjian persefahaman Muafakat Nasional (MN) di antara UMNO dan Pas secara tidak rasminya sudah terbubar, melainkan 'turunnya wahyu dari langit' yang meminta kerjasama itu diwujudkan semula.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakob berkata, apabila Pas membuat keputusan untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, parti itu dengan sendiri sudah membatalkan penyertaannya dalam MN sekalipun persefahaman itu secara rasminya belum dibubarkan lagi.

Menurutnya, secara logiknya adalah mustahil untuk Pas dan UMNO kembali bekerjasama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang melibatkan perundingan kerusi untuk berbelas-belas negeri di Malaysia, sedangkan dalam PRN Melaka pun dua parti berkenaan gagal memuktamadkan persefahaman antara mereka.

"Untuk PRU15, sama ada MN akan diaktifkan semula atau tidak, segalanya tertakluk kepada pucuk kepimpinan UMNO dan Pas.

"Tetapi secara logiknya, kalau pilihan raya kecil seperti PRN Melaka pun kerjasama gagal dimeterai, bagaimana persefahaman di peringkat Pusat yang melibatkan berbelas-belas negeri hendak direalisasikan? Hanya sekiranya ada peristiwa penting atau wahyu turun daripada langit, mungkin perbincangan untuk wujudkan kembali MN akan ada. Selain itu, saya anggap MN sudah tiada apa-apa," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan beberapa pemimpin UMNO dan Pas yang menegaskan hubungan MN tidak pernah terbubar sekalipun kedua-dua parti itu bakal membawa haluan masing-masing pada PRN Melaka.

Hal ini susulan keputusan Pas bersetuju menggunakan lambang PN pada PRN Melaka menyebabkan UMNO bertindak balas dengan mengumumkan parti itu dan koalisi Barisan Nasional (BN) bertanding pada keseluruhan 28 kerusi DUN.

Berikutan itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kemudiannya menzahirkan rasa kecewa dengan keputusan UMNO-BN itu dan mendedahkan usaha penyatuan parti-parti Melayu pada awal kelihatan sangat positif, namun berakhir dengan kegagalan pada penghujungnya.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam satu rancangan bual bicara menegaskan bukan parti itu yang memungkiri persefahaman MN, sebaliknya Pas gagal menyambut salam permuafakatan yang dihulurkan UMNO.

Mengulas lanjut, Mustapha turut membidas tindak-tanduk Pas yang sering menjadikan UMNO sebagai 'kambing hitam' susulan kegagalan parti-parti Melayu bekerjasama bagi menghadapi PRN Melaka.

Ujarnya lagi, Pas kena memahami keputusan UMNO enggan bekerjasama dengan Bersatu bukan atas kehendak Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad sendiri.

Sebaliknya, beliau menjelaskan keputusan UMNO memutuskan kerjasama dengan Bersatu itu adalah atas kehendak akar umbi parti bersandarkan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

"Kalau Pas hendak kata mereka kecewa, adakah UMNO juga tidak kecewa dengan sikap Pas yang sanggup menubuhkan koalisi PN bersama dengan Bersatu pada saat mereka berada dalam MN? "Pas kena berhenti menyalahkan UMNO kerana keputusan parti menolak Bersatu adalah atas kehendak akar umbi, bukan kehendak Zahid mahupun Tok Mat (Mohamad)," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca