EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) membuat sekali lagi kejutan apabila Menteri Luarnya, Sheikh Abdullah bin Zayed Al-Nahyan bersama delegasi mengadakan pertemuan dengan Presiden Syria, Bashar al-Assad di Damsyik pada 9 November lalu. Pertemuan itu... Klik di sini untuk terus membaca

EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) membuat sekali lagi kejutan apabila Menteri Luarnya, Sheikh Abdullah bin Zayed Al-Nahyan bersama delegasi mengadakan pertemuan dengan Presiden Syria, Bashar al-Assad di Damsyik pada 9 November lalu.

Pertemuan itu diadakan selepas Abu Dhabi dilaporkan memutuskan hubungan dengan Damsyik pada tahun 2012 selepas negara tersebut terlibat dalam Perang Saudara pada tahun 2011 yang sehingga kini mengakibatkan lebih 400,000 orang terkorban.

Bagaimanapun, selepas Abu Dhabi menjalin hubungan diplomatik dengan Israel pada tahun lalu, UAE memulakan langkah untuk menjalin kerjasama erat dengan negara berkenaan apabila menghantar satu delegasi ke Damsyik.

Penghantaran delegasi itu dibuat selepas Putera Mahkota negara beraja tersebut, Sheikh Mohammed bin Zayed al-Nahyan mengadakan perbincangan tentang perkembangan di Syria dan Timur Tengah menerusi telefon dengan Assad pada Oktober lalu.

Dalam perbualan itu, Pejabat Assad menyatakan kedua-dua pemimpin membincangkan tentang hubungan dua hala dan cara untuk memperkukuhkan kerjasama selain hal-hal ehwal antarabangsa serta serantau.

Kedua-dua pemimpin tersebut sebelum ini pernah berbual menerusi telefon dan membincangkan tentang kemungkinan bantuan kemanusiaan dihantar kepada kerajaan Syria ketika krisis Covid-19 berlaku pada tahun lalu.

Ia dilihat sebagai petanda kerajaan pimpinan Assad kemungkinan akan kembali menjadi anggota Liga Arab.

Sebelum ini negara beraja itu telah membuka semula kedutaannya di Damsyik pada tahun 2018 tetapi hubungan antara kedua-dua negara kekal dingin sehinggalah menjadi erat sejak kebelakangan ini.

Ketika UAE menormalisasikan hubungan dengan Israel pada tahun lalu, Syria tidak pernah mengutuk keputusan tersebut berbanding dengan kecaman yang dilemparkan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan ke atas Abu Dhabi.

Kecaman itu dibuat walaupun Ankara mempunyai hubungan diplomatik dengan rejim Zionis.

Perubahan dasar UAE terhadap Assad itu berlaku kerana ketika di awal Perang Saudara berlaku di Syria, Abu Dhabi mengambil keputusan menyokong pihak pembangkang yang menentang Assad.

Ketika itu, negara-negara Arab dan Barat pula menyalahkan Assad ekoran tindakan tenteranya yang memerangi tunjuk-tunjuk perasaan anti pemerintahannya sebelum ia merebak menjadi Perang Saudara pada tahun 2011.

Presiden Syria, Bashar al-Assad (kanan) berbual dengan Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Abdullah bin Zayed Al-Nahyan di Damsyik pada 9 November lalu. - Foto AFP

Pada tahun 2012, UAE merupakan satu-satunya negara daripada enam anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang mengambil pendirian tegas menentang Syria dan mengiktiraf sebuah kumpulan yang terdiri daripada pihak pembangkang sebagai perwakilan sah untuk negara berkenaan.

Bagaimanapun, dasar UAE itu berubah selepas Assad berjaya mengekalkan kekuasaannya walaupun perang menentang kepimpinannya masih meletus.

Perubahan pendirian itu juga berlaku setelah beliau menang sebagai Presiden Syria menerusi pilihan raya yang diadakan pada Mei tahun ini.

Namun, pada Jun 2020, usaha-usaha Abu Dhabi untuk berbaik-baik dengan Damsyik pernah mendapat perhatian daripada Presiden AS ketika itu, Donald Trump yang memberi amaran tentang akibat yang akan diterimanya jika ia meneruskan hubungan diplomatik dengan rejim Syria.

Sungguhpun begitu, tiada sekatan dilakukan oleh AS terhadap UAE sebaliknya Washington memberikan pula sokongan kepada negara beraja itu untuk menjalin hubungan dengan Israel pada September tahun lalu.

Sejak Julai lalu juga, negara-negara Arab berusaha untuk menjalin semula hubungan diplomatik dengan Syria melibatkan Jordan, Mesir dan UAE menerusi beberapa pertemuan, perjanjian serta persefahaman ekonomi.

Justeru, Sidang Liga Arab yang dijadualkan berlangsung di Algeria pada Mac tahun depan dijangka membincangkan pemulihan keahlian Syria selepas keanggotaannya digantung pada tahun 2011 berikutan tindakan tentera Assad menghancurkan para penunjuk perasaan anti pemerintahannya.

Pada Mac 2011, protes-protes bagi mendesak peralihan kepimpinan dilakukan secara aman di Syria tetapi Assad dan tenteranya bertindak bagi memerangi para penunjuk perasaan sehingga mengakibatkan negara tersebut terjerumus ke dalam Perang Saudara.

Perang Saudara itu turut melibatkan campur tangan Turki yang membantu anggota-anggota Tentera Pembebasan Syria yang menentang Assad.

Namun, Rusia dan kumpulan bersenjata pro-Iran memberikan bantuan kepada Assad untuk beliau terus berkuasa.

Ketika pemerintahannya juga, Daesh turut bertapak di negara tersebut sehingga melibatkan campur tangan tentera AS.

Bagaimanapun, setelah lebih sembilan tahun berlalu, kerajaan pimpinan Assad kini semakin diterima oleh negara-negara Arab tidak seperti pada tahun 2011. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca