SEKEPING poskad menarik tiba dari Tokyo, Jepun minggu lalu. Sekalipun lewat tibanya, namun kandungan poskad itu membuatkan penulis berasa sangat bangga.
Dalam poskad itu bertulis: "Tahniah kerana menghadiahkan sebutir pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020. Mr Awang idola kami dan kebanggaan benua Asia.”
Poskad itu kiriman sahabat Persekutuan Berbasikal Jepun (JCF) yang pernah mengundang penulis ke Sukan Olimpik di Tokyo sekiranya berminat meneruskan kajian tentang hero Malaysia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang.
Penulis sudah merancang meneruskan kajian yang bertajuk Cycling Performance Biomechanics on Track Racing Beyonds Cyclist Physiological Profile. Namun, penulis menerima maklumat terbaharu yang ingin dikongsi bersama.
Penulis mendapati pisang dan Azizulhasni umpama irama dan lagu. Pisang tidak dapat dipisahkan daripada diet pemakanan pelumba bertaraf dunia itu. Sebenarnya pisang turut menjadi diet utama beberapa juara dunia ternama termasuk bintang Formula Satu (F1), Michael Schumacher.
Pisang adalah antara enam buah-buahan disebut dalam al-Quran. Dalam surah Al-Waaqi’ah, ayat [56:25-40] bermaksud: "Mereka tidak akan dengar di dalamnya perbualan sia-sia dan tidak (sesuatu) membawa ke dosa, melainkan perbualan, selamat! selamat! Dan orang (sebelah) kanan, siapakah dia orang-orang (sebelah) kanan itu? (Mereka) di (dekat) pohon bidara yang tidak berduri. Dan di (dekat) pohon pisang yang bersusun-susun.
"Dan di (dekat) naungan yang terhampar panjang. Dan di (dekat) air yang terus-menerus mengalir. Dan di (dekat) buah-buahan yang banyak, yang tidak putus-putus dan tidak terlarang. Dan di (dekat) isteri-isteri yang terletak di tempat yang tinggi, yang Kami jadikan mereka itu suatu kejadian baharu iaitu Kami jadikan mereka perawan-perawan, yang penuh percintaan, sebaya untuk orang-orang yang (di sebelah) kanan itu.
"(Mereka adalah) satu golongan yang terbesar daripada orang-orang terdahulu dan segolongan besar pula daripada orang yang kemudian.” Ada lima lagi jenis buah disebut dalam al-Quran. Buah zaitun menjadi bahan pelembap kulit. Delima pencegah kanser. Kurma pembekal tenaga, manakala anggur melancarkan sistem peredaran darah dalam badan. Buah tin pula digunakan untuk melancarkan penghadaman.
Persoalannya, berapa kerapkah rakyat Malaysia makan pisang dalam kehidupan seharian? Kali ini, penulis ingin mendedahkan beberapa kelebihan pisang hasil kajian saintis dan pengalaman saintis daripada perspektif kejuruteraan bioteknologi. Sebenarnya pandemik Covid-19 boleh dikekang sekiranya rakyat Malaysia mengambil pisang setiap hari.
Mengikut kajian saintifik, pisang adalah sumber tenaga dan dapat menggantikan nasi untuk mereka berdiet. Ia mempunyai kandungan fiber tinggi dan dapat membantu sistem pencernaan dan jantung.
Pisang memiliki dua kali karbohidrat dan lima kali kandungan vitamin A berbanding epal, kaya kandungan potassium, boleh meningkatkan sistem imunisasi tubuh, menambah tenaga, menurunkan berat badan, mengubati jerawat, mengurangi rasa sakit ketika haid dan mengubati sembelit. Kulit pisang juga mampu mengurangkan kegatalan akibat gigitan nyamuk.
Buah pisang juga kaya dengan nutrien seperti karbohidrat dan kalium. Kedua-duanya penting untuk prestasi senaman dan pertumbuhan otot atlet. Ia juga mudah dihadam dan boleh melambatkan penyerapan gula dalam aliran darah, menjadikan pisang pilihan snek yang bagus sebelum senaman atau perlawanan.
Kajian penulis mendapati ada sebuah syarikat penyelidikan dan penasihat teknologi global yang memberi tumpuan kepada trend pasaran baharu.
Mereka telah menyediakan potensi perniagaan atau perusahaan baharu melibatkan kulit pisang – boleh menjadi produk hiliran dalam industri tepung yang tinggi, selain kegunaan perubatan dan pemakanan serta bahan api bio atau bio-fuel. Batang pisang juga boleh menghasilkan fiber atau serat.
Namun, kenapa kita selalu meminggirkan pisang sedangkan ia berkhasiat tinggi? Penulis ingin mencadangkan semua rakyat Malaysia agar mula memakan pisang dengan segera kerana ia boleh membantu kita daripada dijangkiti Covid-19.
* Profesor Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Klik di sini untuk terus membaca