SETIAP kali saya dan keluarga berkunjung ke restoran ikan bakar, ikan bawal emas antara yang menjadi pilihan selain kerapu dan jenahak.
Ikan bawal emas, walaupun ada nama emas tetapi harganya tidaklah seperti barang kemas yang menjadi dambaan golongan wanita.
Berbeza dengan siakap, walaupun tiada nama yang menggambarkan ikan itu mewah, harga hidangan melibatkan ikan tersebut rupanya boleh mencecah ribu-ribu ringgit di Langkawi.
Seperti yang telah heboh sejak minggu lalu, harga hidangan ikan siakap di sebuah restoran terapung di pulau legenda itu memang tidak terjangka di fikiran rakyat marhaen.
Selepas itu, macam-macam cerita dan berita berkaitan isu itu dapat dibaca di media sosial. Ada yang berkongsi pengalaman sama berdepan situasi tersebut dan ada juga yang menjadikan ia sebagai bahan jenaka. Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang bertanggungjawab dalam memantau harga makanan sudah memberikan kenyataan.
Walau apa pun keadaannya, pelanggan dan peniaga restoran itu ada hujah masing-masing. Saya tidak tahu siapa yang betul dan siapa yang salah. Yang dapat saya katakan, jika berdepan dengan situasi berkenaan, boleh pengsan jadinya.
Nilai yang perlu dikeluarkan bukan sedikit. Jumlahnya sama seperti dua bulan gaji saya ketika bekerja di kilang kayu selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1998.
Dan apabila heboh mengenai isu hidangan ikan siakap harga terlalu mahal, saya teringat kisah dulu-dulu sewaktu pertama kali menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur untuk temu duga memasuki tentera.
Setelah sampai di stesen kereta api berhampiran Kompleks Daya Bumi, saya pun menapak ke Pasar Seni dengan harapan dapat mengisi perut setelah menempuh perjalanan tujuh jam dari stesen kereta api Sungai Petani.
Mulanya saya mahu singgah sahaja di restoran makanan segera tetapi apabila terpandang sebuah restoran dengan lauk pauk yang menarik, maka nafsu makan tidak dapat dibendung lagi.
Melonjak-lonjak perasaan mahu menikmati hidangan di restoran berkenaan. Dengan warna kari yang menarik dan aroma menusuk hidung, saya rasa ia adalah keputusan yang tepat menikmati hidangan makan tengah hari di situ.
Oleh sebab datang jauh dari kampung, saya berpandangan tidak salah kiranya untuk mencuba kari sotong di Kuala Lumpur. Mungkin lebih sedap daripada kari atau gulai sotong di Kedah.
Ketika sedang khusyuk menikmati nasi bersama dua ekor sotong, telur masin, kuah campur dan teh ais kaw, tauke restoran pun datang dengan senyuman kumis tebal sambil menghulur kertas kecil warna putih.
Tatkala melihat harga makanan yang tercatat di kertas putih itu, saya terbungkam dan rasa macam mahu pitam. Jangkaan awal ternyata salah sama sekali kerana harga sebenar seekor sotong adalah RM15. Maka, setelah dicampur, harga makanan saya berjumlah RM36.
Dengan situasi sebagai orang kampung yang masih mencari kerja, nilai RM36 untuk makan tengah hari amat besar waktu itu.
Suka atau tidak, jumlah berkenaan perlu dibayar kerana salah saya juga tidak bertanya dahulu berapa harga seekor sotong.
Selepas kejadian tersebut, saya lebih berhati-hati apabila makan di restoran. Sama ada tanya dahulu harga makanan atau minta tauke restoran buat kiraan sebelum makanan dijamah.
Konsep kira harga makanan tanpa dilihat ataupun kiraan berdasarkan penceritaan pelanggan adalah tidak adil kerana ia bukan gambaran sebenar apa yang kita makan.
Mungkin kita ambil sotong saiz kecil tetapi tauke kedai kira sotong saiz besar. Ataupun kita ambil ikan saiz sederhana tapi pada pandangan tauke kedai, sederhana itu sebenarnya besar.
Jadi sebelum makan, adalah lebih baik makanan itu dilihat dengan mata kepala tukang kira itu sendiri. Dan paling penting sebenarnya sebelum singgah menjamu selera, lihat dulu duit dalam dompet kerana kadang-kadang berlaku tragedi, isteri ambil duit dalam dompet tetapi lupa nak maklumkan kepada kita.
* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca