KEHANGATAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semakin dirasai dan rakyat negeri itu mula memerhati siapakah calon-calon yang layak menjadi wakil rakyat di kawasan mereka.
Setakat ini, terdapat 112 calon yang akan bertanding merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dan menariknya, kali ini penampilan muka-muka baharu termasuk sembilan calon muda yang berusia lingkungan 21 hingga 29 tahun daripada pelbagai parti.
Salah seorang yang mendapat perhatian ramai ialah calon termuda berumur 21 tahun daripada Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding kerusi DUN Sungai Rambai.
Selain itu, beliau juga adalah individu kedua menjadi calon termuda bertanding selepas P Prabakaran yang dicalonkan pada usia 22 tahun dan menang kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Ikuti temubual wartawan Sinar Premium, Nurul Nabila Ahmad Halimy bersama Farzana Hayani Mohd Nasir dalam perjuangan beliau yang ingin membawa suara dan agenda anak muda dalam politik negara.
SINAR HARIAN: Apa perasaan Farzana menjadi calon termuda yang bertanding pada PRN Melaka?
FARZANA HAYANI: Pastinya saya teruja kerana ini merupakan satu ruang dan peluang yang sangat baik bagi diri saya mewakili dan membuktikan suara serta agenda anak muda dapat didengari dan direalisasikan.
Saya amat bersyukur kerana Parti Keadilan Rakyat memberi kepercayaan kepada saya sebagai calon dan ini adalah amanah parti yang tidak akan saya sia-siakan.
>>Adakah Farzana bersiap sedia untuk menempuhi pelbagai cabaran sebaik melangkah masuk ke dalam dunia politik?
Cabaran itu memang ada di mana-mana. Saya sentiasa positif dan ia tidak akan menjadi hambatan buat diri saya kerana saya teringat firman ALLAH, sesungguhnya setiap kesukaran itu beriringan dengan kemudahan.
>>Sebagai seorang mahasiswa, bagaimana Farzana membahagikan masa antara belajar dan bertanding dalam PRN?
Sebaik sahaja saya sudah yakin akan dicalonkan, saya telah menghubungi pensyarah saya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam bagi memaklumkan tentang perkara ini.
Pensyarah saya telah mengambil maklum dan dia sendiri teruja dengan iltizam saya untuk menawarkan diri untuk bertanding.
>>Adakah Farzana akan meneruskan pengajian di universiti selepas ini atau mempunyai perancangan politik yang lain?
Saya akan teruskan pengajian saya. Sudah bertahun saya bergiat dalam politik dan sambil menuntut di universiti, kekangan masa tidak pernah menghalang saya untuk terus aktif atau tercicir dalam pelajaran.
>>Apa yang ingin Farzana perjuangkan?
Perjuangan saya ialah membawa suara dan agenda anak muda, terutamanya wanita supaya dapat direalisasikan. Antara agenda yang saya akan usahakan adalah seperti keadilan pendidikan buat semua rakyat, pembangunan sukan wanita muda dan ekonomi anak muda.
>>Apa yang menarik minat Farzana untuk menjadi wakil rakyat?
Saya mengikut jejak langkah ayah dan mak saya di pentas politik. Selain itu, sewaktu cuti semester, saya sering membantu ayah menguruskan kedai makan, jadi bergaul dan berkhidmat untuk masyarakat sudah menjadi sebahagian besar dari hidup saya.
Oleh itu, seandainya saya dipilih oleh rakyat di Sungai Rambai pada 20 November ini, selagi ada upaya, saya akan memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat Melaka, terutamanya kepada anak muda dengan membawa suara rakyat di dewan negeri.
>>Apakah harapan Farzana sebagai calon muda mewakili tiket Pakatan Harapan pada PRN akan datang?
Saya yakin orang muda mampu mencorakkan landskap politik negara yang lebih indah pada masa akan datang.
Semestinya ia tidak akan cukup dengan semangat sahaja tetapi harus berbekalkan ilmu dan mengamalkan politik nilai selaras dengan prinsip dan dasar perjuangan.
Profil:
Nama: Farzana Hayani Nasir
Umur: 21 tahun
Asal: Taman Tanjung Minyak Ria 4, Melaka
Pendidikan:
- Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran), UiTM Shah Alam
- Diploma Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Kampus Rembau (2020)
Fakta menarik tentang Farzana Hayani:
- Merupakan calon pilihan raya termuda dalam sejarah Malaysia yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan.
- Merupakan Ketua Srikandi Keadilan Melaka
- Merupakan Anggota Majlis Pimpinan Pusat Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) serta Bendahari Kehormat MKM Pusat.
- Merupakan calon DUN Sungai Rambai
Klik di sini untuk terus membaca