PADA 2,000 tahun lalu, koleksi puisi China yang berjudul The Book of Songs telah menggambarkan hasrat rakyat untuk kehidupan yang makmur dan stabil iaitu kehidupan ‘Xiaokang’. ‘Xiaokang’ bermaksud kemakmuran sederhana, sinonim... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 2,000 tahun lalu, koleksi puisi China yang berjudul The Book of Songs telah menggambarkan hasrat rakyat untuk kehidupan yang makmur dan stabil iaitu kehidupan ‘Xiaokang’.

‘Xiaokang’ bermaksud kemakmuran sederhana, sinonim dengan menjalani kehidupan dan mencari rezeki dalam keadaan damai serta kepuasan. Ia mencerminkan aspirasi rakyat China untuk mengejar kehidupan lebih baik.

Masyarakat ‘Xiaokang’ yang merupakan impian selama beribu-ribu tahun kini telah menjadi realiti. Pada 1 Julai lalu, Presiden China, Xi Jinping mengumumkan bahawa China telah merealisasikan ‘matlamat 100 tahun pertama’ iaitu membina masyarakat makmur sederhana secara menyeluruh.

Apakah ertinya kepada dunia? Sebagai negara paling ramai penduduk dan negara membangun paling besar, China memberi sumbangan untuk keamanan serta pembangunan dunia dengan cara sendiri iaitu mencapai matlamat ‘Xiaokang’ - menjadikan negara lebih makmur, rakyat lebih bahagia dan masyarakat lebih stabil.

China berjaya membekalkan makanan untuk 20 peratus penduduk global walaupun hanya memiliki sembilan peratus tanah suai tani di dunia.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China melonjak daripada RMB67.91 bilion pada 1952 kepada RMB101.6 trilion pada 2020. China menjadi ekonomi kedua terbesar di dunia dengan jumlah KDNK mewakili lebih 17 peratus daripada jumlah global.

Sejak 2006, China muncul penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi dunia dengan kadar sumbangan tahunan purata melebihi 30 peratus.

Selepas pandemik berlaku, China adalah antara negara pertama berjaya mengawal wabak dan memulihkan perkembangan ekonomi.

Pembasmian kemiskinan adalah masalah serius dalam tadbir urus dan pembangunan global. Sejak China melaksanakan dasar pembaharuan dan keterbukaan, seramai 770 juta penduduk miskin luar bandar China telah dibebaskan daripada belenggu kemiskinan, mewakili 70 peratus jumlah penduduk global.

China berjaya mencapai sasaran ditetapkan oleh Agenda Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) - 10 tahun lebih awal.

Perubahan iklim juga menjadi cabaran. Sepanjang dua dekad lalu, satu perempat kawasan diliputi tumbuh-tumbuhan baharu di dunia adalah hasil penambahan di China. Kini China adalah negara yang mempunyai sumber hutan baharu terluas dan mendahului negara-negara lain dalam pemuliharaan tenaga.

Semasa Sidang Kemuncak Persidangan ke-26 Pihak-pihak Pemeterai Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) pada 1 November lalu, Xi Jinping mengemukakan tiga cadangan untuk menangani perubahan iklim iaitu mendokong konsensus pelbagai hala, berfokus pada tindakan pragmatik serta mempercepatkan transformasi hijau.

Berdepan cabaran deglobalisasi, China bersungguh-sungguh dengan dasar keterbukaan yang saling menguntungkan demi mencetuskan lebih banyak peluang pasaran, pelaburan dan pertumbuhan kepada negara-negara lain. Kini China menduduki tempat ke-31 daripada 190 ekonomi seluruh dunia dalam Laporan Menjalankan Perniagaan, meningkat daripada tempat ke-91 pada 2012.

China kini berada di tangga pertama dari segi perdagangan barangan dan rizab pertukaran asing, manakala kedudukan kedua dari segi perdagangan perkhidmatan dan pasaran penggunaan barangan. Pada 2020, China merupakan penerima pelaburan asing terbesar di dunia. China menjadi rakan dagang terbesar kepada lebih 50 negara dan rantau termasuk Malaysia serta rakan dagang ketiga teratas kepada lebih 120 negara dan rantau.

China juga telah memeterai dan membaiki perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan memohon untuk menganggotai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Keperluan pembangunan China dan Malaysia amat serasi. China bersedia bersama-sama mengukuhkan kerjasama dengan Malaysia demi memajukan pembangunan ekonomi pada era pasca pandemik.

*Ouyang Yujing ialah Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca