PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka berlaku ketika pandemik disebabkan empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) keluar kerajaan, maka Melaka menjadi negeri kedua selepas Sabah yang dijangka tidak membubarkan DUN serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ia akan disusuli oleh Sarawak - DUN telah terbubar pada 3 November selepas darurat negeri ditamatkan.
Ramai rasa tidak selesa dengan ketidakserentakan PRU dan PRN tetapi apakah ia sesuatu yang tidak normal atau merugikan? Jawapannya tidak.
Pertama, kerajaan dalam demokrasi berparlimen boleh ditamatkan lebih awal kerana undi tidak percaya atau pilihan kerajaan sendiri kecuali tarikh ditetapkan secara berkanun.
Dalam keadaan ini, kalau ada satu Parlimen dan 13 DUN, maka tidak mustahil pada teorinya berlaku 14 pilihan raya pada masa yang lain.
Realitinya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan parti-parti akan cuba mengumpulkan beberapa pilihan raya pada hari yang sama, maka kebarangkalian yang lebih besar mungkin beberapa ‘kluster’ PRU/PRN sahaja.
Kedua, jika pilihan raya berlaku serentak untuk jawatan berlainan sama ada presiden dan kongres untuk demokrasi berpresiden atau kerajaan kebangsaan, negeri dan tempatan, kebarangkalian besar adalah ‘mood’ pengundi yang sama akan mewujudkan keputusan seakan-akan sama, yakni parti/ gabungan yang sama akan menang/ kalah untuk kebanyakan jawatan, maka kuranglah semakan dan imbangan.
Dalam pandangan konvensi di Malaysia, PRU/ PRN serentak membawa kestabilan kerana ia membolehkan satu gabungan tunggal yang menguasai hampir seluruh negara daripada Persekutuan sehingga negeri.
Tiada percanggahan Persekutuan-negeri atau persaingan antara negeri yang disebabkan oleh persaingan antara parti.
Namun, dari sudut lain, ia bermakna peralihan mendadak secara menyeluruh yang mungkin mewujudkan kegelisahan pihak yang kalah.
Bayangkan jika Pakatan Harapan (PH) menang semua kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) dan Pas dengan majoriti tipis pada PRU14, tidakkah kegelisahan pengundi nasionalis Melayu-Muslim lebih tinggi?
Dalam persaingan pelbagai blok ketika ini, PRU-PRN tidak serentak sebenarnya menstabilkan kerana ia tidak mewujudkan kesudahan ‘pemenang sapu semua, si kalah hilang semua’.
Ketiga, apabila beberapa pilihan raya tidak berlaku serentak, pilihan raya untuk kerajaan kurang berkuasa boleh berfungsi menjadi ‘pilihan raya tengah penggal’ atau PRTP (mid-term election) untuk kerajaan yang paling berkuasa,dan pengundi boleh menggunakan PRTP untuk menyampaikan pesanannya kepada kerajaan yang paling berkuasa.
Contohnya, ini adalah tahun kedua Presiden Joe Biden memerintah. Beliau dan Parti Demokrat akan menghadapi pilihan raya pada 2024.
Namun, kekalahan di Virginia dan kesusutan sokongan di New Jersey baru-baru ini telah mengejutkan Biden dan partinya untuk mempertingkatkan prestasi.
Jika tidak, mereka akan menghadapi kekalahan lebih teruk pada PRTP peringkat kebangsaan tahun depan.
Jadi, idea PRTP seperti peperiksaan pertengahan penggal yang boleh mengingatkan calon untuk berusaha dan tidak sambil lewa.
Selama ini, selain satu dua PRN yang tidak serentak, PRTP di Malaysia terhad kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang tidak tentu masanya.
Norma baharu PRN tidak serentak akan meningkatkan lagi kuasa pengundi sebagai tuan kepada ahli politik. Ini mungkin sumbangan tidak sengaja ‘geng empat katak’ Melaka.
* Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.
Klik di sini untuk terus membaca