SHAH ALAM - Manifesto 'Pelan Tindakan - Maju Bersama Harapan’ yang diumumkan oleh Pakatan Harapan (PH) bertujuan mempertahankan sokongan dalam kalangan penyokong dan mendekati kumpulan pengundi atas pagar.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, manifesto tersebut bersifat menyeluruh dan merangkumi semua elemen khususnya ekonomi dan pentadbiran negeri Melaka.
Jelasnya, PH perlu memikirkan cara untuk memastikan manifesto berkenaan diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan.
"Saya pasti akan ada yang bandingkan dengan manifesto PH pada tahun 2018 yang dikatakan tidak dipenuhi dalam 100 hari. Ketika itu, manifesto tersebut juga bukan sesuatu yang bersifat tetap dan tidak perlu terikat dengannya.
"Bagaimana mahu yakinkan pengundi bahawa manifesto kali ini mengikat calon dan parti. Kalau pada tahun 2018 gagal dilaksanakan dan boleh dikatakan tidak terikat tetapi kini kembali dengan manifesto dan bagaimana nak meyakinkan pengundi bahawa dengan kesemua 32 inisiatif yang merangkumi pelbagai perkara penting dalam berusaha Maju Bersama Harapan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pada Rabu, penggubalan enakmen Anti Lompat Parti bagi menjamin kestabilan negeri Melaka antara inisiatif digariskan dalam manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka PH.
Manifesto itu diumumkan oleh Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari yang menjadi calon tunggal Ketua Menteri jika gabungan tersebut menang pada pilihan raya berkenaan.
Adly berkata, PH menggariskan 32 inisiatif merangkumi aspek kesihatan, kebajikan, ekonomi, usahawan dan negeri serta reformasi pentadbiran kerajaan Melaka.
Sivamurugan berkata lagi, ketika ini mereka hanya perlu meyakinkan pengundi bahawa manifesto itu penting bagi mencapai kesejahteraan, kemakmuran dan kestabilan politik di Melaka.
"Apabila diumumkan pelan tindakan Maju Bersama Harapan, apakah yang nak dicapai? Adakah kesemua tiga teras yang dibentangkan dapat dilaksanakan dalam satu tempoh seperti 100 hari ? "Jika tidak, manifesto itu tidak penting buat pengundi setia parti tetapi ia bagi mendekati kumpulan atas pagar dan yang mungkin melakukan protes,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca