Beberapa tokoh akademik meramalkan satu pergolakan besar politik akan berlaku dalam kalangan koalisi parti-parti politik yang bertanding selepas berakhirnya pilihan raya negeri (PRN) Melaka yang ditetapkan pada 20 November hadapan.
Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE), Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, jangkaan itu berlandaskan sifat pilihan raya itu sendiri yang boleh mencetuskan satu beban besar dari sudut pergolakan dalaman serta pendedahan 'perasaan tersembunyi' dalam kalangan parti-parti yang berada dalam satu koalisi.
Oleh sebab itu, Mohammad Redzuan yang juga Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) menjangkakan PRN Melaka bakal menguji segala-galanya dalam aspek setiakawan dalam berkoalisi dengan pelbagai kelemahan dan kepincangan diramal akan terserlah dan terus terdedah.
"Saya menjangkakan bahawa selepas PRN Melaka, suatu pergolakan besar akan berlaku kerana ia menyerlahkan pelbagai kelemahan, kepincangan dan sikap kesetiakawanan dengan PRN bakal menguji segala-galanya.
"Apabila pilihan raya berlaku, kesemua parti dalam sesuatu koalisi akan mengeluarkan perasaan tersembunyi dengan kita boleh melihat dalam media sosial, segala perkara lama sesama mereka kembali diungkit oleh parti-parti yang bertanding meskipun berada dalam satu koalisi.
"Oleh sebab itu, selepas PRN Melaka, perkara itu akan menjadi duri dalam daging (koalisi-koalisi ini) dan bakal memberi kesan kepada perjalanan atau landskap politik negara bagi beberapa bulan akan datang," katanya dalam satu program bual bicara Melaka Memilih: Analisis Awal anjuran IDE.
Program bual bicara itu dikendalikan oleh Pengerusi Eksekutif IDE, Senator Datuk Ismail Yusof.
PRN Melaka kali ini buat pertama kalinya menyaksikan parti-parti yang berada dalam kerajaan negeri dan Pusat iaitu Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), bakal bertembung sesama sendiri pada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Di peringkat PH pula, beberapa kepimpinan utama parti-parti dalam koalisi pembangkang itu mempersoalkan keputusan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima dua daripada empat bekas ADUN blok kerajaan yang menjadi punca kejatuhan kerajaan negeri, untuk bertanding pada PRN Melaka atas tiket PH.
Selain itu, isu pencalonan Ketua Menteri daripada PH juga turut menjadi pertikaian awal parti-parti dalam koalisi itu apabila DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bertegas mahukan seorang lagi bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari dicalonkan semula.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula dikatakan cuba mengetengahkan Ketua Penerangan parti itu, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin atau Idris sendiri sebagai calon Ketua Menteri sekiranya PH menawan semula negeri Melaka.
Mengulas lanjut, dari segi sejarah peralihan sokongan parti, Mohammad Redzuan turut mengambil contoh sikap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang meninggalkan Pakatan Harapan (PH) melalui peristiwa kejatuhan kerajaan koalisi itu pada tahun lalu.
Jelas beliau, faktor utama menggugat keyakinan Bersatu sebagai suatu parti mewakili kaum Melayu bermula apabila parti itu kalah dalam dua pilihan raya kecil (PRK) bagi Parlimen Semenyih dan Tanjung Piai.
Tambah Mohammad Redzuan lagi, kekalahan Bersatu pada dua kerusi Parlimen majoriti pengundi Melayu itu juga membawa satu trauma bahawa ia kaitan dengan DAP dan sekali gus membawa kepada ketidakyakinan parti itu mampu mengharungi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan selamat.
"Berdasarkan senario ini, sudah terbukti kesan pilihan raya boleh mencetuskan satu beban besar daripada segi pergolakan dan sebagainya.
"Situasi sama juga boleh berlaku kepada parti-parti yang berada dalam kerajaan Pusat serta parti-parti dalam PH memandangkan pelbagai peristiwa pertembungan yang berlaku sesama mereka ketika ini," katanya.
Satu lagi dakwaan menarik dikemukakan Mohammad Redzuan adalah terdapat pihak yang sengaja mencetuskan pergolakan politik sehingga menyebabkan rakyat menjadi jemu atau letih dengan drama politik negara ini, semata-mata bagi mengelakkan individu tertentu menjadi Perdana Menteri.
