SANGGUPKAH para pencinta kucing membelanjakan sejumlah wang untuk membelikan anak-anak ulat sutera yang sudah diproses untuk dijadikan makanan kepada haiwan peliharaan mereka itu pada zaman pemanasan global?
Memberikan haiwan kesayangan tersebut memakan anak-anak ulat sutera yang telah diproses mungkin dianggap pelik tetapi situasi itu sudah berlaku di Taiwan sejak beberapa tahun lalu.
Bermula dengan kajian yang dilakukan pada tahun 2017 oleh Stesen Penyelidikan Pertanian Miaoli dan Lanjutan di Taiwan, anak-anak ulat sutera itu didapati sesuai untuk dijadikan makanan kucing.
Ekoran kejayaan para penyelidik tersebut, sebuah syarikat di kepulauan yang menjadi rebutan China itu kemudiannya menghasilkan makanan daripada anak-anak serangga itu sebagai makanan haiwan berkenaan.
Satu tin makanan kucing yang diperbuat daripada anak-anak ulat itu dijual pada harga NT$68 (RM10.18) yang secara puratanya adalah lebih tinggi sedikit berbanding makanan basah lain.
Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang menjual makanan dalam tin yang diperbuat daripada anak-anak ulat serangga itu dan dijual secara besar-besaran sejak sebulan lalu, Eva Liu mengakui sambutan daripada para pelanggannya adalah menggalakkan.
Beliau menyatakan kepada AFP bahawa pemilik-pemilik haiwan peliharaan kini mengambil berat terhadap jenis bahan yang digunakan untuk membuat makanan binatang-binatang mereka.
Menyentuh tentang anak-anak ulat sutera dijadikan makanan kucing, Liu berkata,pihaknya menggunakan wang yang didermakan oleh orang ramai sebelum mengadakan prajualan makanan haiwan itu.
Katanya, pada hari pertama sahaja iaitu dalam tempoh 24 jam, pihaknya telah berjaya mencapai sasaran prajualan.
Sejak tahun 2017 lagi, para penyelidik yang melakukan kajian tentang anak-anak ulat sutera itu mendapati ia boleh mengurangkan bakteria yang merosakkan di dalam usus haiwan sekurang-kurangnya sebanyak 15 peratus.
Anak-anak serangga itu juga didapati boleh membantu haiwan yang memakannya menyerap zat-zat berkhasiat sekali gus menjadikan tahap kesihatan binatang-binatang tersebut menjadi lebih baik lagi.
Dalam kitaran hidup serangga itu, anak-anak ulat sutera hidup dalam kepompong sebelum menjadi rama-rama manakala seorang penyelidik, Liao Chiu-hsun memberitahu AFP bahawa orang ramai selalu menyangka bahawa serangga itu hanya berkait rapat dengan pakaian sutera.
Namun, kata beliau, serangga tersebut sebenarnya mempunyai banyak kebaikan.
Anak-anak ulat sutera yang berada di dalam kepompong itu didapati kaya dengan protein, lemak dan mineral dan pasukan penyelidikan Miaoli telah membangunkan teknologi untuk mencipta sebastian bagi meningkatkan protein imun ketika ia berada di dalam kepompong.
Anak-anak ulat sutera itu yang berada dalam tekanan kerana menganggap ia berada dalam situasi bahaya pula akan menyebabkan serangga tersebut mengeluarkan lebih banyak protein dalam badannya ketika berada di dalam kepompong.
Pada masa inilah serangga tersebut sesuai diambil dan diproses untuk dijadikan makanan kucing di dalam tin.
Satu ujikaji juga telah dilakukan terhadap 15 ekor kucing yang memakan makanan diperbuat daripada anak-anak ulat serangga itu di sebuah kafe haiwan berkenaan, Mao Thai Thai di Taiwan baru-baru ini.
Hasil daripada ujikaji itu mendapati, najis haiwan itu tidak mengeluarkan bau kuat dan kucing-kucing yang memakannya akan kelihatan lebih bertenaga.
Makanan kucing itu juga mempunyai pelbagai rasa seperti ikan tuna, daging dan ayam manakala maklum balas positif telah diterima daripada para pemilik binatang peliharaan yang diberikan makanan tersebut.
Penemuan baharu itu akan memberikan 'nafas baharu' kepada para pembiak ulat sutera yang digunakan dalam penghasilan pakaian sutera di Taiwan yang kini tinggal dalam bilangan yang amat kecil.
Seorang petani generasi ketiga, Hsu Wei-chun, 30, berkata seperti dilaporkan oleh AFP bahawa zaman kini adalah tidak lagi sesuai untuk membiakkan ulat-ulat sutera bagi tujuan penghasilan pakaian sutera semata-mata.
Katanya, sebagai petani, mereka akan memanfaatkan pelbagai peluang yang ada sebagai usaha untuk mengurangkan kos pengeluaran.
Ulat-ulat sutera itu dibiakkan di pokok-pokok mulberi di Taiwan kerana daun-daunnya menjadi makanan serangga tersebut.
Daun-daun pokok itu juga digunakan dalam pembuatan teh manakala kepompong serangga tersebut boleh juga digunakan untuk membuat barang-barang kosmetik. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca