KUALA LUMPUR - Teknologi 5G mempunyai banyak kelebihan termasuk kelajuan internet sehingga 20 gigabit sesaat (Gbps) berbanding 1Gbps kelajuan maksimum 4G sekarang.
Pengurus Kanan-Enterprise Strategi Digital Nasional Berhad (DNB), Ahmad Azuddin Mohd Zaid berkata, teknologi 5G adalah evolusi generasi sebelumnya daripada 1G ke 4G.
Bagaimanapun, katanya, teknologi 5G mempunyai keupayaan lebih baik kerana ia berkelajuan tinggi dan kadar lengahan atau lebih dikenali sebagai latency yang jauh lebih rendah.
"Kelajuan internet teknologi 5G ini adalah antara 10 hingga 20Gbps.
"Kadar lengahannya menjadi sangat minimum (lebih laju daripada kerlipan mata) iaitu sekitar 1 milisaat berbanding 10 milisaat bagi teknologi 4G,” katanya.
Tambah beliau, teknologi itu juga mampu menghubungkan sejuta peranti pada keluasan satu kilometer persegi berbanding teknologi 4G yang hanya mampu menghubungkan 100,000 peranti dalam keluasan sama.
Dalam pada itu, penggunaan teknologi 5G dalam bidang penjagaan kesihatan dijangka memberi kita-kira 15 peratus sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2029.
"Teknologi 5G ini mungkin dimanfaatkan menerusi persidangan video kolaboratif, penggunaan robot tanpa pemandu untuk penghantaran bekalan perubatan atau pembasmian kuman dan diagnosis ultrabunyi jarak jauh.
"Ia juga memberi manfaat kepada sektor utama lain seperti pengangkutan menerusi konsep lapangan terbang dan pelabuhan pintar, pembuatan (seperti sensor mengesan kerosakan) dan perlombongan (seperti penggunaan robot pemeriksa kebocoran mudah alih),” kata Ahmad Azuddin.
Dalam skop yang lebih luas, penggunaan 5G memudahkan operasi pengangkutan, melicinkan proses pembuatan, operasi perlombongan dan kesihatan.
Untuk jangka panjang, teknologi 5G yang diterajui oleh DNB akan mewujudkan lebih daripada 100,000 peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan ekonomi negara dengan menambah lebih daripada RM100 bilion kepada KDNK menjelang 2030.
Selain itu, liputan 5G yang membabitkan kos yang rendah akan memudahkan matlamat kerajaan mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar dan menggalakkan pembabitan ekonomi digital semua pihak termasuk petani dan nelayan.
Ketika ini dalam kalangan ASEAN, Malaysia menduduki tangga keenam dari segi pelaksanaan teknologi 5G.
Dengan usaha agresif DNB dan beberapa syarikat telekomunikasi tempatan, Malaysia menyasarkan kedudukan kedua menjelang 2024. Inovasi teknologi 5G merupakan faktor kejayaan utama dalam pembangunan ekosistem digital negara dalam era Revolusi Industri 4.0.
Klik di sini untuk terus membaca