KEMELUT politik di Melaka perlu diselesaikan dengan kaedah berkepentingan rakyat, bukan hanya bagi kepentingan parti politik semata-mata.
Rakyat jelas tidak setuju dengan sikap ahli politik yang suka memanaskan suhu politik negara dan hilang fokus dalam peranan untuk membentuk kestabilan politik ketika fasa pemulihan pandemik Covid-19.
Persefahaman dan kerjasama politik di peringkat pusat wajar selari dengan negeri dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Perkara tersebut perlu menjadi pertimbangan utama, apatah lagi ia melibatkan kerjasama politik kukuh antara parti yang mempunyai aspirasi dan matlamat sama.
Tiada siapa menyangka PRN Melaka yang dijadualkan pada 20 November ini akan benar-benar berlaku. Semuanya gara-gara langkah kecundang empat politikus sehingga mencipta satu lagi episod ‘marilah mari keluar mengundi’.
PRN Melaka muncul tanpa diduga sewaktu rakyat Malaysia mula merasai sedikit kebebasan pada musim pandemik Covid-19.
Ada pihak berkata, apa perlu PRN ini diadakan kerana negara menghampiri Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Namun, itulah harga yang perlu dibayar demi menjulang dan mempertahankan sebuah demokrasi.
Bagaimanapun, demokrasi tidak buta dan memahami dunia masih berdepan ancaman wabak yang sangat misteri.
Justeru, ada jalan untuk ia digerakkan seiring dengan keperluan menjaga keselamatan dan nyawa. PRN Melaka sememangnya perlu berlangsung demi menyelesaikan krisis politik yang berlaku di negeri itu.
Malah, menyerahkan semula mandat kepada rakyat adalah kaedah terbaik dan bertanggungjawab.
Situasi di Melaka berbeza dengan Sabah ketika PRN berlaku pada September 2020. Ketika itu, penularan Covid-19 di Sabah amat tinggi, manakala vaksinasi pula belum dilaksanakan. Kini lebih 90 peratus pengundi populasi dewasa telah divaksin dan rentas negeri sudah pun dibenarkan.
Ancaman penularan sudah tentu tidak sama berbanding semasa PRN Sabah kerana liputan vaksinasi dewasa yang tinggi.
Tetapi ancaman penularan masih ada kerana ada golongan belum menerima vaksin dan jika dijangkiti berisiko tinggi mendapat penyakit yang teruk.
Golongan dimaksudkan termasuk kanak-kanak dan sebilangan remaja serta mereka yang masih enggan divaksin.
Memandangkan PRN Melaka tidak dapat dielakkan, maka prosedur operasi standard (SOP) PRN perlu diteliti semula.
Ia termasuk cara berkempen, hari membuang undi, hari penamaan calon dan sebagainya yang sebelum ini melibatkan perkumpulan orang ramai.
Beberapa hari lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka adalah dilarang. Kempen pilihan raya juga disarankan untuk dilaksanakan secara digital.
Penggunaan platform media digital akan menjadi alternatif utama bagi kebanyakan parti yang bertanding pada PRN Melaka.
Mengambil pengajaran daripada dua parti yang dikompaun susulan kegagalan mematuhi larangan termasuk SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN), beberapa pimpinan politik senada bahawa strategi mendekati pengundi perlu diubah mengikut norma baharu.
Langkah berkenaan memaksa parti mengubah pendekatan berkempen dan gerak kerja yang berkonsepkan konvensional kepada penggunaan penuh teknologi.
PRN Melaka boleh dijadikan medan bereksperimentasi untuk pilihan raya secara maya. Bagi kebanyakan parti politik, PRN Melaka ibarat ‘ujian percubaan’ sebelum menduduki ‘peperiksaan’ sebenar PRU15.
Melaka hanya mempunyai 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 73 DUN di Sabah. PRN Melaka akan memberi pengalaman baik kepada SPR untuk pelaksanaan PRU15.
Justeru, PRN Melaka adalah sebuah eksperimentasi kepada pelaksanaan demokrasi semasa pandemik dan endemik.
Bagaimanapun, demografi pengundi di sesebuah kawasan itu memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan sesebuah parti, selain calon yang bertanding juga akan menjadi perhatian pengundi sebelum keputusan dibuat pada 20 November ini.
Jadi, rakyat Melaka perlulah buat pilihan yang bijak!
* Shafezah Abdul Wahab ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Cawangan Melaka.
Klik di sini untuk terus membaca