Tambah beliau, rakyat Malaysia sebenarnya sudah mencapai peringkat kematangan demokrasi apabila bertindak melakukan perubahan pucuk pentadbiran negara pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
"Tetapi elemen tidak menunaikan janji menyebabkan pergolakan politik berlaku, sedangkan kepercayaan rakyat ketika itu adalah apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengalih alih jawatan Perdana Menteri buat sementara, jawatan itu kemudiannya akan diambil alih Anwar.
"Saya merumuskan senario rakyat jemu politik adalah sengaja dirancang supaya rakyat akan menyalahkan orang tertentu, kononnya pergolakan politik berpunca daripada kehendak beliau mahu menjadi Perdana Menteri.
"Hakikat sebenar pergolakan politik dicetuskan untuk elak individu itu menjadi Perdana Menteri...Itu sahaja tujuan mereka," katanya.
Mengenai peluang tiga koalisi utama iaitu PH, PN dan BN pada PRN Melaka, Mohammad Redzuan menegaskan masih terlalu awal untuk menentukan koalisi mana yang memiliki kelebihan untuk memenangi pilihan raya negeri berkenaan.
Beliau berpandangan senario pertembungan tiga parti gabungan memperlihatkan polarisasi undi cukup jelas dengan mana-mana badan pemikir sukar meramalkan parti mana mempunyai kelebihan pada minggu pertama kempen pilihan raya.
"Selain itu, saya turut berpendapat masih terlalu awal untuk menilai rakyat Melaka akan berdiam diri dan enggan balik mengundi PRN Melaka atas dakwaan mereka 'letih' dengan politik negara.
"Yang penting, tempoh seminggu pertama berkempen adalah amat penting bagi memberi kesedaran kepada pengundi bahawa undi mereka amat mustahak bagi mewujudkan kestabilan politik negeri Melaka.
"Seterusnya, tempoh seminggu akan datang akan menjadi lebih kritikal untuk kita menentukan indikator-indikator yang menentukan parti mana berpeluang memenangi PRN Melaka kelak," katanya.
POLA POLITIK DIJANGKA BERUBAH
Sementara itu, cendekiawan sains politik, Dr Chandra Muzaffar turut berkongsi pandangan sama dengan Mohammad Redzuan dengan menjangkakan keputusan PRN Melaka akan memberi implikasi besar landskap politik di peringkat nasional serta-merta.
Dengan jangkaan tiada mana-mana koalisi mampu memperoleh majoriti kerusi DUN mutlak, Chandra tidak menolak kemungkinan pola politik negara akan berubah menjelang PRU15 dengan sebarang bentuk penjajaran politik baharu di Melaka kelak, pastinya akan diikuti di peringkat Pusat.
"Sama ada ketiga-tiga parti gabungan akan menang sebahagian kerusi DUN dan memiliki sedikit kuasa atau pengaruh, hakikatnya terdapat kemungkinan besar tiada parti gabungan yang mampu memenangi cukup kerus DUN bagi membolehkan kerajaan sendiri tertubuh.
"Ini membawa kepada kemungkinan kedua iaitu sekiranya tiada gabungan parti dapat mendirikan kerajaan sendiri, mereka terpaksa bergabung antara satu sama lain termasuklah kemungkinan BN-PH, BN-PN bahkan juga PH-PN," katanya.
Chandra yang juga Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (JUST) turut berkeyakinan implikasi keputusan PRN Melaka akan memberi kesan langsung kepada kerajaan campuran BN-PN yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jelas beliau, kedudukan Ismail Sabri sebagai Naib Presiden UMNO juga dilihat tidak cukup kuat untuk memastikan hubungan kerjasama BN-PN di peringkat Pusat dapat dikekalkan sekiranya koalisi BN mendapat kelebihan parti PRN Melaka.
"Saya berdoa walau apa pun keputusan atau perhitungan politik yang wujud selepas PRN Melaka, yang penting keputusan itu tidak akan menyebabkan rakyat rugi.
"Pandangan saya juga, sekiranya BN memperolehi kedudukan mantap selepas PRN Melaka dengan menang majoriti mutlak, pelaksanaan PRU15 mungkin akan dilaksanakan dengan lebih awal dan koalisi itu pastinya akan menghadapi ujian terbesar itu dengan lebih yakin," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca